suria

Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

Ustaz Rafie berkongsi tiga kisah mengenai jenazah yang dilihat tersenyum. Gambar hiasan

RUTIN bagi mereka yang menguruskan jenazah adalah melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira siapa si mati dan latar belakangnya.

Ditakdirkan satu skuad pengurusan jenazah diberikan peluang untuk menguruskan tiga jenazah yang dikendalikan secara berasingan di Hospital Serdang, Selangor.

"Untungnya melihat tiga jenazah ini tersenyum manis. Alhamdulillah, semalam (1 Jun 2020) rezeki kami dapat menguruskan tiga jenazah di Hospital Serdang.

ARTIKEL BERKAITAN: Rindu menebal, hajat bapa jalan kaki 400km nak beraya dengan anak tak kesampaian - "Arwah berkali-kali merayu kepada kakaknya..."

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbang dana tertinggi projek urus jenazah, kongsi 'posting' persiapan ke kubur... tak lama kemudian lelaki ini meninggal dunia

"Kesemuanya jenazah lelaki dewasa. Paling menakjubkan ketiga-tiga jenazah ini kelihatan jelas tersenyum! Allahuakbar!" kata Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid di halaman Facebooknya, pagi Selasa.



Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia berpeluang mengendalikan tiga jenazah di Hospital Serdang.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau berkata, jenazah pertama merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun yang bekerja di sebuah kilang dan meninggal dunia kerana penyakit jantung.

Menurutnya, Allahyarham dimasukkan ke hospital selama dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan seorang isteri.

"Saat saya membuka kain yang menutup wajahnya, kami terkejut melihat wajah arwah yang tersenyum lebar seolah melihat sesuatu yang cukup indah. MasyaAllah! Saya segera memanggil isterinya dan abang kandung arwah.

"Cuba akak dan abang tengok muka arwah ni, senyum lebar. Subhanallah," katanya sambil menambah abang Allahyarham menutup wajahnya kerana bergenang air mata, manakala isteri arwah tidak mampu berkata apa-apa dan hanya menangis.



Urusan jenazah membabitkan seorang anggota tentera.

Mengenai jenazah kedua, Ustaz Rafie memberitahu bahawa, Allahayrham merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja di pejabat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Putrajaya.

Tambah beliau, Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak dikatakan menghidap darah tinggi dan terjatuh di bilik air di rumahnya.

"Wajah arwah juga seakan tersenyum manis dan yang paling mengharukan adalah kehadiran begitu ramai sanak-saudara, jiran dan sahabat arwah untuk menziarahi jenazahnya.

Itulah di antara tanda-tanda husnul khotimah yang Allah tunjukkan kepada kami agar menjadi iktibar dan manfaat berguna buat kita yang masih hidup.

USTAZ RAFIE

"Situasi paling menyedihkan apabila ketiga-tiga anak arwah yang masih kecil mencium wajah ayah mereka untuk kali terakhir. Anak perempuan sulung arwah berusia sembilan tahun hanya diam seribu bahasa seolah masih tidak mengerti apa yang berlaku ketika itu," katanya.

Ustaz Rafie berkata, kes ketiga merupakan seorang anggota tentera yang bertugas di Kem Sungai Besi, yang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan pada awal pagi Isnin ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.



Ramai yang hadir menziarahi jenazah.

Menurut beliau, pihaknya membantu pasukan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menguruskan jenazah.

"Wajahnya cukup tenang dan juga kelihatan tersenyum manis kepada kami. Ramai sahabat arwah bergilir-gilir membantu menguruskan jenazah arwah.

"Allahuakbar. Begitu beruntung kami pada hari ini (Isnin) melihat wajah-wajah yang sangat dicemburui. Entah apalah amalan mereka sehingga dikurniakan wajah yang tenang ketika mereka berhadapan dengan kematian.

"Demi Allah, itulah di antara tanda-tanda husnul khotimah yang Allah tunjukkan kepada kami agar menjadi iktibar dan manfaat berguna buat kita yang masih hidup. Semoga kita juga dikurniakan kematian yang sebegitu," ujar Ustaz Rafie.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain