Di sebalik tubuh sado, happy go lucky... rupa-rupanya Dr Say hati tisu berdepan pesakit ‘dengar kata’

Dr Say Shazril yang selama ini berpewatakan ceria berkongsi kisah yang menyentuh perasaannya. -foto instagram say_shazril

DOKTOR selebriti ini cukup terkenal dengan perwatakannya yang ceria dan happy go lucky.

Setiap perkembangan yang dikongsikannya di laman sosial pastinya mencuit hati meskipun sarat dengan mesej berguna yang memberi manfaat kepada para pengikutnya.

Namun, siapa sangka di sebalik tubuh yang sado itu, tersembunyi ‘hati tisu’ dalam diri beliau, penangan seorang pesakit yang ditemuinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak sangat merasa masuk zon merah Covid-19, persoalan Dr Say akhirnya terjawab - "Ibarat zon perang dengan kawat berduri... cukup menyeramkan"

ARTIKEL BERKAITAN: Baiknya doktor! Ditegur ibu kerana selamba 'lepas' maid tidur di rumah kawan, Dr Say ada alasan sendiri - "Rumah tak berapa kemas, kita kemaslah sikit"

Mengimbas kembali tarikh 19 Julai 2020, doktor berkenaan, Dr Muhammad Shazril Sharuddin berkata, beliau didatangi seorang pesakit di klinik dengan simptom kerap kencing malam dan sering dahaga.

"Saya periksa (paras) gulanya, 17.1 (normal bagi kurang dari 7 bagi yang berpuasa dan kurang dari 11 bagi yang tidak berpuasa). Kiranya sah-sah dia ada penyakit kencing manis.

"Masa tu ada isterinya sekali. Berat untuk saya break the news yang dia ada kencing manis kerana umurnya sebaya saya namun saya gagahkan juga," ujar doktor berusia 32 tahun itu di akaun Instagramnya, say_shazril.



Dr Say Shazril banyak menghabiskan masa dengan bersenam di gim. -foto instagram say_shazril

Doktor yang lebih dikenali sebagai Dr Say Shazril itu kemudian bertanya pesakit tersebut mengenai perasaannya apabila mendapat perkhabaran itu.

"Jawabnya saya dapat menjangkakan perkara ni selepas simptom saya seperti ayah yang menghidap diabetes. Dia tanya saya balik apa yang perlu dilakukannya.

"Saya nasihatkan dia untuk melakukan ujian darah sepenuhnya dan mula ubah gaya hidup dari segi pemakanan dan senaman.

"Banyak soalan diajukan mengenai perubahan gaya hidup tu namun saya sahut soalan-soalannya," ujarnya.

Mungkin klise bunyinya tapi saya cukup gembira bila pesakit dapat penyelesaian kepada masalah atau penyakit yang dihidapi mereka.

DR SAY SHAZRIL

Selepas tiga bulan, Dr Say Shazril yang juga pengacara bagi program Tanya Doktor dan My Doctors itu berkongsi pengalamannya didatangi seorang pesakit di klinik.

Namun kedatangan pesakit itu menimbulkan tanda tanya bagi doktor yang juga bapa kepada seorang anak lelaki itu, seperti pernah dikenalinya.

"Namanya agak familiar, suaranya agak familiar. Saya tanya dia kenapa awak nampak familiar ye? Jawabnya doktor yang diagnosis saya ada diabetes dengan paras gula 17.



Perkongsian Dr Say Shazril di laman sosial.

"Saya ambil nasihat doktor dengan makan suku suku separuh dan bersenam. Saya susut 18 kilogram dalam masa tiga bulan.

"Tak tahu kenapa tapi berlinang terus mata saya. Tak sangka seseorang akan ambil nasihat saya dan benar-benar mengubah hidupnya," katanya sambil menambah berdasarkan pemeriksaan paras gula pesakit itu hanya di tahap 5 (normal).

Jika sebelum ini, pesakit itu banyak bertanya soalan kepadanya, tetapi kini adalah sebaliknya selepas Dr Say Shazril melihat perubahan positif pada pesakit berkenaan.

"Last last saya yang banyak bertanya dia apa yang buat dia bermotivasi dan perasaan dia sekarang? Inilah sebab mengapa saya begitu menyukai kerjaya doktor.

"Mungkin klise bunyinya tapi saya cukup gembira bila pesakit dapat penyelesaian kepada masalah atau penyakit yang dihidapi mereka," katanya sambil menambah beliau berharap dapat membantu lebih ramai lagi dari sudut kesihatan dan perubatan khususnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain