suria

Pencuci kereta dari India tak pernah lewat pergi solat Jumaat, kecuali pada ‘Jumaat terakhirnya’ - “Allah gerakkan hati rakan untuk ke bilik”

Urusan pengebumian jenazah seorang lelaki warga India yang meninggal dunia akibat serangan angin ahmar. foto Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia

AJAL, maut, jodoh dan pertemuan itu adalah ketentuan Ilahi.

Siapa sangka seorang lelaki menghembuskan nafas terakhirnya di bumi asing ketika merantau jauh demi mencari rezeki buat keluarga.

Di sebalik pemergian itu, terdapat kisah menyayat hati yang dikongsi oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hidup sebatang kara maut jatuh bangunan, kehadiran juruteknik tak berduit bantu urus pengebumiannya buat team urus jenazah kagum

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

Mengimbas kembali peristiwa itu, beliau berkata, skuadnya menerima satu kes kematian seorang lelaki warganegara India di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 6 April lalu.



SPJM menguruskan jenazah.

"Arwah meninggal dunia sendirian pada hari Jumaat, 26 Mac 2021 dalam bilik sewanya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kerana serangan angin ahmar," katanya menerusi satu posting di Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau berkata, kematian lelaki tersebut hanya disedari rakan sekerja yang ketika itu mahu mengajaknya pergi menunaikan solat Jumaat di masjid.



Pengurusan jenazah di Kontena Wakaf SPJM.

"Kata rakannya, arwah tidak pernah lambat pergi solat Jumaat. Selalunya dialah yang terawal akan keluar dari bilik sewanya menuju ke masjid.

"Asbab amalannya yang menjaga waktu solat, Allah menggerakkan hati rakannya untuk melihat arwah pada hari kematiannya.

Asbab amalannya yang menjaga waktu solat, Allah menggerakkan hati rakannya untuk melihat arwah pada hari kematiannya.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

"Jika rakan arwah tidak menjenguknya, sudah tentu jasadnya akan terbiar kaku dan mereput dalam biliknya. Allahuakhbar," katanya.

Menurut Ustaz Rafie, arwah bekerja sebagai pencuci kereta di sebuah pusat mencuci kereta dan berasal dari keluarga yang miskin di India dan tiba di Malaysia seorang diri demi mencari rezeki.



Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.

"Jasad arwah disimpan dalam peti mayat HKL sementara menunggu urusan dokumentasi di Kedutaan India yang diselesaikan oleh satu badan bukan kerajaan (NGO) India Muslim.

"Isteri arwah di India reda jasad suaminya disemadikan di Malaysia. Kami menguruskan jenazah arwah di Kontena Wakaf SPJM," katanya.

Tambah beliau, jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak selepas waktu Asar 6 April lalu dan segala kos pengurusan jenazah ditanggung pihak SPJM atas bantuan dan ihsan orang ramai.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain