suria

Alami depresi akibat perbuatan kekasih lama, wanita ini bersyukur masih ada yang sayang....10 hari di wad Psikiatri, si dia tak putus-putus mesej walau tahu tidak akan dibalas

Wanita ini didiagnosis menghidap Major Depressive Disorder (MDD) pada Februari tahun lalu berpunca daripada kenangan pahit bersama bekas kekasih.

HAMPIR tiga tahun menyedari mempunyai tekanan perasaan atau lebih dikenali penyakit depresi akhirnya wanita ini diagnosis Major Depressive Disorder (MDD) pada Februari tahun lalu.

Depresi kini sudah menjadi penyakit mental utama dalam kalangan rakyat Malaysia, bermula dari usia remaja apabila mereka berdepan saat sukar menjalani kehidupan, .

Begitulah yang dirasai seorang remaja yang berusia 20 tahun apabila kini sedang berjuang untuk bebas daripada penyakit gangguan mental itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Inilah kisah paling teruk saya pernah jumpa” - Penceramah dedah kisah wanita depresi hingga nyaris terpesong akidah gara-gara kemelut keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun dibelenggu depresi, 2 kali jalani ujian mental... gadis ini tepis stigma jumpa psikiatrik ertinya gila - “Kalau bunuh diri, sia sia usaha arwah mama...”

Berkongsi cerita kepada mStar, Nur Sofeatul Akmal Mohd Junaidi atau lebih mesra disapa Aya berkata pada peringkat awal keadaanya itu masih boleh dikawal tetapi selepas mempunyai kisah silam bersama bekas kekasih yang merupakan kaki pukul keadaannya semakin teruk dan dipercayai mengalami trauma.

Dia mendedahkan, walaupun sudah dapat melupakan kenangan pahit tersebut tetapi dirinya masih berdepan depresi dan sering kali mengalami 'panic attack'.

"Saya dah lupakan bekas kekasih dan mulakan hidup baru dengan orang lain pun. Tetapi tekanan perasaan kadang-kadang tetap dirasai.



Aya cenderung untuk mencederakan diri sendiri apabila mengalami tekanan.

"Saya pun tak tahu kenapa. Nak cakap banyak masalah tak juga sebab alhamdulillah ramai orang sekeliling yang semakin rapat dan memahami saya.

"Bila datang sahaja fikiran yang bukan-bukan saya terus alami panic attack sehingga menjauhkan diri dari orang lain, jadi marah-marah dan kadang tu sampai cederakan diri sendiri," katanya yang menetap di Bandar Seri Putra, Kajang kepada mStar.

Terbaharu, tular tweet Aya yang dikongsikan melalui akaun Twitternya apabila dia memuat naik beberapa kiriman mesej kekasih baharunya sepanjang dia berada di wad Psikiatri.

Sehingga kini perkongsian itu mendapat sebanyak 7,000 retweets dan 22,000 likes.

"Sepanjang saya dalam wad, dia tak pernah berhenti update saya itu ini," tulisnya di akaun Twitter.



Perkongsian Aya mengenai kisah penyakit yang dihidapinya mengundang perhatian warga Twitter.

Tambah Aya lagi, dia bersyukur dipertemukan dengan kekasih baharu yang cukup memahami dan menerimanya walaupun dia berdepan dengan keadaan depresi sebegini.

Aya memberitahu kekasihnya, Ahmad Rasul Nor Hisyam walaupun berusia 19 tahun tetapi fikirannya sangat matang dan kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu dirinya.

"Dengan izin Allah, dihadiahkan seseorang yang sangat memahami, sanggup beranikan diri bawa keluarga dia berjumpa keluarga saya untuk kenalkan serta cerita kisah hidup saya.

"Walaupun ramai kecam sebab umur kami ini masih muda, tetapi orang tak tahu apa yang kami jalani.

"Dia ibarat hadiah dari Allah untuk saya bangun dan terus kuat menjalani hari-hari yang mencabar ini," ujarnya mengenai pemuda yang bekerja di stesyen minyak dan menetap di Banting, Selangor itu.

Dengan izin Allah, dihadiahkan seseorang yang sangat memahami, sanggup beranikan diri bawa keluarga dia berjumpa keluarga saya.

NUR SOFEATUL AKMAL MOHD JUNAIDI

PESAKIT

Dalam pada itu, dia teruja dengan tindakan kekasihnya itu sehinggakan terpanggil untuk berkongsi cerita itu dengan orang ramai.

Untuk pengetahuan, sepanjang Aya di wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) iaitu dari 19 Disember 2020 sehingga 28 Disember 2020, dia tidak dibenarkan memegang telefon bimbit kerana khuatir fikirannya akan lebih terganggu.

"Sebelum saya tweet tu pun saya tahu akan ada yang menyampah dan akan kecam. Tetapi macam-macam perasaan saya rasa bila baca semua mesej-mesej yang dikirimkan selama saya di wad.



Aya berkongsi mesej serta ciapan kekasihnya yang sangat mengambil berat akan keadaan kesihatan dirinya.

"Saya pun tidak fikir panjang terus kongsi kerana bagi saya biarlah orang nak kata apa, kerana mereka tak rasa apa yang saya lalui.

"Tetapi sebaliknya pula, walaupun ada segelintir yang macam komen negatif, ramai pula yang komen positif, mendoakan kesihatan saya dan hubungan kami.

"Yang paling saya tak sangka, ada juga lelaki yang menghormati tindakan dan usaha kekasih saya itu," jelasnya.

Katanya lagi, hanya orang yang mengalami depresi sahaja tahu perasaan bila dihargai dan disayangi seperti ini.



Aya kini sedang berjuang untuk keluar daripada belenggu penyakitnya dan hidup normal seperti insan lain.

Dia berharap keadaannya akan semakin pulih dan jika semuanya sudah reda. Sememangnya dalam perancangan kedua-dua belah pihak keluarga untuk satukan kami dalam masa terdekat.

Dia yang juga merupakan anak bongsu kepada empat beradik itu akui inginkan kehidupan yang bahagia seperti abang dan kakaknya..

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain