suria

Majlis 3 hari 2 malam, melaram dengan 24 pasang baju glamor... Kak Ida tak boleh lupa kenduri kahwinnya yang ‘grand’ walau kini ada 6 cucu!

Kak Ida (kiri) berkongsi kenangan memakai 24 baju sepanjang majlis perkahwinannya pada 1987. foto ihsan Zuraidah Ismail

RAMAI mengimpikan majlis perkahwinan yang glamor, mempunyai tema dan konsep tersendiri yang kini semakin menjadi ikutan.

Baju pengantin pula tak nak kalah, seboleh-bolehnya mahu diraikan sebagai Raja Sehari dalam persalinan rekaan pereka fesyen terkenal.

Jika rata-rata pengantin kini hanya memakai satu atau dua baju pengantin, sebaliknya seorang wanita menjadi perhatian di media sosial kerana memakai 24 pasang baju sepanjang majlis perkahwinannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin kongsi 'keajaiban' baju nikah arwah mak, dulu tak muat tapi sebulan sebelum ijab kabul tiba-tiba boleh pakai - "Dia lelaki sama saya kenalkan dekat ibu"

ARTIKEL BERKAITAN: Rare! Pengantin baju hitam, semuanya gara-gara 'dugaan' 3 hari sebelum nikah... dah 2020, kenalah ada perubahan - "Isteri kata muka saya iras Lee Dong Wook"

Wanita berkenaan, Zuraidah Ismail berkata, dia berkongsi foto-foto majlis perkahwinannya lebih tiga dekad lalu, pada Januari 1987, susulan permintaan para pengikutnya di Facebook.



Sebahagian daripada 24 baju yang dipakai sepanjang majlis perkahwinan selama tiga hari dan dua malam.

Wanita berusia 54 tahun itu memberitahu, majlis perkahwinan yang diadakan di Kampung Durian Daun di Masjid Tanah di Melaka, berlangsung selama tiga hari dan dua malam.

"Kenduri kahwin dulu-dulu pun grand, malah jauh lebih meriah berbanding sekarang. Sepanjang tiga hari dan dua malam itu, saya pakai 24 baju termasuk baju nikah.

"Masa tu rasa macam jadi model. Setiap kali saya pakai baju itu ini, ada yang kata iras pelakon masa era 80an, macam (Allahyarham) Rafeah Buang, Hazlina Kamsan dan Rubiah Suparman.

"Setiap kali saya tukar baju, saya akan berjalan pusing-pusing ke dapur berjumpa makcik-makcik buat persiapan, potong-potong bawang... selepas tu saya ke luar rumah untuk jumpa pakcik-pakcik buat rewang (gotong-royong untuk persiapan menjayakan majlis)," katanya kepada mStar.



Bergaya dalam pelbagai persalinan sebagai Raja Sehari.

Lebih dikenali sebagai Kak Ida, katanya, 24 baju yang dipakainya bermula dari malam berinai, majlis akad nikah, majlis persandingan, acara makan beradab, majlis berarak sehingga acara joget lambak.

Antara baju yang dipakainya adalah kain songket, baju Korea, sari, baju Siam, baju Jawa, baju Palembang, baju sanggul lintang Melaka dan baju Arab (Oman), serta beberapa gaun.



Kak Ida dan suami turut mengenakan sut dan gaun.

"Paling saya suka ialah baju sanggul lintang Melaka dan baju Arab (Oman). Bagi saya, kedua-duanya mempunyai keunikan tersendiri dan jarang dipakai pengantin, memang rare!

"Selain majlis akad nikah dan bersanding, kebanyakan baju yang saya pakai tukar bersilih ganti untuk sesi fotografi dan berjalan-jalan jumpa saudara-mara dan tetamu. Memang penat bertukar-tukar baju, tapi seronok," ujar ibu kepada enam anak itu sambil menambah kesemua baju disewa daripada butik pengantin.

Menurut Kak Ida, suaminya yang kini berusia 65 tahun turut tidak terkecuali diraikan dengan banyak persalinan sehingga tujuh pasang baju untuk dipadankan bersamanya.



Kak Ida bersama suami dulu (kiri) dan kini (kanan).

Dia yang juga nenek kepada enam cucu itu berkata, persiapan majlis perkahwinannya diadakan secara besar-besaran dengan kerjasama saudara-mara dan penduduk kampung.

"Dulu sangat meriah sebab ramai yang tolong. Bayangkanlah, saudara-mara dah datang ke rumah seminggu lebih awal untuk berkumpul dan membantu buat persiapan sebelum majlis. Sebulan cari kayu api banyak, disusun cantik untuk masak semasa majlis.

Rasa macam jadi model. Setiap kali saya pakai baju itu ini, ada yang kata iras pelakon masa era 80an, macam (Allahyarham) Rafeah Buang, Hazlina Kamsan dan Rubiah Suparman.

ZURAIDAH ISMAIL

"Kenduri pakai tiang buluh, khemah guna kanvas. Segala tiang khemah dililit dengan kertas bunga untuk bagi cantik. Langsir di bilik pengantin tu saya jahit sendiri. Pelamin pun saya hias dan jahit sendiri... saya yang bersanding, saya juga yang buat.

"Majlis dibuat secara besar-besaran sebab saya anak perempuan bongsu dan kenduri kahwin dalam kalangan adik-beradik yang pertama dibuat di kampung kerana sebelum itu kami menetap di Kuala Lumpur," ujar anak kelima daripada tujuh beradik itu.



Kak Ida (belakang, lima dari kanan) bersama keluarganya.

Kak Ida yang mengusahakan restoran di Masjid Tanah, Melaka, berkata, antara persiapan lain apabila arwah bapanya membela berpuluh ekor ayam untuk hidangan buat tetamu.

"Arwah ayah pasang reban, bela kira-kira 80 ekor tiga bulan sebelum majlis. Daripada jumlah tu, 50 ekor ‘dikorbankan’ untuk buat ayam goreng bersalut tepung untuk majlis terakhir yang ada joget lambak.

"Hari-hari kami sekeluarga bagi makan dedak kat ayam. Sebelum menggoreng ayam tu, saya jugalah yang salut dengan tepung tu. Semuanya kenangan terindah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain