suria

“Satu-satunya wanita yang amat saya kasihi dah tiada” - Suami menyesal lebih utamakan kawan, anggap isteri beban selama 15 tahun bersama... cuba berubah tapi dah terlambat

Seorang pelayar berkongsi kisah penyesalan seorang suami yang hanya menyedari kesilapannya mengabaikan isteri selepas wanita itu sakit tenat. Gambar hiasan

SERING kali kita mendengar ungkapan, apabila dekat bergaduh, namun jika berjauhan mulalah timbul perasaan rindu.

Ketika itu baharu terdetik perasaan menyesal kerana tidak menghargai sebaik-baiknya insan kesayangan ketika mereka berada di depan mata.

Begitulah perasaan yang dialami oleh seorang suami ini yang kehilangan isteri kesayangan akibat kanser rahim tahap empat, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sentap... depan mata suami beri hadiah hari lahir buat adik, isteri sendiri dilupakan - “Kalau merajuk pun takkan dipujuk”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak tanya anak isteri makan ke tak” - Dah la tanggung suami si biawak hidup, menumpang rumah mentua pula tapi tak ngam

Menerusi coretan wanita tersebut, kisah yang dikongsikannya adalah mengenai teman baiknya sendiri yang meninggal dunia pada Februari 2018.

"Alhamdulillah arwah menderita tidak lama. Tiga bulan terlantar sakit sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Subuh dan meninggalkan si suami bersama seorang putera yang masih kecil dan dua puteri yang masih bersekolah.

"Sebulan selepas pemergiannya, si suami telah datang ke rumah saya bersama sekotak pakaian arwah. Sebelum arwah pergi dia sempat berpesan kepada si suami supaya sedekahkan segala pakaian miliknya yang masih elok kepada sesiapa yang memerlukan.

"Si suami tidak tahu ke mana arah untuk disalurkan pakaian milik si isteri mungkin masih baru dan tidak dapat berfikir dengan jelas maka diamanahkan kepada saya," tulisnya.



Si suami mengakui dia mengabaikan wanita yang telah diamanahkan kepadanya sepanjang perkahwinan mereka. Gambar hiasan.

Namun sebaik sahaja membuka kotak yang dihulurkan, wanita tersebut tersentak apabila suami kepada arwah rakannya itu secara tiba-tiba meluahkan rasa kesal dan terkilan kerana pakaian isterinya tidaklah banyak.

"Semalam saya buka almari arwah dan hanya ini sahaja yang arwah ada... 15 tahun saya bersama arwah, langsung saya tidak pernah ambil tahu setiap kehendak arwah isteri. Saya abaikan arwah sehinggakan arwah sakit pun saya tidak tahu.

"Dahulu masa sebelum kahwin saya pernah terlihat di dalam beg kecil arwah ada pelbagai jenis lipstik, pelbagai jenis bedak muka dan macam- macam lagi make up yang arwah ada. Tetapi bila dah jadi isteri saya, semuanya habis tidak berganti," luah si suami.

Dalam raut wajah sugul, si suami meluahkan rasa kesalnya kerana tidak pernah menghargai mahupun melayani isterinya dengan baik semasa hayatnya masih ada.

Malah dia juga tidak segan mengakui lebih mengutamakan rakan-rakan berbanding isteri sendiri.



Bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, malah lelaki tersebut juga menyesal kerana terlambat mengetahui penderitaan yang ditanggung isterinya. Gambar hiasan.

"Bila pandang anak yang kecil yang masih menyusu, sayu jiwa saya... Siapa antara kawan kawan saya yang telah saya banyak habiskan masa bersama boleh membuatkan anak saya tu susu pada malam malam hari.

"Siapa yang boleh tolong uruskan anak anak saya ke sekolah seperti arwah uruskan. Siapa yang boleh temankan si kecil saya bermain sehingga jam 3 ke 4 pagi kalau dia tidak mahu tidur.

"Bila saya buka telefon bimbit arwah, boleh kira berapa sangat gambar yang diambil bersama saya. Semuanya gambar dia dengan anak-anak. Sedangkan gambar saya bersama kawan-kawan penuh dalam telefon saya. Gambar dia bersama saya langsung tiada," ceritanya lagi.

Menurut lekaki itu, dia menyesal kerana bukan sahaja mengabaikan kewajipannya terhadap wanita yang telah diamanahkan kepadanya, malah menganggapnya seakan-akan beban yang perlu ditanggung.



Kekhilafan hanya disedari ketika nyawa isterinya berada di hujung usia namun segala-galanya sudah terlambat. Gambar hiasan.

"Setiap kali arwah mengeluh sakit, kurang sihat, tidak bermaya dan mengajak saya pergi ke hospital saya hanya menganggap ianya pekara remeh. Saya takut akan membuang masa menunggu segala urusan pemeriksaan kesihatan. Kejamnya saya pada arwah.

"Tiap kali arwah mengeluh sakit badan saya suruh dia tidur, makan ubat. Saya suruh anak-anak yang picitkan. Tetapi saya lupa itu adalah kewajipan saya.

"Pagi tu dia mengadu perut dia sakit sangat. Saya marahkan dia kerana tidak menjaga makan. Bila saya lihat dia tidak bermaya, nadi dia semakin menurun, saya terus bawa dia ke hospital. Masa dalam kereta mulut saya tak henti-henti menyumpah kata dia menyusahkan saya," ceritanya.

Tersedar daripada kekhilafannya selama ini, lelaki itu berkata dia cuba memperbaiki diri dan berubah untuk menjadi suami yang baik meskipun keadaan ketika itu sudah agak terlambat.

"Saya mula memeluk dia sewaktu tidur, saya tahu saya akan kehilangan dia dan waktu itu makin hampir. Sumpah demi Tuhan saya sayangkan arwah cuma saya lupa dia hanya pinjaman lalu saya abaikan dia.

"Saya tidak hargai kehadiran dia dalam hidup saya. Sekarang satu-satunya wanita yang amat saya kasihi dah tiada. Dia dah tinggalkam saya bersama jutaan kenangan dan kisah suka duka kami sepanjang percintaan di bangku sekolah hingga ke jenjang pelamin..," luahnya dengan juraian air mata.

Sehingga kini perkongsian kisah tersebut meraih sehingga 580 shares.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain