suria

“Bila jatuh lagi bersemangat nak naik lagi” - Tak serik masuk hospital, remaja miliki 4 kuda impi perluaskan bisnes aktiviti rekreasi di pusat tahfiz bapa

Munir memiliki empat ekor kuda yang diletakkan di pusat tahfiz milik bapanya.

SETIAP individu punyai minat tersendiri dalam kehidupan mereka.

Begitu juga dengan Muhammad Munir Ulya Abdul Mutalib, 17, yang mula menabung wang untuk membeli haiwan kesayangannya sejak beberapa tahun lalu.

Akhirnya, pada tahun 2019 dia berjaya membeli seekor kuda sebelum menambah tiga ekor lagi haiwan sama dalam senarai koleksi miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat aktiviti ikut sunnah, wanita hamil terjatuh dari kuda tetap steady walau ramai anggap sengaja ‘cari penyakit’

ARTIKEL BERKAITAN: Kuda kepang meriahkan majlis kahwin, jurufoto buka cerita tetamu dirasuk selepas kemenyan diasap sebelah pelamin

"Seawal usia 13 tahun saya dah simpan duit untuk beli kuda. Sekarang dah ada empat ekor. Dulu saya selalu tunggang kuda kawan je.

"Mula-mula beli seekor dengan duit yang saya simpan sendiri. Kemudian tambah lagi tiga ekor, ayah pun ada tolong sikit," ujarnya yang mesra disapa Munir.

Jelas anak ketiga daripada enam beradik itu, kuda-kuda miliknya ditempatkan di pusat tahfiz bapanya, Abdul Mutalib Maarof yang dikenali sebagai Yayasan An Nahdhoh di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Munir bersama bapanya.

Malah kata Munir, pusat tahfiz itu turut dibuka untuk orang awam yang mana ia turut menawarkan aktiviti rekreasi berkuda dengan harga serendah RM10 sahaja.

"Saya buat tempat untuk orang datang naik kuda di pusat tahfiz ayah sejak tahun lepas. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang datang. Tapi sekarang kurang sikit.

"Kalau ada sesiapa nak belajar tunggang kuda, boleh datang ke sini. Menunggang kuda sebenarnya macam satu terapi.

Saya tak serik. Bila jatuh tu kita lagi bersemangat nak naik lagi.

MUNIR

"Bila naik kuda, tangan dan kaki rasa lenguh, tekanan itu sebenarnya bagaikan mengurut badan kita.

"Kalau nak tunggang kuda santai-santai, dalam dua pusingan... saya tawarkan harga RM10 sahaja," ujarnya.

Jelas Munir, dia yang rapat dengan kuda-kuda miliknya mendedahkan pernah terlibat dengan kemalangan sehingga dimasukkan ke hospital.

Munir meminati haiwan itu sejak kecil lagi.

Namun katanya, ia langsung tidak mematahkan semangat untuk meneruskan kecintaannya terhadap aktiviti itu.

"Saya rapat dengan kuda-kuda tu, saya juga akan berborak dengan mereka sambil-sambil dimandikan.

"Jatuh kuda tu dah banyak kali. Cuma pada tahun 2019, saya pernah masuk hospital kerana jatuh kuda.

Munir berkata, aktiviti menunggang kuda boleh diibaratkan seperti terapi.

"Masa tu saya keluar bermain kuda di kawasan sawah padi sewaktu hujan. Ketika melalui kawasan tar, jalan tu licin dan saya terjatuh sehingga terkoyak kulit di bahagian kaki.

"Saya tak serik. Bila jatuh tu kita lagi bersemangat nak naik lagi," ujarnya berseloroh.

Kata Munir lagi, dia merancang untuk membesarkan bisnes rekreasi kuda itu selepas menamatkan persekolahan nanti.

Munir menawarkan aktiviti rekreasi berkuda di pusat tahfiz Yayasan An Nahdhoh di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Munir juga terharu apabila video dia bersama kuda-kudanya menerima reaksi positif di aplikasi TikTok.

"Rasa macam terkejut tengok jumlah view meningkat. Saya dah lama kongsi video-video dengan kuda.

"Saya rasa lagi bersemangat nak promosi sunnah berkuda ini," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain