suria

Tak mampu bayar sewa van dari KL ke Bera, waris sanggup bawa balik jenazah baringkan kerusi hadapan kereta – “Hidup arwah memang susah”

Isteri arwah mencium jenazah suaminya selepas dikafankan. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

HIDUP ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, bukannya mudah.

Penderitaan yang dirasai golongan ini sudah pasti bertambah apabila berlaku kejadian ahli keluarga dijemput Ilahi.

Antara kesulitan yang terpaksa ditempuhi dalam situasi ini sudah tentulah dalam hal menguruskan jenazah untuk dibawa hingga ke liang lahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hidup sebatang kara maut jatuh bangunan, kehadiran juruteknik tak berduit bantu urus pengebumiannya buat team urus jenazah kagum

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkongsi pengalaman pasukannya menguruskan jenazah lelaki yang semasa hayatnya hidup dalam kesusahan.



SPJM membantu menguruskan jenazah.

Katanya, lelaki berusia 52 tahun yang menetap di Kuala Lumpur itu meninggal dunia secara mengejut akibat komplikasi jantung, minggu lalu.

"Dia menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya. Tetapi jenazah perlu dikebumikan di kampung halamannya di Bera, Pahang.

"Arwah dah lama tidak bekerja kerana sakit. Sahabat arwah kata hidup arwah memang susah," katanya kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, dia memberitahu bahawa isteri arwah berasal dari Indonesia dan bekerja mengambil upah mengikut hari.

"Tak pasti kerjanya apa. Tapi isteri arwah bekerja biasa saja secara harian. Skuad saya bertemu dengan waris," katanya.



Van SPJM bersiap sedia untuk membawa jenazah.

Namun, kisah menyayat hati berkaitan urusan pengantaran pulang jenazah terbongkar sebelum sahabatnya itu mendapatkan bantuan daripada SPJM.

"Pihak SPJM dihubungi oleh sahabat kepada isteri arwah yang memohon bantuan pengurusan jenazah dan penghantaran jenazah ke Bera.

Tiada siapa di dunia ini yang dapat lari dari menghadapi ujian, malah ia boleh berlaku secara bertimpa-timpa

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

"Sahabatnya beritahu mohon bantu waris ini ustaz. Mereka buntu sebab tak mampu nak bayar sewa van jenazah. Dia nak bawa balik mayat naik kereta sendiri saja dengan cara baringkan kerusi hadapan.

"Allahuakbar. Begitulah penjelasan yang diberikan oleh sahabat waris yang inginkan pengurusan jenazah dilakukan dengan cara yang terbaik," katanya sambil menambah bahawa SPJM telah membantu dan menanggung segala kos pengurusan jenazah.

Tambah Ustaz Rafie, jenazah perlu melalui prosedur bedah siasat di sebuah hospital berikutan tiada dokumen perubatan yang dapat mengesahkan punca kematiannya.



Jenazah dibawa masuk ke dalam van untuk dibawa ke Bera, Pahang bagi pengebumian.

Ustaz Rafie juga memberitahu dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila mengenang kembali nasib yang perlu dihadapi waris.

"Rasa sedih sebab kita tinggal di negara yang serba lengkap mencukupi. Mujur maklumat mengenai kesusahan mereka sekeluarga disampaikan kepada kami.

"Waris juga sempat memaklumkan bahawa mereka baru kehilangan adik bongsu arwah lebih kurang dua bulan lalu. Arwah merupakan anak sulung dalam keluarganya," ujarnya.

Selain isteri, Ustaz Rafie berkata, arwah turut meninggalkan seorang anak lelaki berusia 14 tahun yang belajar di sebuah madrasah di Pahang.

"Tiada siapa di dunia ini yang dapat lari dari menghadapi ujian, malah ia boleh berlaku secara bertimpa-timpa.

"Namun percayalah setiap ujian itu jika dihadapi dengan sabar dan ikhlas pasti besar ganjarannya di akhirat nanti, insyaAllah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain