suria

Seawal 5 pagi lalu jalan hutan sendirian nak tunggu bas sekolah... pelajar demam jumpa wanita rambut panjang menangis tepi jalan

Kuya mendakwa dia terserempak pontianak sewaktu sedang berjalan untuk ke sekolah sekitar lima tahun lalu.

SETELAH tular kisah gadis dirasuk akibat membawa pulang batu sungai, timbul satu lagi kisah mengenai gangguan pontianak di Lahad Datu, Sabah.

Menurut seorang remaja yang dibesarkan di kawasan itu, kisah-kisah mistik bagaikan sudah sinonim di kampung halamannya.

Bercerita kepada mStar, dia mengimbas semula kisah yang berlaku sekitar lima tahun lalu, katika itu dia masih di sekolah menengah.

ARTIKEL BERKAITAN: Berani! Jam 1 pagi pelajar UiTM gesek biola lagu Pontianak Harum Sundal Malam, budak umur 6 tahun nampak kelibat sedang marah

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami saling pesan, masing-masing jaga mulut” - Tiada gangguan, kelibat ketika photoshoot bunian, pelajar tak sangka ada isu lain selepas rakaman

Menurut Kuya Azlan Azkil, 21, dia perlu berjalan merentasi kawasan ladang kelapa sawit seawal pukul 5 pagi bagi menunggu bas untuk sekolah.

Pada hari kejadian, dia mula diganggu dengan bunyi aneh sebelum mendakwa terlihat entiti dipercayai pontianak di tepi jalan kawasan itu.

"Saya tinggal di kampung, nak ke sekolah pula jauh. Saya sekolah pagi, kena lalu jalan hutan. Masa tu masih gelap lagi.

Kata Kuya, dia terpaksa melalui jalan dalam ladang kelapa sawit untuk ke sekolah seawal 5 pagi. (Gambar Hiasan)

"Masa lalu ladang kelapa sawit, saya dah sedar ada bunyi-bunyi macam orang berjalan atas rumput. Mula-mula saya tak rasa takut sangat, jadi saya biarkan sahaja.

"Makin lama makin jelas dengar orang berjalan kat tepi saya. Saya juga perasan macam ada orang tengah intai dari kawasan pokok kelapa sawit," imbasnya.

Mesra disapa Kuya, dia yang sudah terbiasa dengan kisah-kisah mistik sepanjang dibesarkan tidak begitu menghiraukan gangguan bunyi yang dialami.

Saya nampak 'benda' tu duduk sambil menangis di tepi jalan. Rambut panjang, baju lusuh.

KUYA AZLAN AKIL

Malah, dia sentiasa berpegang kepada nasihat ibunya agar tidak panik sekiranya berhadapan kejadian-kejadian mistik.

"Saya teruskan perjalanan, dalam lima kilometer (km), saya nampak 'benda' tu duduk sambil menangis di tepi jalan. Rambut panjang, baju lusuh.

"Tapi saya ingat pesan mak, jangan lari... saya hanya teruskan berjalan dan baca doa. Masa tu saya seorang diri. Abang-abang saya semua dah habis sekolah.

"Dalam lima langkah saya tengok ada beberapa ekor anjing besar depan saya. Saya baca ayat Qursi, lempar batu dan lari sehinggalah ke kawasan menunggu bas. Mujurlah bas sampai tak lama kemudian," ujar Kuya lagi.

Kata Kuya, kisah-kisah mistik bagaikan sudah sinonim dengan penduduk di kampung halamannya.

Menurut jejaka yang kini sudah bekerja di Kuala Lumpur itu, dia demam pada hari kejadian dan turut bercerita mengenai apa yang berlaku kepada ibunya.

Jelas Kuya, dia sebenarnya tidak hairan dengan kejadian-kejadian itu memandangkan kawasan tempat tinggalnya mempunyai banyak bukit dan hutan.

"Saya balik sekolah, cerita kat mak. Memang demam. Sebenarnya masa kat sekolah lagi dah rasa nak demam.

"Depan kampung saya memang ada bukit besar dan ada kubur," ujarnya lagi mengakhiri bicara.

Tambah Kuya, apa yang dilalui dianggap sebagai pengalaman hidup dan kejadian itu tidak pernah lekang dari ingatannya hingga ke hari ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain