suria

Tak cukup terbalikkan pasu ibu, Micko buat hal bawa pokok dan tanah masuk bilik... tak macam Micky, baik je!

Yasmin berkongsi kisah mengenai kerenah kucingnya menerusi laman Twitter.

KEHADIRAN haiwan peliharan boleh dianggap sebagai penghibur dalam sesebuah keluarga.

Pasti ada sahaja keletah lucu mereka dan kadang-kala ada juga situasi membuatkan si pemilik pening kepala.

Terbaharu, seorang gadis berkongsi kisah seekor kucing dikenali sebagai Micko yang menterbalikkan pasu bunga milik ibunya di kediaman keluarganya sehingga ia menerima hampir 40,000 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Oyen memang suka buat benda mengarut” - Pasang hazard light minta bantuan, pemilik akui kucingnya pelik... minum guna tangan

ARTIKEL BERKAITAN: “Siap berak atas katil mak ayah” - Macam-macam aksi nakal Fingky, paling win ada buku catatan amal sepanjang Ramadan!

Menurut Yasmin Nurina Zakaria, 20, kejadian berlaku pada pagi Ahad dan dia sama sekali tidak menyangka perkongsian itu akan mengundang perhatian ramai netizen.

"Kami semua dalam bilik, mak pula tengah masak. Kemudian terdengar bunyi kuat. Tapi kami pun tak pergi tengok apa yang berlaku.

Yasmin bersama kucing peliharaannya, Micko.

"Kemudian mak saya kata dia nampak Micko bawa pokok. Barulah kami pergi tengok dan nampak pasu dah terbalik, tanah bersepah atas lantai.

"Selepas diterbalikkan pasu, Micko bawa pokok dengan tanah sekali masuk dalam bilik pula," ujarnya secara berseloroh kepada mStar.

Kalau dia buat hal, memang tak marah tapi gelak je. Dia tuan kami sebenarnya.

YASMIN NURINA ZAKARIA

PEMILIK

Mesra disapa Yasmin, dia mengakui cukup terhibur dengan keletah si comel itu dan tidak sampai hati untuk memarahinya atas apa yang berlaku.

Jelasnya, kucing itu sememangnya bersifat agak nakal dan pemalas, berbeza dengan seekor lagi kucing peliharaannya yang dikenali sebagai Micky.

"Micko memang nakal. Lagi seekor nama Micky perangai biasa je. Sebenarnya Micko ni jenis pemalas. Lepas makan mesti akan tidur.

Dua kucing peliharaan Yasmin, Micko dan Micky.

"Lepas tu kalau bagi makanan, Micko hanya akan makan dalam pinggan khas untuknya. Kalau bagi pinggan lain Micko tak nak makan," jelasnya yang menetap di Semenyih, Selangor.

Dalam pada itu, Yasmin turut mengulas komen-komen netizen yang majoritinya terhibur dengan kisah itu.

Ujarnya, dia juga menganggap apa yang berlaku sebagai hiburan dan menyifatkan kehadiran haiwan itu sebagai pelengkap dalam keluarganya.

Keadaan di bahagian rumahnya gara-gara perbuatan Micko.

"Memang saya tak jangka ramai yang suka tengok Micko. Ada yang kata tak sampai hati nak marah, kami pun macam tu.

"Kalau dia buat hal, memang tak marah tapi gelak je. Dia tuan kami sebenarnya.

"Malam-malam Micko akan datang ketuk pintu bilik, buat bunyi sebab nak masuk. Kalau bosan Micko pergi tidur bilik mak saya pula," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
nakal, Micko, kucing, pasu, comel

Artikel Lain