suria

Dulu dicemuh ‘keluarga pembawa’, anak gelisah bapa kini di ICU... Covid-19 dah ragut nyawa 5 saudara mara - “Harap ada keadilan untuk kami”

Sharifah Huzaimah kehilangan lima ahli keluarga akibat Covid-19, selain ibu dan bapanya disahkan positif wabak berkenaan. Foto: FB Sharifah Huzaimah.

“BUAT masa ini kami mahu fokuskan kepada kesihatan keluarga dahulu. Namun berharap agar ada keadilan untuk kami.”

Demikian kata Sharifah Huzaimah Wan Abdul Rahman Al-Edruce, yang mana lima ahli keluarganya maut akibat Covid-19, berpunca daripada kluster yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali, pertengahan Mac lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Sharifah Huzaimah berkata akibat jangkitan tersebut, bapanya sendiri Wan Abdul Rahman Wan Zen, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Umum Sarawak sejak empat hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beri maklumat secara jujur...” - KKM dedah kluster sejarah perjalanan ke Itali telah ragut 5 nyawa, 37 sah positif Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sudah di wad, anak nak luruh jantung lihat ibu positif Covid-19 bawa ‘peneman’... tenang masuk ambulans

ARTIKEL BERKAITAN: “Jam 11.30 malam saya diminta hantar anak di lorong belakang” - Wanita terkedu rumah ‘didatangi’ virus Wuhan, sebulan simpan rahsia suami, anak positif Covid-19

Sementara itu ibunya kini beransur pulih dan ditempatkan di pusat khas bagi mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko rendah.

“Sebenarnya memang sedih sangat. Ini dugaan yang amat berat bagi keluarga besar kami. Apatah lagi apabila ada salah laporan pada awalnya yang menyatakan kes Covid-19 berpunca daripada keluarga kami.

“Seolah-olah keluarga kami punca kes. Kami berdepan dengan dugaan bukan sahaja kehilangan ahli keluarga tetapi cemuhan daripada orang sekeliling. Mereka akan pandang pesakit Covid-19 ini dengan penuh rasa takut.

“Namun Alhamdulillah, selepas  siasatan yang dilakukan mendedahkan perkara yang sebenarnya. Syukur, kini ramai sangat yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan buat ahli keluarga kami,” ujarnya ketika dihubungi.

Bapa kepada Sharifah Huzaimah dimasukkan ke ICU sejak empat hari lalu.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa  kluster baharu wabak Covid-19 di Sarawak adalah berpunca daripada rakyat Malaysia yang melancong ke Itali.

Kluster berpunca daripada pesakit ke-1,580 itu, dikesan menjangkiti 37 kes lain dan menyebabkan lima kematian iaitu kes ke-1,031; ke-1,032; ke-1,006; ke-2,850 dan ke-2,210 serta seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan dalam unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kluster berpunca ‘kes import’ yang sebelum ini dibimbangi bakal mencetuskan gelombang baharu itu, kini membabitkan jangkitan sehingga generasi ketiga.

Alhamdulillah, selepas  siasatan yang dilakukan mendedahkan perkara yang sebenarnya. Syukur, kini ramai sangat yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan buat ahli keluarga kami.

SHARIFAH HUZAIMAH WAN ABDUL RAHMAN AL-EDRUCE

ANAK

Menurut Sharifah Huzaimah, lima individu yang meninggal dunia itu adalah nenek saudaranya dan ahli keluarga wanita tersebut yang juga merupakan sepupu bapanya.

Difahamkan, orang pertama yang dijangkiti Covid-19 adalah seorang sepupunya, yang merupakan rakan sekerja kepada seorang individu positif yang membawa virus tersebut selepas pulang melancong dari Itali.

Mengimbas kembali tragedi hitam itu, ia bermula apabila nenek saudaranya yang dipanggil Nek Usu Kayah meninggal dunia pada awal pagi 18 Mac lalu.

Sharifah Huzaimah bersama kedua ibu dan bapanya, yang disahkan positif Covid-19.

“Kami keluarga besar dan memang rapat, rumah pun sebelah-sebelah. Jadi masa itu kami keluarga dan rakan-rakan terdekat hadiri majlis pengebumian. Pada hari yang sama, dua anak kepada Nek Usu Kayah dibawa ke hospital kerana demam dan sesak nafas.

“Dua hari kemudian iaitu 20 Mac, keputusan swab test keluar di mana kedua-dua sepupu saya itu positif. Nek Usu Kayah juga positif. Satu demi satu keputusan keluar dan selepas itu ramai ahli keluarga dimasukkan ke hospital.

“Saya Alhamdulillah negatif namun kedua ibu bapa positif. Ayah kini di ICU bersama seorang lagi anak Nek Usu Kayah yang perlu diintubasi. Namun saya perlu menjalani kuarantin selama 28 hari,”ujarnya.

Gambar kenangan keluarga Sharifah Huzaimah.

Tambah wanita berusia 38 tahun ini, pengalaman apabila orang tersayang meninggal dunia dan dimasukkan ke hospital akibat wabak berbahaya itu tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

“Justeru itu saya mohon sangat kisah ini sedikit sebanyak mampu sebarkan kesedaran kepada kita semua. Saya tak mahu orang lain merasa apa yang keluarga kami rasa.

“Dalam masa yang sama, saya mohon agar semua dapat tolong buat solat hajat dan mendoakan kesihatan dan kesembuhan keluarga kami,” ujarnya mengakhiri bicara.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain