suria

Anak hiba lihat bapa kawal suara, 2 hari berkurung di kandang selepas dapat tahu positif Covid-19 - “Sakit hati tengok dia...”

Michelle memuat naik gambar saat bapanya dijemput oleh ambulans selepas disahkan positif Covid-19. Foto: Twitter meshewlchristy

SIAPA yang tidak sedih apabila melihat insan kesayangan dijemput dan dibawa ke hospital menaiki ambulans?

Itulah yang dilalui oleh gadis ini apabila bapanya terpaksa dikuarantin dan dirawat selepas disahkan positif Covid-19 pada Jumaat minggu lalu (16 Oktober).

Malah dia turut membuat perkongsian di Twitter meminta netizen mendoakan kesihatan bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sudah di wad, anak nak luruh jantung lihat ibu positif Covid-19 bawa ‘peneman’... tenang masuk ambulans

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu dicemuh ‘keluarga pembawa’, anak gelisah bapa kini di ICU... Covid-19 dah ragut nyawa 5 saudara mara - “Harap ada keadilan untuk kami”

"Daddy baru kena ambil hari ini. Saya dengan rendah hati minta tolong kamu doakan daddy saya," demikian tulis gadis berkenaan sambil turut memuat naik dua keping gambar bapanya saat dijemput ambulans.

Perkongsiannya di Twitter pada 18 Oktober lalu meraih sehingga 4,700 retweet selain turut dihujani komen netizen yang mendoakan kesihatan bapanya di samping turut menitipkan kata-kata semangat.

Menurut Michelle Christy, segala-galanya bermula apabila bapanya yang bekerja di syarikat kargo mengalami demam beberapa hari sebelum itu dan kemudian pergi mendapatkan rawatan di sebuah klinik.



Posting Michelle di Twitter mengenai bapanya menjadi tular.

"Tapi tiga hari selepas itu, dapat berita bahawa doktor di klinik yang dia pergi tu positif Covid-19. Bos bapa saya cepat-cepat suruh buat swab test hari tu juga.

"Pada 16 Oktober, bapa saya dapat panggilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan positif Covid-19. Dari situ kami semua terkilan, hampir hilang semangat dan menangis.

"Suara bapa pun sangat perlahan, saya sendiri elakkan untuk bercakap dengannya sebab betul-betul sebak dengan keadaannya," kata gadis yang menetap di sebuah kampung di Papar, Sabah ini.

Bapa duduk di kandang tu dari pagi sampai malam jam 9, sebab kami semua tidur jam 9 malam. Dia akan naik ke atas untuk tidur saja.

MICHELLE CHRISTY

ANAK

Menurut Michelle, saat yang menyentuh hatinya adalah apabila bapanya yang berusia 45 tahun itu sanggup mengasingkan diri di dalam sebuah kandang kosong yang terletak di belakang rumah sebelum dijemput oleh ambulans dua hari selepas disahkan positif, semata-mata demi memastikan keselamatan dirinya, ibu dan dua lagi adiknya.

"Seawal jam 5.30 pagi bapa keluar untuk mandi di luar rumah. Bapa duduk di kandang tu dari pagi sampai malam jam 9, sebab kami semua tidur jam 9 malam. Dia akan naik ke atas untuk tidur saja.

"Sebelum tidur pun dia akan spray guna sanitizer tilam tu dan begitu juga sebaliknya. Sakit hati bila tengok bapa asingkan diri dia begitu tapi apakan daya kami sebagai anak hanya mampu tengok saja.



Michelle terharu mendapat kata-kata sokongan daripada netizen.

"Sebelum bapa dibawa pergi pada 18 Oktober, kami semua bagi kata-kata semangat dengan dia supaya dia lebih kuat di pusat kuarantin tu nanti.

"Dalam pada itu, kami sekeluarga buat rutin macam biasa, di rumah pakai mask dan buat penjarakkan. Setiap hari makan vitamin C, minum air pucuk 'tapako', kunyit, bawang sebab ini petua untuk kuatkan imun katanya. Setiap hari kami berdoa dan kuatkan hati," cerita gadis yang merupakan pelajar Tingkatan Enam ini.

Cerita gadis ini lagi, mereka sekeluarga sangat bersyukur kerana saudara mara, rakan dan jiran sekeliling begitu mengambil berat, memberikan kata-kata semangat dan tidak lokek menghulurkan sumbangan.



Sehingga 23 Oktober, Sabah masih menjadi negeri yang mencatatkan kes baharu positif Covid-19 tertinggi dalam negara. Gambar hiasan. Foto: Bernama

Tanggal 22 Oktober, berita yang ditunggu-tunggu Michelle dan keluarga akhirnya diperolehi yang mana bapanya memaklumkan ujian swab kali kedua menunjukkan keputusan negatif.

"Bapa sudah pulang sejak 22 Oktober (Khamis) dan kami sekeluarga masih dalam kuarantin sehingga 29 Oktober.

"Walaupun besar cabaran yang diberi, tetaplah positif dan berdoa. Dari pengalaman ini juga saya belajar untuk tekankan SOP di mana-mana saja dan setiap kali pulang dari membeli barang perlu mandi.

"Dan kalau kamu dengar jiran kamu terkena virus ini, saya mohon bagilah mereka kata-kata semangat.... tolong jangan bagi pandangan negatif kepada mereka. Ingat, lidah tiada tulang tapi mampu membunuh orang," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain