suria

Bapa seluk tangan dalam lubang kumbahan satu tamparan hebat, anak guna semua duit bina rumah baharu di kampung - “Mereka tak tahu saya dapat jurusan perubatan”

Demi membalas jasa, Syazwan menunaikan impian bapanya untuk mempunyai rumah sendiri.

WALAU segunung emas permata diberi, namun ia tetap takkan mampu membalas jasa ibu dan bapa.

Justeru selagi hayat masih ada, tunaikanlah apa jua hasrat orang tua dan jangan sekali-kali berkira dengan mereka.

Begitulah kisah Mohd Syazwan Hasanul yang sanggup melaburkan wang demi menyediakan kediaman selesa buat kedua ibu bapanya di kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Jasa ibu jual nasi lemak dihargai, anak ubah suai rumah RM100,000 jadi mahligai "Kalau ayah ada, dia mesti gembira"

ARTIKEL BERKAITAN: Ketika remaja pernah bina rumah bersama ayah, kini jejaka 21 tahun hadiahkan dapur baharu buat ibu... hasil tukang sendiri dari A sampai Z

"Sepanjang hidup saya, dari belajar sampai bekerja, niat saya satu sahaja iaitu semua benda adalah untuk ibu dan abah saya. Masuk saja kerja, terus saya buat pinjaman peribadi dan bagi semuanya pada abah, dicampur dengan duit simpanannya, siaplah rumah keluarga kami," demikian antara coretannya di laman Facebook Tukang Apa Hari Ini yang meraih sehingga hampir 200 shares.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, dia yang senang disapa sebagai Syazwan berkata coretan tersebut dikongsikan secara suka-suka kerana terkenangkan pengorbanan bapanya, Hasanul Ridza, 62, yang membanting tulang empat kerat dan bekerja sebagai tukang rumah demi menyara mereka sekeluarga.

"Kami bukanlah keluarga yang senang... abah hanya bekerja sebagai tukang rumah manakala ibu pula suri rumah. Kami hanya menyewa rumah kecil dua bilik.

"Pada tahun 1997 ketika ekonomi meleset, abah terpaksa berhenti kerja sebagai tukang rumah dan berniaga buah salak dan makanan lain secara kecil-kecilan. Ingat lagi, yuran sekolah pun bertangguh bayar sebab abah tak ada duit.



Bapa Syazwan membina rumah untuk keluarganya dengan kudrat sendiri.

"Teringat ketika Tingkatan 1 di mana saya ikut abah ke rumah orang yang minta abah betulkan tandasnya tersumbat. Saya duduk jauh dan perhati saja abah buat kerja, seluk tangan dalam lubang kumbahan.

"Pakcik tuan rumah tu tanya, 'tengok abah kamu, penat tak dia buat kerja?'. Saya pun jawab 'Penat'. Spontan pakcik tu kata, kalau tak mahu penat, belajar rajin-rajin, besar nanti kerja bagus dan tolong ayah. Kata-kata itu seolah-olah tamparan untuk saya," katanya mengimbas kembali kenangan bersama bapa.

Menurut Syazwan, dia berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi dalam jurusan perubatan.

"Namun saya terpaksa tolak kerana kos yang perlu dibayar mencecah ribuan ringgit. Saya tolak tawaran tu dan tak beritahu abah dan ibu sampai sekarang.

"Alhamdulillah saya sambung pelajaran di institusi lain dan mendapat pekerjaan sebagai penolong pegawai perubatan. Dapat saja kerja, terus saya buat pinjaman dan campur duit simpanan abah untuk buat rumah.



Bagi membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa, Syazwan dan adik-adiknya berpakat membelikan kereta baharu buat orang tua mereka.

"Memandangkan abah adalah seorang tukang rumah, maka rumah tu abah bina sendiri. Memang dia gembira sangat kerana impiannya memang nak ada sebuah rumah sendiri selepas 22 tahun menyewa. Alhamdulillah kini dah lebih lapan tahun dah duduk di rumah sendiri di sebuah kampung di Temerloh, Pahang," ujar anak sulung daripada lima adik beradik ini.

Bukan sahaja rumah, malah Syazwan dan adik-adiknya kemudian sepakat menghadiahkan sebuah kereta baharu untuk keselesaan kedua ibu bapanya memandangkan kereta lama mereka kerap rosak.

Memang dia gembira sangat kerana impiannya memang nak ada sebuah rumah sendiri selepas 22 tahun menyewa.

MOHD SYAZWAN HASANUL

ANAK SULUNG

"Kereta lama Nissan Sunny abah guna sampai bocor bumbung... dan asyik rosak saja. Susah juga sebab abah kena ulang alik temujanji selepas pembedahan jantungnya. Jadi kami pun berpakat dalam diam. Saya janji dengan ibu untuk baiki kereta itu.

"Kami buat kejutan pada hari raya tahun 2018. Terkejut mereka bila nampak saya bawa pulang kereta baharu, model Nissan Sylphy.

"Tapi bagi kami adik beradik, hadiah ini sangat kecil kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan abah yang takkan terbalas sampai bila-bila, yang besarkan kami dengan pendapatan sebagai tukang rumah," ujar lelaki berusia 32 tahun ini.



Syazwan (tengah) bersama ibu bapa dan adik-adiknya.

Tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian, Syazwan dalam masa yang sama berasa terharu dan berbesar hati coretan tersebut dapat memanfaatkan dan memberi mesej kepada netizen.

"Bagi saya, kalau nak kecapi kejayaan dalam hidup, utamakan dahulu ibu bapa. Sebelum kita miliki sesuatu, pastikan mereka juga memilikinya. Memang mereka tak minta, tapi itulah tanggungjawab kita sebagai anak-anak.

"Satu lagi impian saya untuk ibu dan abah adalah menghantar mereka ke Tanah Suci Makkah. Sebelum ini hasrat mereka tertangguh kerana abah diserang sakit jantung. Mudah-mudahan hasrat ini akan terlaksana.

"Bagi adik-adik pula, belajarlah bersungguh-sungguh. Ilmu itu sangat penting. Dengan ilmulah kita dapat bantu ibu bapa serta keluarga," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain