suria

Bersama 64 tahun hingga ke hujung nyawa... berkongsi tarikh lahir, pasangan warga emas ‘dijemput’ ke negeri abadi pada hari sama - “Atuk minta pelukan semua orang sambil menangis”

Pasangan Wan Yahya Wan Husin dan isterinya Wan Zainoon Wan Chik meninggal dunia hanya selang beberapa jam pada hari yang sama , 3 November lalu.

BEGITU indah percaturan Allah buat pasangan ini.

Bukan sahaja berkongsi tarikh lahir yang sama, pasangan ini juga dijemput menemui Pencipta-Nya pada tanggal sama.

Pasangan ini membuktikan bahawa hubungan mereka benar-benar sehidup semati dan bercinta sehingga ke hujung usia.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tak sangka lelaki sanggup korban tidur sebab nak ‘guide’ daki gunung akhirnya ‘guide’ dirinya ke jannah - “Mula-mula tak suka dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa sekali je tapi ‘caring’ lain macam, wanita beranikan diri ajak lelaki baru kenal 2 bulan kahwin... jawapan diterima sangat tak disangka

Kisah Allahyarham Wan Yahya Wan Husin, 86, dan isterinya Wan Zainoon Wan Chik, 83, menjadi tular dan mendapat liputan media arus perdana selepas dikongsikan oleh cucunya, Nurul Fatin Syuhada Mohamad Zaimi di Twitter.

"Indah sungguh aturan Allah. Cinta hingga hujung nyawa. Always be together until the day they die. Lahir pada tarikh yang sama (4 Februari), meninggal pun tarikh yang sama (3 November)," demikian ciapan gadis berkenaan.



Detik-detik terakhir datuk dan nenek kepada Fatin yang sempat berjumpa antara satu sama lain ketika sama-sama dimasukkan ke hospital.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 19,300 retweet dan dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya meluahkan kekaguman mereka terhadap hubungan datuk dan nenek gadis tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang senang disapa sebagai Fatin berkata neneknya terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhir pada waktu pagi, 3 November lalu, sebelum disusuli oleh datuknya pada sebelah malam.

Menurut Fatin, neneknya sebelum ini tidak mempunyai tanda-tanda menghidap penyakit kanser sehinggalah baru-baru ini dia mengadu sakit perut dan muntah.



Datuk dan nenek Fatin dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain.

"Bila check di hospital, nenek disahkan menghidap kanser usus dan terus ditahan di wad selama dua minggu. Nenek meninggal pada 3 November, jam 6.48 pagi di hospital.

"Atuk pula sudah lama menghidap sakit saraf. Sehari selepas nenek dimasukkan ke hospital, suhu atuk tinggi. Bila check di hospital, rupa-rupanya ada jangkitan kuman di paru-paru.

"Atuk dirawat di wad hanya selama seminggu. Atuk meninggal pada pukul 9.40 malam di rumah mak saudara iaitu tempat di mana kami uruskan jenazah nenek pada siang hari sama," katanya kepada mStar.

Mengimbas kembali detik penuh duka itu, Fatin berkata dia tidak dapat melupakan permintaan terakhir datuknya yang mahu memeluk seluruh ahli keluarga sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Mereka juga selalu ke masjid untuk solat berjemaah bersama sehinggalah mereka uzur. Mereka selalu makan bersama, dan tidak pernah makan di luar.

NURUL FATIN SYUHADA

CUCU

"Sehari sebelum nenek meninggal, atuk juga ada minta pelukan dari semua orang sambil menangis seperti atuk tahu nenek tengah kritikal. Doktor juga suruh bawak atuk untuk jumpa nenek," kata gadis berusia 22 tahun ini.

Ketika berkongsi amalan atau petua bagaimana datuk dan neneknya mengekalkan hubungan bahagia hingga hujung nyawa, cerita Fatin, kedua-duanya sentiasa melakukan setiap perkara bersama selama 64 tahun melayari bahtera perkahwinan.

"Mereka berdua sentiasa bersama. Dari muda mereka usahakan kedai runcit dan dikenali ramai di Kuala Berang, Terengganu.

"Mereka juga selalu ke masjid untuk solat berjemaah bersama sehinggalah mereka uzur. Mereka selalu makan bersama, dan tidak pernah makan di luar.

"Kebiasaannya nenek akan masak untuk atuk. Nenek pun selalu bawakkan semangkuk air untuk atuk basuh tangan," ceritanya.



Gambar kenangan Fatin (tengah) bersama arwah nenek dan datuknya.

Malah dedah Fatin, dia sendiri tidak pernah melihat datuk dan neneknya bergaduh.

"Mereka berbincang dengan baik dan selalu bertolak ansur. Mereka juga mempunyai sifat penyabar yang tinggi," katanya sambil menambil, datuk dan neneknya dikurniakan lima anak.

Menyingkap perwatakan datuk dan neneknya dari kaca mata seorang cucu, Fatin berkata kedua-dua amat memanjakan cucu sejak kecil sehinggalah besar.

"Setiap hari Jumaat, nenek akan masakkan nasi minyak dan makan bersama anak-anak dan cucu-cucu.



Fatin (dua dari kanan, belakang) dan keluarganya bersama arwah datuk dan neneknya sewaktu Aidilfitri baru-baru ini.

"Nenek pun ingat makanan kegemaran masing-masing, jadi selalunya nenek akan sediakan pada hari tersebut," kongsinya.

Menurut Fatin, dia sekadar berkongsi kisah datuk dan neneknya sebagai kenangan namun tidak menyangka ia menjadi tular.

Namun dia berharap agar kisah berkenaan dapat menjadi teladan kepada orang lain, selain turut mendoakan agar setiap insan dikurniakan dikurniakan jodoh yang baik-baik.

"Kesimpulannya, kebahagiaan sesebuah rumah tangga datangnya dari keberkatan Allah," akhirinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain