suria

“Saya yakin keputusan negatif” - Tak ada gejala, lelaki ini akur positif Covid-19... mujur ada geng ofis dan PS4 di wad!

Gambar Azrizal dan rakan-rakan satu wad yang sedang meluangkan masa memasang permainan PS4 menjadi tular di media sosial.

SIAPA yang tidak gundah apabila diri disahkan positif Covid-19, wabak yang paling digeruni ketika ini.

Pada ketika inilah, selain kaedah perubatan, sokongan daripada orang sekeliling dan aura positif amat diperlukan bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

Begitulah yang dilakukan sekumpulan pesakit lelaki ini yang melakukan aktiviti bersama-sama di wad bukan sahaja untuk menghilangkan kebosanan, malah memberikan sokongan antara satu sama lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa 2 anak akui mental breakdown, tak tidur malam tunggu result ujian Covid-19... akhirnya sah positif 5 hari lepas rakan pejabat - “Anak, isteri negatif... sujud syukur saya!”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hanya ingat mati selepas positif Covid-19 pada hari jadi anak, cuma mampu baca doa ringkas - “Ada harapan hidup sebab tengok statistik KKM”

Gambar mereka yang sedang memasang permainan video PS4 menjadi tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian netizen.

Menurut Azrizal Hussin yang memuat naik gambar berkenaan di Twitter, dia dan beberapa rakan sekerjanya yang turut ditempatkan di wad yang sama sekadar mahu menghilangkan kebosanan di samping meluangkan masa bersama.



Azrizal dan rakan-rakan di dalam wad juga sering melakukan aktiviti solat berjemaah dan aktiviti kerohanian.

"Sewaktu dimasukkan ke wad, doktor beritahu tempoh berada di wad adalah lebih kurang 10 hingga 11 hari... tempoh yang agak panjang. Jadi kami merancang untuk bawa sesuatu, lagi pula ada televisyen dan ia dibenarkan.

"Salah seorang rakan kami yang bawa PS4 tu. Dalam wad itu ada beberapa orang, bukan saja rakan dari tempat kerja yang sama, ada juga rakan-rakan baru.

"Aktiviti bebas dibenarkan, cuma memang tak boleh keluar wad sahaja. Nak tengok telefon bimbit lama-lama pun stres juga... jadi itu salah satu aktiviti yang kami lakukan bersama," katanya kepada mStar.



Antara buah tangan yang dikirim oleh rakan dan kenalan sebagai tanda sokongan moral.

Azrizal dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor pada Isnin lalu, selepas keputusan ujian saringan yang dilakukannya mengesahkan dirinya positif Covid-19 pada Ahad.

Mengimbas kembali bagaimana dia dijangkiti wabak berkenaan, lelaki berusia 30 tahun ini berkata dia merupakan rakan sepejabat yang dikesan positif pada minggu lalu.

"Ketika itu kes pertama dikesan pada Rabu minggu lalu di mana kes tersebut merupakan rakan satu jabatan. Kami kemudiannya dikehendaki bekerja dari rumah bermula keesokan harinya.

Ada rakan satu wad beritahu, keluarganya dipulaukan oleh jiran. Di sini saya nak sampaikan mesej bahawa masyarakat jangan pandang kami sebagai pesalah.

AZRIZAL HUSSIN

PESAKIT

"Saya memang tak ada mengalami sebarang gejala, namun tetap membuat ujian swab pada Sabtu. Saya yakin keputusannya negatif namun pada Ahad, pejabat kesihatan menghubungi dan memaklumkan bahawa saya positif.

"Ketika mendengar khabar itu, perkara yang terlintas tentunya isteri dan dua anak yang masih kecil. Siapa yang tak risau. Sebelum dijemput oleh ambulans, saya terus kuarantin diri.



Antara mesej yang diterima daripada rakan-rakan.

"Bila masuk wad pada Isnin, hati terlalu bimbang sementara nak tunggu keputusan ujian swab mereka. Alhamdulillah, keputusan mereka yang keluar pada Rabu dan Khamis baru-baru ini negatif," ujarnya yang bekerja di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor.

Menurut Azrizal, sepanjang berada di wad berkenaan, dia dan rakan 'senasib' sering melakukan pelbagai aktiviti bersama termasuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan lain, beriadah dan berkongsi cerita masing-masing.



Azrizal bersyukur kerana menerima sokongan daripada kaum keluarga dan juga rakan-rakan.

"Ada rakan satu wad beritahu, keluarganya dipulaukan oleh jiran. Di sini saya nak sampaikan mesej bahawa masyarakat jangan pandang kami sebagai pesalah. Kami tak minta pun nasib jadi begini. Seeloknya, banyakkan membaca dan tambahkan ilmu mengenai wabak ini.

"Namun saya bersyukur, saya menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan mahupun keluarga. Mesej-mesej positif dihantar di WhatsApp mahupun media sosial.

"Malah mereka juga buat penghantaran makanan kepada saya. Memang terharu sangat. Perkara-perkara seperti inilah yang kami perlukan, iaitu sokongan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain