suria

Siapa kata tiada masalah urus jenazah pesakit Covid-19? Alasan kuota, ‘office hour’ dan luar kariah KL-Selangor bukti ia berlaku... ini penjelasan pihak pengurusan

Isu pengurusan jenazah pesakit Covid-19 terus disuarakan. -gambar hiasan foto FB SPJM

"HIDUP pun susah, mati pun susah!"

Begitulah yang disuarakan oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rashid mengenai isu kelewatan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 ketika angka kematian akibat Covid-19 yang meningkat di negara ini.

"Maaf ustaz, kuota kubur dah penuh untuk hari ni dan esok. Kalau nak, jenazah tu kita kebumi lusa, insyaAllah boleh saya masukkan nama dalam booking slot," tulis beliau di laman Facebook SPJM pada Khamis memetik antara dilema pihak pengurusan tanah perkuburan Islam di Lembah Klang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebumi mayat ikut 'office hours', perlu patuh kuota harian... jenazah pesakit Covid-19 lewat dikebumi lebih 24 jam - "Kita rayu sana sini, kubur keenam baru terima..."

ARTIKEL BERKAITAN: Jais sedar ada kubur tolak jenazah pesakit Covid-19... beri alasan 'kuota, utamakan kariah' - "Yang mati sekarang perlu diselesaikan"

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi ciapan di laman Twitter rasmi beliau pula berkata, tiada masalah pengurusan jenazah Covid-19 di Wilayah Persekutuan.

Zulkifli berkata demikian sebagai memberi reaksi mengenai laporan mStar pada hari sama mengenai isu kelewatan pengebumian jenazah seorang pesakit Covid-19.



Ciapan di laman Twitter rasmi Zulkifli.

Menjelaskan lebih lanjut kepada mStar, Muhammad Rafieudin berkata, jenazah pesakit Covid-19 berstatus pemastautin tetap (PR) yang menetap di Ampang, Selangor meninggal dunia pada pagi Ahad, hanya dikebumikan selepas 24 jam itupun setelah membuat rayuan di enam tanah perkuburan.

Katanya, SPJM berhubung dengan pihak pengurusan tanah perkuburan berdekatan tetapi ditolak dengan alasan kuota untuk jenazah Covid-19 pada hari berkenaan telah penuh.

"Kami cuba di tiga kubur di Selangor pun tak dapat dengan alasan dah cukup kuota untuk jenazah Covid-19 selain jenazah di luar kariah.

"Kami juga cuba untuk jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) KL-Karak di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga ditolak dengan alasan sama.

"Sampaikan kami cuba mohon di sebuah kubur di Subang Jaya dan Alhamdulillah dibenarkan untuk dikebumikan di situ, tetapi atas pemintaan waris yang mahu jenazah dikebumikan di lokasi berdekatan Ampang kerana Subang Jaya terlalu jauh selain mengambil kira faktor kemampuan waris untuk ziarah pada masa akan datang.

"Seterusnya kami cuba Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu di Gombak, pada mulanya mereka tolak pada hari yang sama kerana di luar kariah, tapi selepas dirayu semula mereka membenarkan dikebumikan di situ di liang lahad yang asalnya ditempah oleh waris jenazah lain. Selepas tujuh kali rayu di enam kubur baru dapat kebumi jenazah," dakwanya.



Ustaz Rafie.

Sehubungan itu, Ustaz Rafie berkata, insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku ketika situasi semasa menyaksikan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini terutama di Lembah Klang.

"Tugas menguruskan jenazah adalah fardu kifayah dan jenazah seharusnya segera dikebumikan, tanpa mengira kuota, kariah dan waktu operasi pengurusan. Kalau jenazah Covid-19 warga asing sekalipun, kita perlu menguruskannya kerana tidak akan menghantarnya pulang ke negara asal kerana berisiko," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Susulan dakwaan itu, Penyelia TPIRS KL-Karak, Mohd Firdaus Zakaria mengakui pihak SPJM memohon kebenaran untuk mengebumikan jenazah seorang pesakit Covid-19 pada hari berkenaan, namun ditolak atas faktor kuota jenazah hari tersebut telah penuh.

"Pada hari tersebut dah cukup kuota iaitu 10 jenazah sehari, terdiri daripada enam jenazah bukan Covid-19 dan empat jenazah Covid-19.

"Tapi bukanlah disebabkan di luar kariah, kerana kami sebelum ini pernah mengebumikan jenazah bukan kariah di TPIRS KL-Karak di mana pada hari itu belum cukup kuota," katanya ketika dihubungi sambil menambah sebanyak 170 jenazah pesakit Covid-19 telah dikebumikan di TPIRS KL-Karak sejak Mac 2020 sehingga 2 Jun 2021.

Tugas menguruskan jenazah adalah fardu kifayah dan jenazah seharusnya segera dikebumikan, tanpa mengira kuota, kariah dan waktu operasi pengurusan

USTAZ RAFIE

Mohd Firdaus yang menyelia TPIRS KL-Karak sejak Januari 2020 menjelaskan, kuota itu dipengaruhi oleh keupayaan petugas seramai tujuh orang untuk mengali kubur dan menguruskan pengebumian 10 jenazah setiap hari.

Tambahnya, waktu pengebumian juga terikat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di tanah perkuburan yang diselia oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Melihat keadaan semasa Covid-19, kami sentiasa prihatin terhadap semua jenazah termasuk kes Covid-19. Saya percaya pengurusan boleh ditambah baik sekiranya kuota jenazah ditambah dengan penambahan petugas terlatih untuk melancarkan operasi," kata Firdaus.



Hanif Hawari.

Sementara itu, Ketua Khairat Kematian di Masjid Gombak Utara yang menyelia Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Hanif Hawari mengakui pada awalnya pihaknya terpaksa menolak jenazah berkenaan atas sebab di luar kariah, tetapi tidak timbul isu kuota jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan dalam sehari.

"Tiada had jenazah untuk dikebumikan. Sebelum ini pun banyak jenazah pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 dikebumikan di sini, tanpa mengira asal mereka, cuma timbul kebimbangan ahli kariah dan penduduk setempat sejak akhir-akhir ini berikutan jumlah jenazah luar semakin banyak kerana kes kematian Covid-19 yang tinggi sejak awal tahun.

"Kami minta SPJM untuk cari kubur lain dulu di Selangor sebelum kami kemudiannya terima jenazah berkenaan untuk dikebumikan keesokkan hari, di liang lahad yang sebelum ini ditempah oleh seorang waris jenazah kariah tetapi kemudian waris berkenaan tidak meneruskan hasratnya, mungkin jenazah dikebumikan di kubur lain.

"Susulan isu kelewatan jenazah pesakit Covid-19 hangat diperkatakan minggu ini, satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan megenai perkara tersebut," katanya yang juga Imam 2 dI Masjid Gombak Utara sambil menambah pengurusan jenazah dari pukul 8 pagi hingga 7 malam.

Dalam laporan berasingan, mStar mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak pengurusan Masjid Gombak Utara yang menyelia Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung isu pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain