suria

"Naim Daniel main skipping ke sekarang?" - Pemuda dikata iras penyanyi lagu Sumpah ini pernah lompat tali sampai kepala retak, bila sedar macam orang gila sekejap!

Muhammad Firdaus Sudah jatuh cinta terhadap sukan lompat tali sejak berumur 4 tahun lagi.

JUMP ROPE atau skipping rope adalah permainan tali yang pernah menjadi kegemaran kanak-kanak suatu ketika dahulu.

Skipping juga salah satu senaman mudah yang boleh dilakukan di rumah. Hanya bermodalkan tali, anda boleh melakukan aktiviti sihat tanpa perlu keluar rumah, lebih-lebih lagi dalam tempoh pelaksanaan kuncitara atau total lockdown ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Apalah nasib jejaka ini! Berambut panjang tiru Aedy Ashraf digelar ‘lelaki cantik’, rambut pendek dikata macam pengkid pula

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai keliru tengok video tutorial masak stik... ‘cef’ macam pemalas, ikhlas ke tak nak kongsi ilmu? - “Niat saya nak bergurau”

Itulah yang dilakukan Muhammad Firdaus Abdul Rasid, selain untuk kesihatan, skipping adalah aktiviti kegemarannya.

Malahan, persembahan lompat tali yang dikongsinya di aplikasi TikTok menarik perhatian lebih 100, 000 pengikutnya.Setiap video aksi lompat tali yang dimuatnaik pasti akan mencapai lebih 500,000 tontonan.

Bermula pada awal usia empat tahun, lama-kelamaan pemuda berusia 26 tahun ini menjadikan skipping sebagai kerjaya sampingan bagi mengisi waktu terluang selepas melaksanakan tugasnya sebagai pegawai kerani selama enam tahun di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di ibu negara.

Muhammad Firdaus Sudah jatuh cinta terhadap sukan lompat tali sejak berumur 4 tahun lagi.

Selain bekerja di KWSP, Firdaus juga membuka kelas latihan untuk mereka yang ingin menyertai sukan lompat tali ini.

"Saya mula bermain skipping seawal umur empat tahun. Ketika kecil, abah mengajar saya dan adik-adik diajar bermain skipping sesuai dengan kerjaya bapa sebagai jurulatih kecergasan fizikal di Kangar, Perlis. Keluarga kami juga mempunyai akademi sendiri iaitu 3F Rope Skipping Academy.

“Abah sangat teliti dan tegas dalam melatih saya dan adik-adik menjadi seorang ahli lompat tali. Kami dilatih mengikut kemahiran masing-masing,

"Abah juga atlet lompat tali dan kemudiannya menjadi pengadil sukan berkenaan di negara ini, " katanya.

Selain Firdaus, dua adiknya Muhammad Faiz Abdul Rasid, 25 dan Muhammad Faris Abdul Rasid, 20 turut sentiasa bersama Firdaus melakukan persembahan lompat tali.

Kata anak muda yang berhijrah ke Kuala Lumpur ini, mereka juga sering menyertai pelbagai pertandingan dan membuat persembahan bersama dua adiknya termasuk pertandingan Mimpi Ke Bintang anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2013 serta Asia Got Talent pada tahun 2018.

firdau 1Antara kenangan manis Muhammad Firdaus bersama adik-adiknya ketika melakukan persembahan lompat tali.

"Penyertaan Mimpi Ke Bintang bawa tuah sebab kami mampu sampai ke peringkat akhir dan mendapat tempat ke empat, manakala Asia Got Talent pula hanya bertahan sehingga suku akhir.

"Tapi apa yang menarik, kami adalah satu-satunya wakil Malaysia dan peserta yang membuat persembahan lompat tali ketika itu, " katanya sambil menambah dirinya sering disamakan dengan pelantun lagu Sumpah, Naim Daniel.

Selain itu, Firdaus juga turut mengadakan persembahan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa agensi sebelum ini.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang menceburi sukan lompat tali, anak kelahiran Perlis turut berkongsi pengalaman tragis yang meninggalkan kesan trauma buat dirinya sehingga ke hari ini.

“Pengalaman ini saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Ketika itu saya sedang buat latihan untuk persembahan di hadapan Raja Muda Perlis kira-kira tujuh tahun lepas, tiba-tiba kepala saya jatuh ke lantai semasa melakukan aksi akrobatik.

MUHAMMAD FIRDAUS

"Akibatnya kepala saya retak dan tidak sedarkan diri selama lima jam. Dua minggu saya kena duduk hospital sampaikan jadi macam orang gila sekejap. Duduk di wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar menjerit-jerit dan tak kenal siapa diri saya, " katanya.

Ekoran insiden itu, Firdaus mengambil masa sehinga enam bulan untuk kembali yakin bermain lompat tali, itu pun selepas dipujuk oleh adik-adiknya.

“Lama juga saya ambil masa nak beraksi semula sebab terlalu trauma. Tetapi bila memikirkan adik-adik yang terpaksa melakukan persembahan tanpa saya, jadi saya kuatkkan semangat. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan persembahan lompat tali merupakan salah satu sumber pendapatan keluarga kami, ” ceritanya.

Ketika ini, kata Firdaus turut menjadi jurulatih lompat tali secara atas talian, malahan dikatakan hanya dia sahaja ahli lompat tali yang aktif di Malaysia.

"Memandangan negara kita sedang dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan, saya hanya mampu melakukan kelas secara online. Cara saya mengajar pula bergantung kepada kemahiran individu.

"Mula-mula saya akan lihat cara mereka skipping, selepas itu baru saya mula ajar ikut kebolehan mereka" katanya.

Sehingga kini, Tiktok menjadi platform untuk Firdaus mempamerkan bakatnya dan setiap video yang dimuat naik pasti mengundang komen-komen daripada warga netizen.

“Saya baru enam bulan aktif di Tiktok dan alhamdulillah ramai yang suka dengan aksi lompat tali saya. Ada juga yang samakan muka saya dengan penyanyi Naim Daniel. Mula-mula saya tak perasan. Tapi bila ramai yang ulanginya, saya terima sajalah, ” katanya.

mmmm

Selain memuji kehebatan Firdaus bermain lompat tali, ramai juga yang menyamakan jejaka ini dengan pelantun lagu Purnama, Naim Daniel.

Pesan Firdaus, untuk mereka yang ingin menceburi sukan lompat tali ini, jangan terburu-buru melakukan aksi lompatan yang ekstrim dan seelok-eloknya dimulakan dengan kemahiran asas kerana latihan stamina amat penting sebelum memulakan lompat tali.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain