suria

Berani! Jam 1 pagi pelajar UiTM gesek biola lagu Pontianak Harum Sundal Malam, budak umur 6 tahun nampak kelibat sedang marah

Naqib memainkan lagu Pulangkan dendangan Misha Omar yang juga lagu tema filem Pontianak Harum Sundal Malam lakonan Maya Karin.

SERAM hingga meremang bulu roma.

Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai video dua pelajar lelaki sedang menggesek biola, memainkan lagu Pulangkan nyanyian Misha Omar di bawah sebatang pokok besar pada waktu malam.

Mana tak seram, lagu itu cukup sinonim dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam lakonan Maya Karin yang popular dalam kalangan penggemar filem tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah bomoh dalam rumah, tiba-tiba keranda terbang mengganas di kampung

ARTIKEL BERKAITAN: Suara misteri nyanyi ‘berduet’ ketika lalu selekoh kubur, dua sahabat terus balik rumah... tak jadi makan tongkeng ayam

Dua pelajar tersebut, masing-masing berusia 20 tahun, Naqib Naimullah Zairul Nizam dan Muhammad Arrif Haikal Suhaimi merupakan penuntut Diploma Persembahan Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Bercerita kepada mStar, anak kelahiran Johor yang mesra disapa Naqib itu mengakui sudah lama 'memeram' rakaman berkenaan sehinggalah dia mendapat keberanian untuk berkongsinya di media sosial pada Selasa.

"Saya rakam video tu sekitar dua bulan lepas, tapi baru sahaja saya post di Twitter. Pokok tu sebenarnya ada dalam kampus.

Posting Naqib yang tular di Twitter.

"Kebetulan masa tu dalam pukul 1 pagi, kami baru habis buat latihan untuk konsert. Asalnya saya buat video tu sebab nak kaitkan dengan seni, tak sangka pula ia menyeramkan.

"Waktu tu memang gelap. Siang hari tak seram lalu kat pokok tu. Malam memang seram. Rasa sejuk angin malam, view pun semacam je," ujar Naqib.

Menurut Naqib lagi, hanya dia dan Arrif berada di lokasi itu sewaktu rakaman berkenaan dibuat.

Dedahnya, Arrif juga seolah-olah tidak senang duduk pada waktu itu apabila meminta dia menamatkan rakaman untuk pulang dengan segera.

Mungkin ada individu yang memiliki deria keenam (sixth sense), dia boleh nampak. Yang tengok kat Twitter pun seram, apatah lagi saya yang ada di lokasi pada waktu itu.

NAQIB NAIMULLAH ZAIRUL NIZAM

PELAJAR

"Hanya kami berdua, saya letak kamera kat note stand untuk rakam. Masa rakam, kawan ajak balik, dia nak habiskan cepat-cepat.

"Saya kata tunggu dulu, nak ambil aura. Saya pilih lagu Pulangkan sebab rasa sesuai dengan pokok tu.

"Takkan nak main lagu Anta Permana (Datuk Sri Siti Nurhaliza) pula. Lepas saya post video tu, ada yang request buat lagu Ulik Mayang kat pokok tu tapi saya tak berani," kata Naqib.

Selain menerima puluhan ribu tontonan di Twitter, ramai netizen mendakwa terlihat entiti mistik dalam rakaman berkenaan.

Naqib (baju biru) dan Ariff (baju merah) merupakan penuntut bidang muzik di UiTM.

Menerusi ruangan komen, netizen membuat bulatan merah pada paparan skrin video itu, kononnya ada kelibat misteri di atas pokok.

"Rasa seram bila ada orang boleh nampak sesuatu. Mungkin ada individu yang memiliki deria keenam (sixth sense), dia boleh nampak.

"Yang tengok kat Twitter pun seram, apatah lagi saya yang ada di lokasi pada waktu itu.

"Ada netizen maklumkan, dia tunjuk video tu pada adik dia yang umur enam tahun. Adik dia tanya, kenapa ada perempuan sedang marah dalam video tu? Sedangkan hanya ada saya dan Ariff sahaja dalam video," ujarnya lagi.

Netizen membuat bulatan merah, mendakwa ada penampakan entiti mistik di situ.

Menerusi video berdurasi seminit 12 saat itu, Naqib dan Ariff kelihatan sedang menggesek biola di bawah sebatang pokok yang besar.

Lebih menyeramkan apabila pokok itu kelihatan berjuntai, persis babak filem seram ditambah dengan keadaan bangunan yang kelihatan sepi di belakang mereka.

Rata-rata netizen mengakui video berkenaan cukup menyeramkan dan membuatkan mereka ketakutan selepas menontonnya.

"Ada dua ekor dekat situ. Satu atas dahan pokok satu lagi belakang akar.

Rosyam Nor dan Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.

"Beraninya dia main dekat pokok tu.

"Jap jap serius ada benda melintas do belakang tu.

"Aku tunggu je kalau ada kelibat putih kat tengah pokok

"Maya Karin datang bertenggek nanti kang," tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, filem Pontianak Harum Sundal Malam yang diarahkan oleh Shuhaimi Baba dibarisi pelakon hebat seperti Maya Karin, Rosyam Nor, Azri Iskandar, Ida Nerina, Kavita Sidhu, Nanu Baharuddin dan ramai lagi.

Filem itu disiarkan pada 20 Mei 2004 dan sekuelnya disiarkan pada tahun berikutnya yang mana kedua-duanya menerima maklum balas positif dan masih lagi diingati sehingga hari ini. 

Artikel Lain