suria

Wanita ada 190,000 followers terpikat dengan DM panjang lebar dihantar lelaki guna gambar profil mencurigakan! Selepas kahwin kenapa hanya tinggal 10,000 pengikut?

(kiri) Anna bersama pasangannya yang merupakan juruterbang. (kanan) Anna dan pasangan disatukan sebagai suami isteri pada 14 Februari 2021. -gambar ihsan Anna

SIAPA sangka keberanian seorang pemuda menghantar mesej secara langsung (DM) kepada seorang gadis di laman Twitter membawa pasangan ini ke jenjang pelamin.

Pengantin perempuan membuat pendedahan itu menerusi satu ciapan dengan memuat naik tangkapan skrin (screenshot) yang dihantar pemuda berkenaan.

Walaupun menyedari dirinya yang ketika itu mempunyai 190,000 pengikut (followers) di laman Twitter, lelaki berkenaan mencuba nasib untuk berkenalan dengannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut scam, akhirnya sah 'sangkut'! Wanita tak sangka broker saham pernah ditakutinya kini jadi suami - "Dia mesej selepas saya check in lokasi"

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia ajak kawan-kawan tapi semua malas" - Dari plan 'night run' tak jadi, tunggu di garisan penamat... akhirnya ke jenjang pelamin

Pengantin perempuan tersebut berkata, DM tersebut diterimanya daripada seorang pemuda yang kini adalah suaminya, selepas mendirikan rumah tangga pada 14 Februari lalu.



DM yang dihantar oleh suami Anna menerusi Twitter di awal perkenalan mereka.

Hanya mahu dikenali sebagai Annad, dia menjelaskan sudah terlalu banyak menerima mesej daripada lelaki yang mahu berkenalan dengannya di laman sosial.

"Saya terima DM daripada dia (kini suami) pada Mei 2019. Saya sebenarnya tak suka melayan DM sebab kebanyakannya hantar mesej yang merepek atau mengarut.

"Pada mulanya saya fikir dia seperti lelaki-lelaki lain di Twitter. Apatah lagi tak ada butiran sangat di profil akaun dia, tak letak foto sendiri melainkan gambar kapal terbang dan hanya ada enam followers je, jadi saya ingatkan akaun fake (palsu)," katanya kepada mStar.

Namun, Anna yang berusia 26 tahun berkata, mesej panjang lebar yang dihantar itu lain daripada lain sehingga berjaya mencuri perhatiannya.



Anna hanya mengetahui suaminya bertugas sebagai juruterbang semasa bersemuka buat pertama kali.

"Tak tahulah kenapa terdetik hati saya nak baca DM dia yang panjang lebar tu. Tapi selepas baca, saya rasa mesej dia proper, beradab dan jujur.

"Jadi, saya balas mesej dia. Dan sebagai permulaan kami hanya berkomunikasi menerusi Twitter. Tapi pelik juga sebab dia ambil masa untuk balas atau mesej selepas itu," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Tak kisahlah berapa followers pun, tapi cara dia mesej saya yang proper, beradab dan jujur tu yang buat saya buka hati untuk kenal dia.

ANNA

Dari Twitter, katanya, perkenalan mereka diteruskan ke aplikasi WhatsApp sebelum memutuskan untuk berjumpa secara bersemuka sebulan kemudian.

"Pada pertemuan pertama tu, saya bawa seorang rakan untuk temankan saya jumpa dia. Bila dah jumpa, barulah saya tahu kenapa dia ambil masa untuk balas mesej.

"Rupa-rupanya dia bertugas sebagai juruterbang. Patutlah profil pun letak gambar kapal terbang, Twitter tu lebih untuk dia mengikuti perkembangan dunia bola sepak," katanya sambil menambah rakannya tetap menemaninya sepanjang beberapa pertemuan awal mereka.



Majlis akad nikah yang dilakukan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Anna, lama-kelamaan hubungan mereka bertambah serius dan dia tertarik dengan keperibadian juruterbang yang kini berusia 32 tahun itu kerana bersikap matang.

"Jujurnya, dia ni hambar sebab tak kelakar. Tapi saya sukakan personaliti dia yang matang, sopan, berterus-terang dan ada kalanya romantik.

"Saya tengok cara dia macam ayah saya. Orang kata nak cari jodoh ni kena macam ayah. Memang ciri-ciri kedua-duanya sama," katanya yang merupakan video creator.



Anna (kanan) dan suami mula berkenalan sejak Mei 2019.

Postingnya yang tular itu bagaimanapun menjadi pertikaian dalam kalangan netizen gara-gara akaun Twitternya kini hanya mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

"Ramai persoalkan selepas tweet saya viral, kenapa dulu ada 190,000 followers, dan selepas kahwin saya cuma ada 10,000 pengikut sahaja. Siap kata market saya jatuh teruk lepas kahwin.

"Sebenarnya DM tersebut adalah daripada akaun Twitter saya yang lama sebelum kena hack (godam) akhir tahun lepas. Akaun baharu ni saya buka awal tahun ini. Tak kisahlah berapa followers pun, tapi cara dia mesej saya yang proper, beradab dan jujur tu yang buat saya buka hati untuk kenal dia," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain