“Selalu ambil MC, bos kata saya tak perform” - Anak terbiar, wanita hamil hidap asma kronik buntu dibuang kerja

Seorang doktor berkongsi kisah pesakit wanitanya yang diserang asma teruk ketika hamil sehingga menjejaskan prestasi kerja. Gambar hiasan

SETIAP wanita hamil pasti mempunyai pengalaman masing-masing.

Ada yang mengalami alahan yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital, namun ada juga yang langsung tidak berdepan dengan sebarang alahan sepanjang kehamilan.

Lebih teruk, alahan yang dialami boleh menjejaskan tumpuan wanita berkenaan terhadap keluarga dan juga kerjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kongsi kisah ibu 2 anak merayu nak bersalin normal, serik dibedah - “Makan untuk seorang, bukan dua orang!”

ARTIKEL BERKAITAN: Baru pantang bersalin 44 hari, dah pandai kritik doktor! Dr Imelda ‘sekolahkan’ mak-mak ‘bangga’ ikut amalan nenek moyang

Menerusi perkongsian seorang doktor di Facebook, beliau menceritakan kisah seorang pesakitnya yang berdepan dengan asma yang teruk ketika hamil anak ketiga.

Menurut Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa yang juga seorang Perunding Perubatan dan Paru-paru, pesakit wanita itu merayu-rayu kepadanya kerana penyakit asma yang menyerangnya dengan begitu teruk menyebabkan dia kehilangan kerja.



Posting yang dikongsikan Dr Nurul Yaqeen mengenai kisah seorang pesakit wanitanya yang diserang asma teruk ketika hamil.

“Tolonglah bantu stabilkan penyakit asma saya ini. Saya baru sahaja dipecat dari syarikat saya, sebab selalu ambil MC, dan bos saya kata saya tak perform”, tulis Dr Nurul Yaqeen mengingati semula rayuan pesakit bernama Lin (bukan nama sebenar) sambil mengesat air matanya.

“Anak-anak kat rumah pun dah macam terbiar, sebab saya selalu masuk hospital sejak mengandung anak ketiga ni, ” demikian kata pesakit itu yang usia kandungannya masuk bulan keenam.

Menerusi penceritaan pesakit tersebut, apa yang menyulitkan keadaan, suaminya kerap bekerja di luar kawasan (outstation) sekali gus menyukarkannya menguruskan hal ehwal keluarga secara bersendirian.

“Susah untuk saya uruskan hal keluarga kami dengan keadaan kesihatan saya yang tak stabil, ditambah lagi dengan adanya bayi dalam kandungan ni.

“Asma ni memang akan jadi lebih teruk ketika mengandung ke doktor ?” tanyanya lagi.



Dr Nurul Yaqeen merupakan seorang pakar perunding perubatan dan paru-paru.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, situasi yang dialami oleh pesakit berkenaan adalah sesuatu yang selalu dialami oleh seorang wanita hamil.

“Asma adalah suatu penyakit kronik yang boleh dikawal sekiranya pesakit menggunakan inhaler seperti yang disarankan dan mengelakkan terdedah kepada rangsangan luar yang boleh menyebabkan serangan asma itu terjadi.

“Namun begitu, ketika mengandung, terdapat banyak perubahan fisiologi dalam badan yang terjadi sehingga menyebabkan kadangkala penyakit asma menjadi tidak terkawal. Penjagaan asma adalah sangat penting, terutamanya ketika mengandung, ” tulisnya.

Namun begitu katanya, kebanyakan rawatan untuk penyakit asma bagi wanita yang hamil adalah selamat untuk bayi di dalam kandungan, dan bayi akan membesar dengan lebih sihat sekiranya penyakit asma anda terkawal dengan baik.



Dr Nurul Yaqeen meminta wanita yang hamil dan mengalami asma agar berbincang dan mendapatkan nasihat doktor.

“Tiada risiko untuk anda atau anak yang di dalam kandungan, jika asma anda terkawal dengan baik. Namun begitu, asma yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan banyak masalah serius, ” terang doktor ini.

Bagaimanapun jika masalah asma dialami wanita hamil itu tidak terkawal, ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi ketika mengandung, toksik dalam darah ketika mengandung (toxaemia in pregnancy), kelahiran pra-matang dan kematian.

“Untuk bayi yang dikandung pula, komplikasi yang boleh mereka hadapi adalah pembesaran terencat dalam kandungan ‘IUGR’ (Intrauterine Growth Retardation), berat badan rendah ketika dilahirkan (low birth weight) dan kematian ketika dilahirkan (stillbirth)

“Kehamilan boleh memberi kesan kepada pesakit asma dalam berbagai cara.

“Berbincanglah dengan doktor anda sekiranya anda menghidap asma dan sedang hamil atau merancang untuk untuk hamil, ” tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

asma, hamil, Dr Nurul Yaqeen

Artikel Berkaitan

Artikel Lain