suria

“Selesai majlis, saya sekeluarga bergegas ke hospital” - Sebak bernikah tanpa ibu, tengah malam pengantin buat ‘kerja gila’

Nur Amirah bersama keluarganya sewaktu melawat ibunya secara mengejut di hospital selepas majlis persandingan. Foto instagaram @kidxblunt_ / Muhammad Akid

SIAPA yang tidak sedih apabila hari bahagia dan bersejarah tidak dapat disaksikan oleh insan tersayang bergelar ibu.

Di saat pengantin perempuan mahu dinikahi pasangannya, ketika itu juga ibu kesayangan yang disapa 'mama' terlantar di hospital.

Namun, sekeping gambar yang menunjukkan pasangan pengantin baharu itu bersama keluarganya di sebuah wad hospital mengundang sayu netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mama jelah sanding nanti, kita nak nikah je” - Anak mulut masin, mak ayah jadi ‘pengantin’ di majlis perkahwinan idamannya

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buat kejutan bawa mak ke Pulau Tioman, hadiah rantai emas undang drama air mata – “Apa yang saya buat ni tak cukup”

“Walaupun mama tak dapat datang hari bahagia Along tapi kita orang tetap tunaikan hajat mama nak bergambar satu famili. Sayang mama dunia akhirat,” menurut perkongsiannya di laman Twitter sehingga menjadi tular.

Momen penuh beremosi antara dua beranak pada majlis akad nikah.

Pengantin berkenaan, Nur Amirah Syahindah Hanapi berkata, majlis pernikahan diadakan pada Ahad malam lalu, diikuti majlis persandingannya sejurus selepas itu, di Kuantan, Pahang.

Wanita berusia 24 tahun itu memberitahu, ibunya bagaimanapun tidak dapat turut serta kerana dimasukkan di sebuah hospital di Kuantan kerana mengalami kecederaan di tulang paha kanan kira-kira seminggu sebelum majlis.

“Mama sebenarnya terkena serangan strok kira-kira dua bulan lalu dan dimasukkan ke hospital. Mama kemudian dibenarkan keluar dan semakin beransur pulih.

“Tapi mama hampir terjatuh akibat kakinya lemah semasa kami berjalan menghantar rombongan pengantin ke kenduri kahwin sepupu. Mujur saya dan kawan pimpin mama ketika itu,” katanya kepada mStar sambil menambah ibunya kemudian dimasukkan semula ke hospital dan terlantar sehingga kini.

Nur Amirah mencium ibunya sewaktu membuat lawatan mengejut di hospital.

Nur Amirah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, majlis perkahwinan perlu diteruskan kerana segala persiapan telah dilakukan.

Namun apa yang menyedihkan bagi pembantu klinik itu, ibunya merupakan antara orang paling teruja untuk membuat persiapan bagi majlis perkahwinannya.

“Kami ada minta kebenaran pihak doktor untuk membawa keluar mama sekejap untuk hadir ke majlis akad nikah saya, tapi mereka tak izinkan... dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan mama.

Melihat mama menangis membuatkan saya turut menangis. Syukur hasrat mama dapat kami tunaikan. Semoga mama cepat sembuh.

NUR AMIRAH

“Majlis akad nikah biasanya ada ibu di sisi, tapi tak ada. Bila dah selesai akad nikah, ayah datang peluk saya dan masa tu memang sangat terasa terutama dengan ketiadaan mama,” katanya.

Menurut Nur Amirah, ibunya sebenarnya pernah menyuarakan hasrat untuk bergambar bersama seisi keluarga pada hari perkahwinannya.

Nur Amirah (kanan) bersama ibunya.

Justeru dia bersama suami, bapa dan dua adiknya telah membuat rancangan untuk menunaikan permintaan ibunya itu selepas majlis perkahwinan.

“Majlis akad nikah dan persandingan dibuat di kawasan yang sama. Dan selepas selesai majlis, saya sekeluarga bergegas ke hospital.

“Masa tu dah tengah malam, waktu melawat pun dah berakhir tapi mujur pengawal keselamatan izinkan kami masuk. Mama terkejut melihat saya dan suami masih berpakaian pengantin,” tambahnya.

Nur Amirah sekeluarga pada majlis ulang tahun ibunya yang ke-45 tahun lalu.

Nur Amirah berkata, dia tidak dapat menahan sebak apabila ibunya menangis melihat mereka sekeluarga dapat berkumpul bersama di hospital.

“Melihat mama bangun menangis tengok kami di wad membuatkan saya turut menangis. Syukur hasrat mama dapat kami tunaikan. Semoga mama cepat sembuh,” katanya sambil menambah ibunya akan menjalani pembedahan kerana masalah tulang paha kanannya tidak lama lagi.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
pengantin, mama, strok, hospital

Artikel Berkaitan

Artikel Lain