suria

Wanita kongsi derita hidap OCD, memori phone penuh dengan video, gambar demi puaskan hati sendiri - “Pernah patah balik rumah masa balik kampung”

Noha terkejut apabila mengetahui ramai mengalami nasib sama sepertinya.

MELAKUKAN sesuatu perkara berulang kali kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum itu tidak sempurna antara simptom yang sukar ditinggalkan penghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).

Lebih teruk ada yang membasuh tangan berulang kali selepas memegang sesuatu benda kerana merasakan masih ada kuman melekat yang akan memudaratkan diri.

Seorang wanita berkongsi kisah dirinya yang turut menghidap gejala itu sejak kecil selepas Instafamous, Khairul Aming bertanyakan sama ada tindakan dia memeriksa keretanya berulang kali kerana tidak yakin sudah berkunci atau tidak sebagai sesuatu yang normal atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak menghidap penyakit tu” - Timun, lauk tersusun rapi... penjual nasi lemak tak tahu apa itu OCD

ARTIKEL BERKAITAN: Anda mungkin tergolong dalam kategori OCD, kenali tanda-tanda awal

Tweet tersebut mendapat hampir 3,000 ulang kicau dan 8,400 tanda suka daripada netizen.

Menurut Noha Khalil, dia tidak menduga ramai individu yang mengalami nasib sama sepertinya.



Antara komen netizen yang turut mengalami nasib sama seperti Noha.

"Bila saya baca tweet Khairul Aming tu, barulah saya tahu saya tidak bersendirian selama ini. Rupa-rupanya ramai alami masalah sama seperti saya.

"Saya sedar ada masalah was-was sejak di bangku sekolah rendah. Masa tu saya tak fikir apa sebab budak-budak lagi tapi bila dah besar barulah tahu benda ni satu penyakit sebenarnya," katanya kepada mStar.

Jelas wanita berusia 30 tahun itu, perasaan tidak yakin terhadap sesuatu perkara yang dilakukannya masih berlarutan sehingga hari ini.

"Saya pernah tawaf kereta lima kali untuk pastikan semua pintu dah berkunci ke tidak. Sampaikan ada akak satu pejabat pelik tengok apa yang saya buat.

"Lebih teruk lagi sampai tahap tombol pintu kereta Kancil saya tercabut. Nasib baik abang saya duduk dekat, jadi saya minta tolong dia untuk betulkan," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Bukan itu saja, Noha berkata dia pernah berpatah balik semula ke rumahnya dekat Sungai Buloh dari Seremban kerana tidak yakin pintu rumahnya sudah berkunci.



Noha akan merakam video dan gambar aktiviti yang dilakukan untuk menghilangkan perasaan was-was.

"Masa tu saya nak balik kampung di Kluang, Johor. Sampai je Seremban, saya jadi resah sebab fikirkan fasal pintu rumah. Saya sanggup patah balik rumah semula.

“Saya juga sanggup tak makan waktu rehat semata-mata nak balik rumah sebab bimbang pintu rumah tak berkunci. Bayangkan dalam masa sejam tu saya pecut balik rumah sekejap," katanya yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara.

Saya ada cuba tapi tetap tak boleh nak buang perasaan tu. Saya juga akan ambil video dan gambar untuk pastikan saya dah buat sesuatu benda... sampai penuhlah memory phone saya.

NOHA KHALIL

Pegawai khidmat pelanggan

Wanita berusia 30 tahun itu mengakui apa yang dihadapinya itu mengganggu rutin hariannya.

"Sikap ni memang memberi kesan pada rutin harian saya. Saya akan jadi cemas dan gelisah di tempat kerja jika perasaan was-was tu tiba-tiba datang.

"Kerja pun of course akan terganggu tapi kawan-kawan pejabat faham masalah saya. Bila saya mula resah, mereka akan ajak saya berborak untuk lupakan perkara tu," katanya.

Tambah Noha lagi dia cuba membuang perasaan was-was itu tetapi ternyata sukar.



Tombol pintu kereta Noha pernah tercabut kerana mahu memastikan kereta sudah berkunci atau tidak.

"Saya ada cuba tapi tetap tak boleh nak buang perasaan tu. Saya juga akan ambil video dan gambar untuk pastikan saya dah buat sesuatu benda... sampai penuhlah memory phone saya.

"Kadang saya ketuk-ketuk terutamanya pintu rumah dan pintu kereta sebagai isyarat saya dah kunci tadi. Selain tu saya juga buat-buat busy sampai saya terlupa perkara tu.

"Bila fikir balik rasa lawak dan pada masa sama sakit hati. Kadang tu nak pergi kerja pukul 7 pagi tapi 7.30 pagi baru pergi sebab turun naik nak pasti semuanya selamat," katanya.

Ditanya sama ada dia ada bertemu doktor bagi mengatasi masalah itu, Noha berkata dia tidak pernah terfikir ke arah itu.

"Saya tak pernah fikir nak jumpa doktor kerana saya rasakan masalah tu adalah penyakit diri sendiri. Saya hanya tawakal dan berdoa minta dijauhkan daripada perkara tidak baik," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain