suria

“Tak perlu PKP berdarjat, masyarakat keliru” - Dr Rafidah bimbang Malaysia ikut jejak India, rayu adakan PKP penuh sekali lagi

Keadaan pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU. foto FB Noor Hisham Abdullah

MALAYSIA dikejutkan dengan jangkitan baharu Covid-19 yang mencatatkan sebanyak 4,498 kes pada Jumaat.

Manakan tidak, angka itu melonjak hampir 1,000 kes dalam tempoh 24 jam berbanding 3,551 kes baharu pada Khamis.

Rata-rata menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan menjelang Aidilftri yang bakal disambut umat Islam kurang seminggu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Melonjak hampir 1,000... kes baharu Covid-19 4,498, Selangor masih catat jangkitan tertinggi

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak nampak jalan keluar kalau begini bercelarunya negara" - Kuarantin 2 darjat... Dr Rafidah coret luahan kepada Menteri Kesihatan

Turut khuatir dengan keadaan semasa itu adalah pengamal perubatan yang tidak asing lagi di media sosial, Dr Rafidah Abdullah.



Petugas kesihatan yang merawat pesakit Covid-19. -Gambar hiasan

Menerusi laman Twitter @rafidah72, Dr Rafidah secara terbuka menjangkakan kes terus meningkat tidak lama lagi, sekali gus memberi kesan kepada penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital yang merawat Covid-19.

"4,498 kes hari ini (Jumaat). Saya pasti ia akan mencapai 10,000 kes sehari tidak lama lagi. Katil ICU dah nak habis, sekarang katil-katil bukan ICU dah kena letak mesin bantuan pernafasan.

"Dan ini hanya permulaan. Pastinya kami petugas-petugas perubatan dah pasrah," tulisnya menerusi siri bebenang di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 8,000 kali.



Perkongsian Dr Rafidah di laman Twitter.

Dr Rafidah menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi Covid-19 di negara ini bakal mengikut jejak India yang kini bakal berdepan dengan gelombang baharu penularan itu.

"Yang saya belum pasti adakah kita akan melalui apa yang dilalui oleh negara India sekarang," ujar beliau.

Dilaporkan, India bukan sahaja berdepan kekurangan katil hospital dan oksigen, malah India mencatatkan 3,780 kematian harian baharu dan 380,000 kes baharu akibat virus itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Beliau bagaimanapun meminta semua untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan negara mengawal penularan Covid-19.

"Tidak perlu tuding jari siapa gagal. Kita semua gagal sudah. Gagal membendung penularan Covid-19," tambahnya.



Luahan hati Dr Rafidah.

Justeru, Dr Rafidah menyeru Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana yang telah dilakukan buat pertama kali, Mac tahun lalu.

"Saya dengan merendah diri memohon kepada YB Datuk Seri @IsmailSabri60, MKN (Majlis Keselamatan Negara) tidak perlulah PKP berdarjat. Masyarakat keliru ya amat sekarang ini.

Tidak perlu tuding jari siapa gagal. Kita semua gagal sudah. Gagal membendung penularan Covid-19.

DR RAFIDAH ABDULLAH

"Saya merayu, buatlah PKP PENUH sekali lagi, untuk seluruh negara. Saya tahu, ekonomi perlu difikirkan.

"Tapi kita boleh ke menerima lebih ramai meninggal dunia dan sakit berpanjangan sebab jangkitan Covid-19 demi ekonomi? Setahu saya, nyawa manusia adalah priceless (tidak ternilai), tiada harga," katanya.



Dr Rafidah turut memberi pesanan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Rafidah yang bakal bertugas ketika Aidifitri juga mengingatkan masyarakat Malaysia untuk sedia berkorban demi kebaikan semua pihak.

"Kepada masyarakat Malaysia semua, kita berkorban Aidilfitri kali ini dan terus duduk di rumah sendiri. Tidak perlu bercium bersalam dengan sesiapa sekali pun. Please.

"Tolonglah. Bukan tolong kami. Tapi tolong anda dan keluarga anda. Covid-19 sudah ada merata-rata," katanya.

Ketika ini beberapa negeri dan daerah dilaksanakan PKP termasuk Kuala Lumpur, Kelantan termasuk sebahagian Selangor dan Johor, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain