suria

Hati anak terusik lihat riak wajah ibu, hampir setahun kedai makan hambar tanpa pelanggan... tiba-tiba suasana berubah, tapi apa kaitan Ahmad Fedtri Yahya?

Faizal (kiri) memuat naik video mengenai situasi getir yang dialami ibunya sehingga menjadi tular di media sosial.

HATI anak mana yang tidak terusik apabila melihat riak sedih di wajah ibu tatkala penat menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba saban hari.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan setahun lalu, perniagaan kedai makan yang diusahakan si ibu hampir 15 tahun lalu merosot teruk.

"Kedai mak aku hilang punca pendapatan masa PKP sampai sekarang. Semua ni mak aku masak sorang-sorang sebab pekerja semua tak ada. Ramai work from home, dan punca pendapatan terjejas teruk dalam 70 peratus. Sedikit pun tak dapat pengurangan pembayaran sewa walaupun dah nyatakan alasan tidak dapat meniaga sepanjang tempoh berkenaan," demikian antara coretan di video yang dikongsikan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Ujian PKP 2.0 lebih dahsyat, pengantin baru terpaksa redah panas jual burger naik motor - “Buka kedai berjam-jam, pelanggan tak sampai lima orang”

ARTIKEL BERKAITAN: Warung sepi tanpa pelanggan sejak PKP, ibu mesej dapat RM20 je... siapa sangka kuasa viral ubah nasib menjelang 2021 - "Buka gerai sebab pendapatan makin kurang"

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih melebih 90,000 tontonan di aplikasi berkenaan dan dalam masa yang sama tular di platform media sosial lain.

Menurut Muhammad Faizal Abd Rahman, apa yang lebih menyedihkan apabila ibunya memaklumkan bahawa pemilik premis bertegas agar bayaran sewa yang keseluruhannya berjumlah RM10,500 dilunaskan dalam kadar segera.



Muhammad Faizal berkongsi video mengenai kedai makan ibunya di aplikasi TikTok.

"Sewaktu PKP bermula tahun lalu ibu saya tak dapat meniaga sebab kedai makan tak dibenarkan beroperasi. Apabila sudah dibenarkan beroperasi, memang sambutan sangat hambar dan berbeza seperti dahulu.

"Kedai makan ibu, Tok Ayah Bistro terletak di Danga Bay, Johor Bahru dan bersebelahan Tune Hotel. Kalau sebelum PKP, memang ramai pelancong akan menjamu selera dekat kedai ibu. Tapi sekarang hanya orang bekerja... itupun tak ramai sebab kebanyakannya bekerja dari rumah.

"Saya sebelum ini bekerja sambilan di sebuah syarikat swasta dan dalam masa sama membantu ibu dekat kedai makan selama tiga bulan. Masa tu memang sedih tengok ibu. Saya rakam sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuannya," kata pemuda berusia lingkungan 20an ini.



Kedai makan tersebut sebelum ini menjadi tumpuan ramai.

Menurut Muhammad Faizal, boleh dikatakan kedai makan ibunya hambar tanpa pengunjung selama hampir setahun.

"Saya muat naik di di media sosial bukan untuk meraih simpati, tetapi sekadar nak kongsi pengalaman kami yang terkesan teruk sejak PKP.

"Kami dah cuba beberapa cara antaranya mendaftarkan di syarikat penghantaran makanan (delivery) dan memohon Geran Khas Prihatin (GKP) tapi belum ada rezeki. Memang terasalah perit sebab keadaan kami sangat-sangat memerlukan.

Ibu nak bagi saya gaji tapi saya menolak sebab tahu macam mana keadaan kedai.

MUHAMMAD FAIZAL ABD RAHMAN

ANAK

"Untung memang tak ada... apa yang diperoleh hanya setakat pusingan modal dan perlu digunakan untuk membeli bahan mentah semula.

"Ibu nak bagi saya gaji tapi saya menolak sebab tahu macam mana keadaan kedai. Ibu ada juga mengadu penat, dia lebih suka penat melayan pelanggan daripada penat menunggu pelanggan," ujar anak keenam daripada lapan adik beradik ini.



Selain lauk pauk, kedai makan tersebut turut menyajikan ayam penyet, soto, mi bandung dan bakso.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Faizal berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya mengundang perhatian beberapa beberapa selebriti temasuk pengacara terkenal, Ahmad Fedtri Yahya.

"Abang Fedtri ada mesej dan minta kebenaran untuk buat perkongsian. Selepas beliau share, tak sangka viral. Dan paling mengejutkan, kelmarin (Isnin), kedai makan ibu meriah. Syukur sangat-sangat.



Muhammad Faizal bersama kembarnya dengan ibu mereka.

"Kebanyakan yang datang, mereka beritahu dapat tahu melalui Facebook. Alhamdulillah. Ibu gembira dan dia kata, suasana kedai hari tu jadi macam sebelum PKP dulu.

"Seronok tengok ibu happy. Tapi ada juga yang kata, saya ambil kesempatan ke atas ibu untuk buat content. Tak apalah, mereka senang berkata-kata sebab tak rasa apa yang kami rasa. Tapi ramai juga DM kongsi kisah yang sama.

"Saya mewakili keluarga nak ucapkan terima kasih sangat-sangat kepada semua kerana prihatin dengan kami. Harapan saya, moga sambutan orang ramai terhadap kedai ibu berpanjangan sampai bila-bila," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain