suria

Bapa hilang banyak ‘job’ sebab PKPB, anak sanggup buat kerja sanitasi walau ada ijazah - “Tak nak ayah berpeluh pakai PPE, biar saya buat”

Ariff yang merupakan lepasan graduan kini melakukan kerja-kerja sanitasi di premis tertentu. Foto ihsan Ahmad Ariff Ahmad Fadzil

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober lalu, sedikit-sebanyak memberi kesan kepada perniagaan tertentu.

Begitulah luahan seorang pemuda di laman sosial apabila bapanya kehilangan banyak peluang kerja pembersihan di kebanyakan kawasan terutamanya masjid berikutan pelaksanaan PKPB.

"Sebagai lepasan graduan, saya masih belum mempunyai pekerjaan. Saya kini melakukan kerja-kerja sanitasi di mana-mana premis seperti pejabat, kedai dan masjid untuk membantu keluarga saya," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepatutnya gembira bisnes 'kencang' selepas diberhentikan kerja, anak terkejut ibu sedih dapat tahu tweet promosi pastri blow up

ARTIKEL BERKAITAN: Pasar basah jadi norma baharu bekas pekerja bank selepas 4 bulan 'separuh gila', hilang arah - "Saya menangis meluahkannya kepada mak"

Pemuda berkenaan, Ahmad Ariff Ahmad Fadzil berkata, dia baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah dan masih menunggu peluang pekerjaan tetap.



Luahan Ariff di laman sosial.

Anak muda berusia 25 tahun itu memberitahu, bapanya yang berusia 40-an pernah berkhidmat dalam industri minyak dan gas sebelum diberhentikan kerja.

"Kemudian keluarga kami ada usahakan bisnes kerja-kerja pembersihan secara kecil-kecilan seperti mencuci karpet di surau, masjid, pejabat termasuk di rumah.

"Sejak 2016, ayah yang banyak melakukannya sejak diberhentikan kerja. Saya dan adik turut membantu sebelum saya menyambung pengajian di UUM," katanya kepada mStar.



Berikutan PKPB, Ariff dan bapanya mempergiatkan servis sanitasi.

Lebih mesra disapa Ariff, katanya, kerja-kerja pembersihan oleh bapanya terjejas sejak pelaksanaan PKPB memandangkan kebanyakan kawasan terlibat meliputi sekitar Lembah Klang.

"Kerja-kerja pembersihan mulai perlahan. Sebelum ini pun dalam seminggu ada dua atau tiga kerja pembersihan yang dilakukan oleh ayah.

"Walaupun bisnes ayah terjejas, tapi dia tak pernah mengeluh. Dia reda dengan keadaan semasa akibat pandemik Covid-19, ada hikmah di sebaliknya," ujarnya yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor.



Ariff (kiri) bersama bapanya.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik itu, Ariff mengambil alih tanggungjawab bapanya sepanjang PKPB ini dengan mempergiatkan kerja-kerja sanitasi di premis-premis.

"Kerja-kerja pembersihan memang terjejas. Tapi dengan keadaan semasa disebabkan PKPB dan pandemik ini, kami mula melakukan servis sanitasi di premis-premis.

Ramai lagi yang terkesan dengan pandemik, malah ada yang kehilangan kerja. Jadi kena sentiasa bersyukur dan jangan berputus asa.

AHMAD ARIFF AHMAD FADZIL

"Untuk kerja-kerja sanitasi biarlah saya yang lakukan sebab kena pakai PPE (peralatan perlindungan peribadi) sepanjang buat servis.

"Kalau sehari ada dua job, boleh sampai lima jam pakai PPE. Saya tak nak ayah saya berpanas dan berpeluh pakai PPE buat kerja, jadi biarlah saya yang buat," tambahnya.



Bapa Ariff (kiri) memantau tugas sanitasi yang dilakukannya.

Walau bagaimanapun, kata Ariff, bapanya masih turun ke lapangan untuk membantunya terutama dari segi pengangkutan dan rundingan kerja.

"Bapa saya seorang yang cool tetapi tegas. Ayah selalu cakap jangan mengeluh untuk semua perkara dan lakukannya dengan ikhlas.

"Ayah kata ramai lagi yang terkesan dengan pandemik, malah ada yang kehilangan kerja. Jadi kena sentiasa bersyukur dan jangan berputus asa," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain