suria

Terima kasih untuk 3 tahun yang indah... ‘Kakak’ sumber kekuatan Nurulhidayah, luah rasa sayang dan merindui madunya yang dijemput Ilahi – “Siapa nak pujuk Nurul bila Sepul marah?”

Kenangan... Nurulhidayah (kanan) bersama madunya, Allahyarham Bahazanariah. -foto instagram Nurul.Zahid

KASIH hingga hujung nyawa, itulah yang dilalui oleh Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid selepas madunya, Datin Bahazanariah Baharudin meninggal dunia akibat barah, pada Khamis.

Madunya yang disapa mesra dengan panggilan kakak, puteri kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu berkongsi luahan rasa hati mengenai pemergian yang amat menyedihkan beliau.

Beliau turut memohon maaf kepada umum kerana terpaksa merahsiakan penyakit madunya itu yang menghidap barah tahap empat.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak TPM, Nurul Dan Madunya Patut Jadi Contoh Seronok Berkongsi Kasih

"Saya akan rindu kakak. Sumber kekuatan saya sebagai isteri kedua. Semangat saya. Kakak datang meminang dan minta saya daripada abah dan mak kerana dia mahu saya berkahwin dengan suaminya dan membantu dia mengurus perihal rumah tangga," tulisnya di laman sosial Instagram beliau.



Nurulhidayah (kanan) dan Bahazanariah (kiri) bersama suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff. -foto instagram Nurul.Zahid

Allahyarham Bahazanariah mengembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun, pukul 4.16 pagi Khamis di Hospital KPJ Damansara di Damansara, Selangor.

"Sekitar Ogos selepas Hari Raya Haji, doktor telah sahkan barah yang kakak hidapi pada tahun 2015 kembali lagi dan menyerang paru-paru, hati dan tulang. Kami keluar masuk hospital sejak Ogos. Kakak sangat kuat," ujar Nurulhidayah.

Beliau turut berkongsi kenangan terindah sejak bergelar isteri kedua kepada Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff, tiga tahun lalu.

"Kak, Nurul sayang akak. Siapa yang nak pujuk Nurul bila Sepul (panggilan suami) marah Nurul? Allahuakbar.

"Tiga tahun yang indah buat saya menjadi adik kepada kakak madu yang ikhlas dan penyayang. Nurul akan jaga amanah akak. Jaga anak-anak akak dan bantu Sepul dalam menguruskan rumah tangga," tambahnya.



Sambutan ulang tahun Bahazanariah yang ke-50, Oktober lalu. -foto instagram Nurul.Zahid

Malah, Nurulhidayah turut menghargai Allahyarham kerana memberinya peluang berkongsi kasih dengan hidup bermadu.

"I miss you already. Everything seems so empty. Terima kasih Allah pinjamkan kakak dan izinkan saya merasa nikmat manisnya madu," katanya.

Terima kasih Allah pinjamkan kakak dan izinkan saya merasa nikmat manisnya madu

DATUK NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID

Jenazah Allahyarham Bahazanariah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara sekitar pukul 10 pagi Khamis.

Allahyarham yang merupakan ibu tiga anak sebelum ini pernah meluahkan isi hatinya susulan kehidupan Nurulhidayah berpoligami dipaparkan secara terbuka.



Luahan Nurulhidayah di laman sosial.

"Saya tidak menganggap Nurul sebagai madu tetapi lebih kepada seorang adik yang sentiasa mencetuskan gelak dan ketawa bila kami bersama.

"Saya tak pernah ada adik perempuan dan saya anak sulung dari lima adik-beradik yang semuanya lelaki. Nurul, membawa dirinya sebagai adik dengan berhemah.

"Alhamdulillah kami bahagia. Semoga kami terus kuat dalam menghadapi segalanya demi suami dan anak-anak kami. Saya sayang Nurul dunia dan akhirat," tulis Allahyarham menerusi satu posting di laman Instagramnnya pada Mac 2018.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain