suria

Nyanyi lagu Sleepy Mummy sakat cikgu senior sedang mengajar, sekali dapat balasan lagu lebih gerun - “Sudah pasti saya tahu batas gurauan”

Gelagat Mohd Nasyaruddin menyanyi lagu Sleepy Mummy untuk mengusik rakannya yang dipanggil Puan Rozita menjadi tular di Twitter.

“MENGANTUK... mengantuk… nak tidur mana.”

Itu antara lirik lagu ‘Sleepy Mummy’, lagu yang sedang trending ketika ini. Bukan sahaja terkenal dalam kalangan kanak-kanak, tetapi ia turut menjadi siulan orang dewasa kerana liriknya yang lucu dan catchy.

Baru-baru ini tular satu video menunjukkan seorang guru menyanyikan lagu tersebut sewaktu melintasi sebuah kelas kerana mahu menyakat rakannya yang sedang mengajar di dalam kelas tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

ARTIKEL BERKAITAN: Suruh pelajar mengajar Prinsip Perakaunan depan kelas, cikgu sporting tak kisah dirinya kena ajuk - “Apa yang diajar itu betul...”

Apa yang melucukan, tanpa disangka-sangka nyanyian guru tersebut disambut oleh murid-murid di dalam kelas berkenaan sekali gus mencetuskan suasana gamat.

Video yang dimuatnaik oleh pelayar Twitter, Nash Mahmod itu menjadi tular sehingga meraih 34,900 retweet dan 27,300 like.

Malah ia turut mengundang komen-komen lucu netizen yang terhibur dengan gelagat guru dan murid-murid berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, guru berkenaan, Mohd Nasyaruddin Mahmod berkata dia pada mulanya sekadar mahu menyakat rakannya yang sedang mengajar.

Nasyaruddin merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Pontian, Johor.

“Saya dalam perjalanan untuk pergi mengajar ke sebuah kelas, kebetulan saya lalu di kelas yang sedang diajar rakan. Saya pun terfikir nak menyakatnya dan rakam.

“Lalu saya pun menyanyikan lagu Sleepy Mummy itu sambil melintasi kelasnya. Tak sangka murid-murid dalam kelas tu boleh pula sambung menyanyi,” kata guru bahasa Inggeris tersebut.

Menurut guru berusia 28 tahun ini, dia tidak menyangka video tersebut menjadi tular kerana tujuannya hanya sekadar mahu berkongsi dengan kenalan di laman sosial tersebut.

Sebenarnya, saya dan guru tersebut, Puan Rozita Normala selalu sakat menyakat. Malah saya anggap dia seperti ibu sendiri.

MOHD NASYARUDDIN MAHMOD

GURU BAHASA INGGERIS

“Masa rakam tak rasa apa-apa pun. Tapi bila tengok banyak kali, macam kelakar pula. Malah ramai yang beri komen kata kelakar, tambah-tanbah lagi dengan respons rakan saya yang dianggap garang dalam video itu.

“Namun ada sesetengahnya pula kata tindakan saya agak tidak patut. Sebenarnya, saya dan guru tersebut, Puan Rozita Normala selalu sakat menyakat. Malah saya anggap dia seperti ibu sendiri.

“Kami banyak bekerja bersama sebagai satu team kerana kami sama-sama mengajar subjek bahasa Inggeris. Dia ibarat senior saya dan saya hormatinya. Orang yang komen negatif tu mungkin tak tahu duduk sebenar situasi antara kami,” ujarnya yang berasal dari Pontian, Johor.

Antara komen netizen terhadap perkongsian video oleh Mohd Nasyaruddin di Twitter.

Tambah Mohd Nasyaruddin, guru wanita tersebut juga mengetahui video tersebut tular di laman sosial.

“Dia tahu selepas viral. Tapi dia sangat OK, tak ada masalah. Sebab kami dah saling mengenali, jadi sudah pasti saya tahu batas-batas gurauan,” ujarnya.

Mohd Nasyaruddin juga menyifatkan guru wanita berusia 53 tahun itu sebagai seorang yang amat pemurah dan sangat mengambil berat.

Cikgu Rozita Normala atau dipanggil Kak Ita merupakan seorang salah seorang guru yang sangat disenangi dan dihormati Mohd Nasyaruddin.

“Kalau keluar, mesti dia yang akan belanja makan. Dia sebenarnya bukan seorang yang garang, tapi lebih kepada seorang yang caring seperti ibu dengan anak-anak.

“Tapi reaksinya dalam video itu walaupun kelihatan garang, tapi masih kelihatan lucu kerana dia cuba melagukan semula ikut rentak lagu.

“Bila video ni viral dan ramai share, saya tidak rasa gembira sangat. Tapi saya gembira apabila ada yang kata video tersebut buat stress mereka hilang. Sekurang-kurangnya ia ada impak positif kepada netizen,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain