suria

Doktor kongsi kisah ibu 2 anak merayu nak bersalin normal, serik dibedah - “Makan untuk seorang, bukan dua orang!”

Wanita hamil perlu berikhtiar sendiri agar dapat merasai pengalaman bersalin secara normal. Gambar sekadar hiasan.

"DOKTOR, saya betul-betul nak bersalin normal kali ini. Saya tak nak kena bedah lagi!"

Demikian rintihan seorang ibu muda yang bersungguh-sungguh merayu meminta doktor membantunya melahirkan bayi secara normal apabila tiba masanya kelak.

Kisah ibu muda itu dikongsikan semula oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Anna Liza Roslani menerusi satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di Twitter ‘perempuan tak sesuai bekerja’... ramai ‘celik’ selepas doktor sakit puan kongsi kisah suami isteri ada masalah kesuburan

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil takut tengok muka sendiri, terpaksa hadap mulut laser orang kampung - “Nasib baik laki kau tak lari”

Menurut Dr Anna Liza, wanita itu sebelum ini telah melahirkan anak pertama melalui pembedahan kecemasan caesarean kerana pintu rahim hanya membuka sebesar enam sentimeter (failure to progress).

Justeru pada kehamilan kali kedua ini, dia mengharapkan agar dapat melahirkan bayinya secara normal.

"Saya pun bertanya kepada wanita itu, 'Adakah puan melakukan apa-apa ikhtiar supaya meninggikan peluang untuk berjaya bersalin normal?'

"Dia hanya memandang saya dengan wajah yang kelihatan keliru.



Bersenam sebelum dan semasa hamil dapat membantu memudahkan kaedah bersalin secara normal.

"Sebenarnya, bukan tugas doktor sahaja untuk berikhtiar supaya pesakit berjaya bersalin normal. Sebenarnya, pesakit yang sepatutnya berikhtiar lebih daripada doktor," tulisnya pada hantaran tersebut.

Sambil berkongsi ikhtiar yang boleh dilakukan oleh bakal ibu, Dr Anna Liza berkata apa yang penting adalah amalan perancang keluarga yang efektif, tambah-tambah lagi jika kelahiran sebelum ini menerusi pembedahan caesarean.

"Seeloknya, jarakkan kehamilan selama satu hingga dua tahun.

"Penjarakkan ini penting untuk membenarkan kesihatan anda kembali ke asal, memberi masa untuk menyediakan tubuh untuk melalui kehamilan semula dengan selamat, dan membenarkan luka pembedahan di rahim sembuh dengan elok dan kuat," tulisnya.



Menurut Dr Anna Liza, wanita hamil disarankan untuk tidak mengambil makanan secara berlebihan.

Golongan ibu juga disarankan untuk mengurangkan berat badan sebelum hamil semula kerana mempunyai berat badan berlebihan sewaktu hamil akan meninggkatkan risiko untuk bersalin melalui kaedah caesarean, selain lebih berisiko untuk mendapat kencing manis dan darah tinggi.

"Kerap bersenam sebelum hamil, dan teruskan bersenam semasa kehamilan jika kandungan anda tiada masalah.

"Dengan cara bersenam, otot-otot anda akan lebih kuat dan boleh memudahkan proses bersalin normal.

"Elak dari makan terlalu banyak sewaktu hamil. Anda hanya perlu makan untuk seorang, bukannya makan untuk dua orang! Jika makan berlebihan, mungkin dapat kencing manis.

"Juga, jika anda makan berlebihan, kemungkinan saiz bayi juga menjadi besar. Sudah tentunya lebih susah untuk melahirkan bayi sebesar 3.8kg berbanding 3kg!,"tulisnya.



Bakal ibu perlu mempersiapkan mental dan emosi, selain mengurangkan rungutan akibat ketidakselesaan sewaktu hamil.

Antara ikhtiar lain yang boleh dilakukan, Dr Anna Liza menyarankan supaya bakal ibu mendapatkan ilmu pengetahun mengenai proses bersalin selain perlu mempersiapkan mental dan emosi.

"Jika anda sudah kalah dari segi emosi, anda juga akan tewas dalam perjuangan untuk bersalin normal.

"Jangan letakkan cita-cita anda untuk bersalin normal 100 peratus di atas bahu doktor. Anda adalah pejuang yang sebenar. Ikhtiarlah terlebih dahulu. Doktor hanya membantu," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bersalin, normal, caesarean, ikhtiar

Artikel Lain