suria

Ibu tak sampai hati, tapi 2 anak kecil tenang semasa hidung dijolok sampaikan dipuji good boy! - “Mereka cuak lihat petugas pakai PPE”

Tangkapan skrin daripada video ketika dua beradik ini menjalani ujian calitan pada Jumaat.

MUNGKIN ramai yang berasa 'seram' apabila melihat prosedur ujian calitan (swab) sebagaimana yang dipaparkan di kaca televisyen ataupun media sosial.

Mereka seolah-olah dapat membayangkan betapa peritnya apabila batang 'swab' dijolok masuk ke dalam lubang hidung untuk beberapa saat.

Namun dalam pada ramai yang beranggapan sedemikian, satu klip video di aplikasi TikTok yang memaparkan dua kanak-kanak lelaki begitu tenang ketika petugas kesihatan menjalankan ujian calitan, begitu mengkagumkan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebar prosedur 'nampak ngeri' di media sosial... doktor kesal, tak sudah-sudah berdepan perangai rakyat Malaysia - “Tengok komen, memang boleh panas hati”

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri, geli tolak tepi! Doktor kongsi kisah jolok hidung, anak tekak buat ujian Covid-19 - “Segala lubang, muntah kami kena hadap”

Menerusi video berdurasi 35 saat itu, kelihatan dua kanak-kanak lelaki yang merupakan adik beradik itu begitu tenang duduk di kerusi belakang kereta dan memberikan kerjasama yang baik kepada petugas kesihatan yang mahu mengambil sampel mereka.

Dalam tempoh 24 jam, video tersebut meraih melebihi 14,000 jumlah tontonan dengan netizen menyatakan rasa kagum mereka dengan semangat dan keberanian dua kanak-kanak tersebut.

Menurut ibu mereka yang hanya magu dikenali sebagai Saliza, rakaman tersebut dilakukan ketika mereka sekeluarga menjalani ujian calitan kali kedua pada Jumaat.

"Kami empat beranak temasuk bapa mereka perlu menjalani ujian calitan kerana kami kontak rapat kepada abang sepupu saya yang disahkan positif Covid-19 pada 1 Januari lalu.

"Ini ujian yang kedua... kali pertama kami lakukan pada Ahad minggu lalu dan keputusannya negatif. Ketika ini (semasa ditemubual) kami sedang menunggu keputusan ujian kali kedua dan kami berdoa agar ia negatif.



Saliza dan keluarganya perlu menjalani ujian calitan selepas menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

"Sekarang kami sedang menjalani kuarantin di rumah. Jika semuanya baik-baik sahaja, insyaAllah kami akan memotong gelang pink pada 12 Januari ini," katanya kepada mStar.

Bercerita lebih lanjut, wanita berusia 30 tahun yang menetap di Serkam, Melaka ini berkata, mereka berkemungkinan mendapat jangkitan berkenaan ketika melawat ibu bapanya di Duyong.

"Kami pulang melawat ibu dan bapa saya sebab dah lama tak menjenguk mereka kerana pandemik Covid-19. Ketika itu, abang sepupu pun ada berkunjung ke sana. Namun ketika itu dia pun tidak tahu dirinya pembawa virus Covid-19.

"Selepas pulang ke rumah, isteri kepada abang sepupu hubungi dan beritahu khabar itu dan meminta kami buat ujian saringan. Saya terdiam seketika, tak tahu macam mana rasanya. Dalam hati saya bertanya, 'Ya Allah, betul ke apa yang aku dengar?'.

"Namun kami tenang dan anggap ini merupakan ujian Allah buat keluarga kami," katanya sambil menambah, ibu bapa, adik beradik dan anak-anak buahnya turut menjalani ujian saringan Covid-19.

Mungkin sesetengah kanak-kanak akan meronta dan menangis, tapi syukur, kali kedua pun mereka beri kerjasama yang baik dan kami tak perlu pegang mereka pun.

SALIZA

IBU

Ujarnya, ketika kali pertama mahu membuat ujian tersebut, kedua-dua anaknya, Akmal Shakil, 6, dan Afnan Syauqi, 5, beranggapan mereka mahu keluar berjalan-jalan.

"Namun saya terangkan kepada mereka situasi sebenar. Sampai klinik, mereka cuak juga bila lihat petugas kesihatan memakai sut PPE. Namun saya beri kata-kata semangat supaya mereka tenang dan tak takut.

"Alhamdulillah, mereka berikan kerjasama yang baik dan tak meronta-ronta pun. Memanglah sebagai ibu, tak sampai hati lihat muka mereka tahan sakit tapi kita kena kuat supaya mereka pun kuat.

"Mungkin sesetengah kanak-kanak akan meronta dan menangis, tapi syukur, kali kedua pun mereka beri kerjasama yang baik dan kami tak perlu pegang mereka pun.

"Alhamdulillah, kami sihat-sihat saja, tak ada simptom. Saya paling risaukan ibu bapa kerana mereka berusia dan ada darah tinggi serta kencing manis. Saya hari-hari berhubung dengan mereka untuk tanyakan keadaan. Alhamdulillah, mereka pun sihat," ujarnya lagi.



Ramai netizen memberikan komen positif dan memuji keberanian dua anak Saliza.

Saliza berkata, tujuannya berkongsi video itu di media sosial sebagai mengabadikan kenangan yang mungkin takkan dilupakan sampai bila-bila.

"Tak sangka pula viral dan ramai yang beri komen positif... mereka puji anak-anak saya 'good boy' dan sebagainya.

"Apapun, mudah-mudahan video tersebut boleh memberi semangat kepada ibu bapa lain yang mungkin berdepan situasi sama seperti kami... mereka boleh tunjukkan video itu kepada anak-anak mereka.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan anak-anak saya dan kami sekeluarga," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain