suria

Pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar ‘buat hal’, berani tegur Bahasa Arab orang Mesir sampai viral - “Ramai ucap tahniah, ada seorang minta hati-hati”

Video Muhammad Syukri menegur bahasa Arab orang Mesir menjadi viral di saluran penyiaran terkenal dunia, Al-Jazeera.

GARA-GARA lantang mengkritik Bahasa Arab yang digunakan di Mesir, pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar ini menjadi tular di media antarabangsa Al-Jazeera.

Menerusi video berdurasi lebih daripada seminit itu, Muhammad Syukri Abdullah berhujah dengan menegaskan kepentingan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Arab Asli (Fushah) yang merupakan bahasa Al-Quran, bukannya berbahasa Arab pasar (Ammiyah) seperti mana orang Mesir gunakan untuk bertutur dalam kehidupan seharian.

Gara-gara menyuarakan pandangan tersebut, videonya terus viral sekali gus menimbulkan rasa kurang senang segelintir rakyat negara berkenaan apabila bahasa dan cara komunikasi seharian mereka ditegur oleh 'orang luar'.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera wanita dedah sebulan menangis dalam tandas ‘derita’ kerja di Jepun... timing nak bertanya pun kena betul

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Malaysia di Kanada disangka artis Korea, ramai gadis cuba nasib buat jejaka ini keliru - “Kalau ambil serius nanti orang cakap perasan pula”

Berkongsi ceria dengan mStar, pelajar yang senang disapa sebagai Syukri berkata, ketika itu dia dan dua lagi pelajar terpilih menjadi wakil Malaysia untuk menyertai projek memperkasa Bahasa Arab Fushah.

Ia adalah program bulanan Bahasa Arab anjuran Fakuti Media Universiti Al-Azhar yang mana ia turut melibatkan penyertaan mahasiswa dari beberapa negara lain termasuk Indonesia, Burkina Faso dan Mesir.

"Saya ceritakan mengenai kepentingan untuk bertutur dalam Bahasa Arab Asli. Bahasa Arab diturunkan dalam bahasa asli, iaitu bahasa Al-Quran, yang dituturkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta akan jadi bahasa syurga kelak. Bahasa pasar pula wujud akibat penjajahan.



Syukri (empat,kiri) bersama rakan-rakan Indonesia yang sama-sama merupakan ahli sukarelawan YOSH Afrika dan Mesir.

"Saya kaitkan dengan satu peristiwa yang dialami diri sendiri ketika mula-mula tiba di sini. Apabila saya naik bas dan nak beli tiket, saya bertutur Arab Fushah tapi penjual tiket tak faham. Malah mereka gelakkan saya.

"Daripada peristiwa itu, saya jadikan point ketika bercakap di program berkenaan. Saya bukan kritik namun mengajak semua untuk bertutur dalam Bahasa Arab Asli kerana ia bahasa Al-Quran.

"Tapi daripada semua video, video saya ketika ditemuramah pula yang jadi viral. Sebab 'sentuh' tentang mereka sedangkan saya ini orang luar," ujarnya lagi.

Menurut Syukri, meskipun ada yang memberikan reaksi negatif khususnya daripada rakyat negara berkenaan, namun dia bersyukur kerana lebih ramai yang memberikan maklum balas positif.



Ketika pandemik Covid-19, Syukri tetap aktif beraktiviti antaranya mengajurkan kelas memperbaiki bacaan Al-Quran secara online dengan orang di Malaysia.

"Ada yang komen dan menyokong apa yang saya perkatakan kerana adalah lebih elok kita memelihara Bahasa Arab asli kerana ia bahasa Al-Quran sedangkan bahasa pasar ni banyak yang bercampur-baur," ujarnya.

Sejak video berkenaan viral di Al-Jazeera yang sehingga kini meraih lebih 380,000 tontonan dan 3,900 shares, Syukri menambah bahawa dia sendiri tidak menjangka tempias yang diterimanya.

Sungguh tak terbayang dengan apa yang berlaku namun saya bersyukur kerana dapat menyampaikan sesuatu mesej.

MUHAMMAD SYUKRI ABDULLAH

PENUNTUT UNIVERSITI AL-AZHAR

"Dalam seminggu tu, setiap jam dapat panggilan terutama daripada kawan-kawan dan orang yang mengenali saya. Namun dalam banyak-banyak yang ucap tahniah, ada seorang yang minta saya hati-hati terutama jika dipanggil untuk diwawancara... takut nanti jadi isu lain.

"Sungguh tak terbayang dengan apa yang berlaku namun saya bersyukur kerana dapat menyampaikan sesuatu mesej," katanya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

Bercerita serba sedikit mengenai situasinya di Mesir kala pandemik Covid-19 masih menular, Syukri yang juga pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab berkata dia tetap aktif terlibat dengan pelbagai program.



Antara kejayaan sukarelawan YOSH adalah menyiapkan 'tube well' untuk penduduk di Malawi.

"Sebenarnya ketika ini banyak perkara yang boleh saya buat. Saya sukarelawan Youth of Strenght & Happiness (YOSH) MyFundAction, jadi banyak program kami buat antaranya agihan makanan Kotak Rezeki Umat.

"YOSH bukan sahaja membantu masyarakat Malaysia tetapi membantu masyarakat pelbagai negara dari seluruh dunia. Selain itu saya juga anjur kelas memperbaiki bacaan Al-Quran secara online dengan orang di Malaysia.

"Ini kerana bagi saya sendiri, saya berpegang kepada kata-kata manfaatkanlah sekecil-kecil kelebihan kita dan sebarkan kebaikan ke seluruh dunia," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain