suria

Tengah ambil angin atas buaian, tiba-tiba ada ‘benda’ baling batu... wanita berani rekod video seorang diri - “Mereka kata nampak sesuatu dekat pokok sukun”

Nur Hidayah berdiri di belakang rumah yang sudah didiami sejak hampir 12 tahun lalu (kiri), netizen mendakwa ternampak sesuatu di pokok sukun yang terletak bersebelahan rumahnya (kanan).

KITA selalu mendengar kata-kata, bumi ini bukan hanya didiami oleh manusia dan hidupan lain semata-mata sebaliknya ia turut didiami oleh makhluk 'halus' lain.

Ada kalanya makhluk ini akan 'menjelmakan' diri di hadapan manusia, ada pula yang sekadar 'mengusik' dan hanya memperlihatkan kelibat mereka.

Namun apa yang pasti, tiada sesiapa pun yang mahu dipertemukan atau melihat sendiri rupa makhluk halus.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengakuan gadis hijab terbuka, lihat moyang balik basuh pinggan, “Kakak nampak nenek hidup balik, dia senyum...”

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah bagaimana permulaan hijab pandangannya terbuka sejak usia 9 tahun - “Laju sangat terus tembus dalam dinding tandas”

Berlainan pula dengan seorang wanita ini yang begitu berani mencari mahkluk halus berkenaan seorang diri selepas 'diusik' ketika dia sedang mengambil angin malam di balkoni rumahnya.

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, wanita berkenaan dengan beraninya berjalan di sekeliling rumahnya sambil melakukan rakaman dan menyeru 'makhluk' yang mengusiknya agar menunjukkan diri.

Sehingga kini perkongsian video berkenaan meraih hampir 528,000 jumlah tontonan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Namun apa yang menariknya, kebanyakan komen-komen netizen pada video berkenaan mendakwa mereka terperasan kewujudan satu lembaga ketika wanita berkenaan melakukan rakaman di sekeliling rumahnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Nur Hidayah ini berkata insiden tersebut dirakam kira-kira lima hari lalu ketika dia sedang mengambil angin di luar rumahnya.



Nur Hidayah berkongsi gambar di sekeliling rumahnya yang terletak bersebelahan tanah kebun milik penduduk lain.

"Masa tu jam menunjukkan hampir pukul 10 malam... saya duduk-duduk di buaian sambil bermain telefon bimbit. Tiba-tiba bunyi macam ada sesuatu sedang membaling batu ke arah rumah. Bunyi itu datang daripada kebun buah yang terletak bersebelahan. Beberapa kali juga.

"Saya pun terus buka aplikasi video dan berjalan ke arah dari mana datangnya bunyi tadi. Memang saya seorang diri je berjalan masa tu. Sambil menyuluh, sambil saya panggil. Tapi tak ada pula 'bendanya'.

"Selepas saya muat naik, ada yang kata mereka nampak sesuatu dekat pokok sukun di kebun sebelah, luar pagar rumah," kata wanita berusia 35 tahun ini.

Masa rumah ini dalam pembinaan, ramai orang kampung kata tanah ini keras tapi tiada terdetik nak hentikan atau cari tapak lain.

NUR HIDAYAH

PEMILIK RUMAH

Membuka cerita, Nur Hidayah berkata ia bukanlah gangguan kali pertama yang dialaminya.

Sejak hampir 12 tahun menduduki rumah yang dibina di atas tanah lot di Kampung Parit Keroma, Muar, Johor itu, dia sudah 'lali' diusik termasuk ketika siang.

"Benda ini 'perempuan' sebab berambut panjang. Saya selalu nampak bayang-bayangnya ketika dalam rumah, walaupun waktu siang. Masa mula-mula nampak dahulu, terkejut juga tapi 'dia' tak usik lebih-lebih. Sekadar melintas dan tunjuk bayang-bayang.

"Ada juga adik beradik yang datang rumah ni, bercerita mereka juga ternampak kelibat sesuatu.

"Cuma kejadian malam yang baru-baru ini, dia usik lebih sikit sampai main baling-baling. Nak kata saya berani tu tak juga, nak kata takut pun tak juga sebab dah 'lali'.



Perbualan keluarga Nur Hidayah di aplikasi Whatsapp mengenai gangguan di rumahnya.

"Masa rumah ini dalam pembinaan, ramai orang kampung kata tanah ini keras tapi tiada terdetik nak hentikan atau cari tapak lain. Apapun saya bersyukur, 'dia' tak pernah ganggu anak-anak mahupun keluarga saya," ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Bercerita lebih lanjut, Nur Hidayah berkata sungguhpun telah lama 'diusik', dia hanya terdetik untuk berkongsi di media sosial baru-baru ini.

"Tidak sangka pula ramai yang tengok sebab saya saja-saja muat naik sebab kebetulan tengah ada di luar rumah ketika itu.

"Ramai yang cadangkan agar kami berubat untuk pulihkan rumah itu. InsyaAllah, kami akan lakukan sesuatu jika perlu nanti," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wajah bayi berkedut seperti berusia 80 tahun