suria

Pengantin kongsi ‘keajaiban’ baju nikah arwah mak, dulu tak muat tapi sebulan sebelum ijab kabul tiba-tiba boleh pakai - “Dia lelaki sama saya kenalkan dekat ibu”

(gambar kiri) Baju nikah arwah ibu Ena. (gambar kanan) Ena (kanan) dan suami bernikah pada 6 Oktober 2020.

PERASAAN bercampur baur timbul apabila menonton sebuah video menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seorang wanita yang berdebar untuk dinikahkan.

Video yang tular di media sosial itu menunjukkan pengantin perempuan dalam persalinan baju nikah, yang pernah dipakai oleh arwah ibunya.

"Walaupun ibu tak dapat tengok Ena kahwin, sekurang-kurangnya Ena rasa macam ibu ada bila pakai baju ibu," menurut keterangan video berdurasi kira-kira seminit itu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Selesai majlis, saya sekeluarga bergegas ke hospital" - Sebak bernikah tanpa ibu, tengah malam pengantin buat 'kerja gila'

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas akad nikah, semua tergamam... anak lelaki tunggal ini menangis sujud cium kaki ibu di masjid – "Dia brutal sebenarnya"

Pengantin perempuan, Sharifah Aina Syaza Syed Nasir, 23, memberitahu, dia bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Muhammad Shamil Zafrie Zakaria, 23, pada 6 Oktober lalu.



Dari rakan sekolah sehingga ke jenjang pelamin.

Namun katanya, pernikahannya berlangsung tanpa ibu, Allahyarham Nor’Aripah Md Naim yang dijemput Ilahi 8 Disember 2018 pada usia 44 tahun kerana kanser paru-paru tahap empat.

"Tapi beberapa bulan sebelum ibu meninggal dunia, saya terjumpa baju nikah ibu tersimpan elok di dalam almari di bilik. Ibu tunjuk baju tu yang sangat cantik.

"Saya teringin nak pakai baju nikah arwah ibu walaupun masa tu belum ada perancangan untuk berkahwin. Tapi malangnya tak muat pula baju tu," katanya kepada mStar.



(kiri) Baju nikah yang dipakai arwah ibu Ena pada 1996. (kanan) Ibu Ena dijemput Ilahi pada 2018.

Lebih mesra disapa Ena, katanya, selepas lebih setahun pemergian ibunya, dia bertemu jodoh dengan bekas rakan sekolah dan merancang untuk mendirikan rumah tangga.

"Kami merancang untuk berkahwin pada Oktober, tetapi saya menempah baju nikah dengan perancang perkahwinan lebih awal pada Februari bagi memudahkan urusan.

"Namun, kira-kira sebulan sebelum nikah, teman-teman rapat kata badan saya semakin susut. Saya tak adalah jaga makan sebab nak kahwin, sedar pun bila teman-teman yang cakap," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Seri Iskandar, Perak.

Susulan respons yang tidak disangka-sangka itu, kata Ena, dia terdetik hati untuk mencuba baju nikah arwah ibunya yang sebelum ini tidak muat pakainya.



Kenangan... Ena (dua, kanan) dan Shamil (kanan) bersama arwah ibu (belakang, baju merah) dan keluarga.

"Bila saya pakai semula baju nikah arwah ibu, ya Allah sedang elok saya pakai. Lebih 6 kilogram juga saya susut sampai muat pakai baju tu.

"Jadi, saya batalkan tempahan sewa baju nikah dan memutuskan untuk pakai baju nikah arwah ibu pada pernikahan saya," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Walaupun ibu tak ada, tapi saya dapat rasa 'kehadiran' ibu bila pakai baju tu masa nikah.

SHARIFAH AINA SYAZA SYED NASIR

Mengenai hari pernikahan, peniaga secara dalam talian itu berkongsi kegembiraannya kerana dapat disatukan bersama jejaka pilihan yang dikenalinya sejak di sekolah menengah.

"Saya gembira sangat dapat pakai baju nikah arwah ibu, tapi pada masa saya sebak. Rasa sedih sebab ibu tak ada bersama menyaksikan hari bahagia saya.



Raya 2018 bersama ibu (kiri) dan gambar raya 2020 tanpa ibu (kanan).

"Dia (suami) adalah rakan lelaki yang sama saya kenalkan dekat ibu pada 2014. Masa tu kami hanya rakan sekolah dan tak sangka kami berkawan sampai berkahwin.

"Walaupun ibu tak ada, tapi saya dapat rasa 'kehadiran' ibu bila pakai baju tu masa nikah. Macam-macam rasa ada masa nikah, gembira sangat dan sebak," tambahnya.

Menurut Ena, individu yang paling terkesan pada hari pernikahannya sudah tentu bapanya kerana dia merupakan anak sulung selain baju yang dipakainya adalah ketika bapanya menikahi arwah ibunya pada 1996.

"Ayah mungkin seorang yang tak reti menunjukkan perasaan dia tapi saya tahu ayah gembira dengan keputusan saya untuk memakai baju nikah arwah ibu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain