suria

Berbulan rancang nak surprise suami, isteri dapat ‘kejutan’ terlebih dahulu... kek birthday terbelah di tangan runner tak jujur - “Kenapalah dia tak fikir”

(gambar kanan) Keadaan kek yang 'patah dua' selepas dihantar runner menggunakan motosikal. (gambar kiri) Kak Dee (kanan) cuba membuat kejutan buat suaminya.

HASRAT seorang isteri untuk membuat kejutan sempena hari ulang tahun buat suami musnah apabila kek hari jadi yang ditempah rosak.

Menerusi video yang dikongsi di laman TikTok, wanita berkenaan meluahkan kekecewaannya terhadap runner atau penghantar barang yang menghantar kek berkenaan.

"Sedih... runner oh runner," tulis seorang wanita di kapsyen video TikToknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Indah khabar dari rupa! Kek hantaran majlis tunang cetus rasa geram... bentuk lain, rasa tak sama - "Ikutkan hati nak tampar muka penjual"

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga dapat kejutan! Pertama kali nak cuba kek ais krim, dua biji sekali gus jatuh ke lantai - "Terlompat macam kera kena belacan tu spontan"

Wanita berkenaan, Nor Diana Norhashim berkata, ia berlaku apabila dia mahu menyambut hari ulang tahun suaminya ke-45 pada 17 Februari lalu.



Keadaan sebenar kek hari jadi sebelum penghantaran dibuat.

Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu, kek tersebut telah ditempah dua minggu lebih awal dan ia dihantar ke rumahnya di Johor Bahru, Johor menggunakan khidmat runner.

"Atas faktor logistik, penjual kek tak ada buat penghantaran. Jadi, saya gunakan khidmat runner untuk ambil dan hantar kek hari jadi tersebut.

"Masa kek tu sampai, saya masih di pejabat. Anak saya yang terima kata ada rosak kat kek. Saya ingatkan rosak sikit, bila balik tengok kek tu 'terbelah' dua," katanya kepada mStar.

Lebih mesra dengan panggilan Kak Dee, dia mengakui begitu terkejut dengan apa yang berlaku kerana kek tersebut sepatutnya menjadi kejutan hari jadi suaminya.



Penutup kotak kek yang lutsinar.

"Berbulan-bulan saya cari penjual kek yang boleh buat kek untuk beri pesanan kepada suami saya yang kaki rokok. Kek tu ada hiasan dan mesej untuk perokok tegar.

"Enam tahun lalu dia pernah janji dengan saya bila umur masuk 45 tahun, dia nak berhenti merokok. Sebab itulah saya carikan kek untuk kasi peringatan kat dia," katanya.

Caj servis yang saya bayar adalah penghantaran menggunakan kereta. Tapi dia guna motosikal untuk hantar kek, macam mana kek tu nak elok?

NOR DIANA NORHASHIM

Menurut ibu kepada empat anak itu, masalah 'kek patah dua' itu berpunca daripada runner yang membuat penghantaran ke rumahnya menggunakan motosikal.

"Saya dah maklum lebih awal kepada runner tu yang barang yang dia nak ambil tu adalah kek. Jadi, saya minta runner tu gunakan kereta untuk hantar.

"Caj servis yang saya bayar adalah penghantaran menggunakan kereta. Tapi dia guna motosikal untuk hantar kek, macam mana kek tu nak elok?" katanya.



Kak Dee (kanan) menyambut ulang tahun suaminya ke-45.

Kak Dee berkata, dia cuba menghubungi runner berkenaan untuk memaklumkan perkara yang berlaku, sebaliknya panggilannya dimatikan dan nombor telefonnya disekat (block).

"Sehubungan itu, saya menasihatkan runner supaya lebih peka dengan pesanan dan permintaan pelanggan, serta menghantarnya dengan bertanggungjawab dan berhati-hati. Ada sebab saya minta runner hantar kek guna kereta.

"Ini bukanlah pertama kali saya guna khidmat dia guna motor dan kereta. Lagipun penutup kotak lutsinar, jadi boleh nampak kek dari luar... kenapalah dia tak fikir," tambahnya.



Kak Dee (berdiri, belakang) bersama keluarganya.

Mengakui masih kesal dengan kejadian yang berlaku, usahawan itu bagaimanapun reda rancangannya untuk membuat kejutan sempena ulang tahun suaminya gagal.

"Ingatkan kalau kejutan kek tu menjadi, dapatlah tengok suami berhenti merokok. Kita tak boleh paksa orang berhenti merokok, tapi hanya boleh beri nasihat.

"Pasal kejutan kek hari jadi tak menjadi tu suami senyum saja. Dia kata tak apalah, tak ada rezeki. Dah tak jadi, macam lambat pula nak tengok dia berhenti rokok.

"Memang frust sangat kejutan tak menjadi. Walaupun kek 'patah dua', sambutan hari jadi tetap diteruskan sampai terlupa nak ambil gambar kami ramai-ramai hari tu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain