suria

“Petua orang dulu untuk zaman dulu, bukan sekarang” - Bayi diberi minum air kanji, doktor ajar mak ayah ‘buta’ sejarah

Amalan memberi bayi meminum air kanji adalah tidak sesuai kerana ia memberi kesan kepada tumbesaran bayi.

ORANG tua-tua dahulu sememangnya banyak mengamalkan petua serta pantang larang tertentu dalam kehidupan seharian.

Amalan ini diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain, yang mana ada kelompok masyarakat masih lagi mengamalkannya sehingga kini.

Selain 'kaya' dengan petua untuk ibu yang berpantang, salah satu amalan yang masih lagi diamalkan hingga kini oleh sesetengah masyarakat adalah memberi bayi minum air rebusan nasi atau air kanji.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ingat nak dukung je” - Ibu nyaris hilang anak selepas nenek suap sedikit air masak, apa dilihat dalam imej x-ray amat mengejutkan

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor akui bisa tebuan bukan calang-calang, tapi banyak sebenarnya cara elak diri ‘diserang’ - “Patutlah ada peribahasa jangan dijolok sarang tebuan”

Namun amalan ini sangat tidak digalakkan kerana ia memberi kesan kepada tumbesaran bayi kelak, sebagaimana perkongsian oleh doktor perbidanan dan pakar sakit puan, Dr Imelda Balchin.

Menerusi satu posting di Facebook, Dr Imelda berkata bayi yang diberi minum air rebusan nasi atau air kanji ini tidak mendapat khasiat yang secukupnya sekali gus ia boleh menyebabkan tumbesarannya terbantut.

"Kenapa tak boleh bagi air kanji? Sebab air kanji hanya karbohidrat, tak cukup protein untuk bayi membesar. Sebab inilah di Indonesia di mana masih ramai yang masih mengamalkan air kanji untuk bayi, ada masalah pembesaran bayi yang terbantut.



Dr Imelda menerangkan amalan memberi bayi minum air kanji adalah sangat tidak digalakkan kerana ia menjejaskan proses tumbesaran.

"Sebab inilah kerajaan Indonesia membuat kempen air susu ibu untuk rakyat Indonesia, semoga berhenti memberi air kanji kepada bayi.

"Nak bagi air kanji atau bubur nasi, boleh bagi selepas umur enam bulan sebagai makanan pelengkap," ujarnya.

Menurut Dr Imelda, ramai ibu bapa khususnya generasi kini yang tidak tahu 'sejarah' di sebalik amalan tersebut menyebabkan mereka meneruskannya seperti biasa.

"Kita kena faham, zaman dulu, kematian ibu bersalin ialah 20 kali ganda lebih tinggi dari zaman sekarang. Zaman dulu, ibu-ibu bersalin di rumah tanpa bidan bertauliah.

"Punca utama kematian ibu bersalin zaman dulu ialah pendarahan yang tidak terhenti semasa dan selepas bersalin. Bila ibu meninggal dunia dan tiada ibu susuan lain, mana depa nak cari susu formula?

"Kalau bagi susu lembu atau susu kambing, bayi akan dapat sakit perut, cirit-birit dan demam. Jadi zaman dulu, depa (mereka) terpaksa bagi air kanji," tulisnya.

Petua orang dulu tu untuk zaman dulu, bukan untuk zaman sekarang.

DR IMELDA BALCHIN

PAKAR SAKIT PUAN

Terang Dr Imelda lagi, ibu yang bersalin di rumah dan mengalami pendarahan teruk selepas proses kelahiran sememangnya akan lemah dan tidak berupaya menyusukan bayi mereka.

"Ibu-ibu yang kekurangan darah yang teruk ini tak boleh bangun dan badan tak boleh buat susu sehingga kuat semula. Sebab itu mereka tiada pilihan, mereka bagi bayi minum air kanji," terangnya.

Tambah Dr Imelda, selain pendarahan yang teruk, ibu-ibu yang bersalin di rumah juga berdepan dengan masalah obstetric fistula, iaitu koyakan teruk.

"Sebab itulah zaman dulu, orang tua tak bagi ibu yang baru bersalin minum, sebab ramai ibu di zaman dulu dapat obstetric fistula. Jika ibu tak minum, tak boleh buat susu. Sebab itulah depa terpaksa bagi bayi minum air kanji," ujarnya.

Justeru seiring dengan perkembangan dan teknologi yang semakin canggih, amalan memberi bayi minum air kanji adalah tidak lagi relevan.



Air kanji atau makanan pepejal hanya boleh diberi kepada bayi selepas usianya enam bulan dan ke atas.

"Zaman sekarang, ibu-ibu bersalin di Hospital, kami pastikan pendarahan berlebihan dihentikan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Ada ibu, ada susu ibu.

"Zaman sekarang, ibu yang lemah sebab kekurangan darah akan ditambah balik darah ibu dengan transfusi darah, supaya kuat semula dengan cepat sebelum pulang ke rumah. Ibu sihat, ada susu ibu.

"Zaman sekarang, kami tak benarkan masalah obstetric fistula ini berlaku lagi. Jika susah nak bersalin, kami buat pembedahan Caesar, atau kami bantu dengan vacuum. Jika koyak, kami jahit semula.



Ibu digalakkan memberi susu badan ataupun susu formula ketika usia bayi mereka berusia enam bulan dan ke bawah.

"Kami galakkan ibu-ibu supaya kerap menyusukan bayi supaya meningkatkan produksi susu badan. Jika ibu sakit dan tak boleh buat susu, baru bagi bayi tambahan susu formula, bukan air kanji dan bukan susu lembu atau susu kambing,"

"Petua orang dulu tu untuk zaman dulu, bukan untuk zaman sekarang," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 2,900 shares selain dibanjiri ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain