suria

Geram tengok palet kayu terbuang, ‘Boy the Builder’ cipta basikal kayu – “Buat senyap-senyap, kiri kanan atas bawah ada jiran”

Naviin menghasilkan basikal kayu bagi menghilangkan kebosanan duduk lama di rumah sepanjang PKP.

RAKYAT Malaysia sememangnya kreatif sepanjang berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun negara kini memasuki fasa PKP Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi semula, tetapi masyarakat masih perlu berada di rumah.

Duduk di rumah bukan sahaja tempat paling selamat, malah menjadi medan bagi segelintir rakyat Malaysia menonjolkan bakat terpendam mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebatnya kamu! Umur baru 20 tahun dah ada motosikal ala Iron Man, "Kalau tekan butang, keluar suara bersedia tuan!"

ARTIKEL BERKAITAN: "Ini yang patut viral, bukan picit-picit di Family Mart" - Syed Saddiq kagum remaja cipta aplikasi hidupkan motosikal, guna kad pun boleh!

Seperti seorang pemuda berbangsa India ini, masanya berada di rumah sepanjang PKP memberikan idea untuk menghasilkan sebuah basikal kayu daripada bahan terbuang.



Bertungkus-lumus menyiapkannya dengan hasil titik peluh sendiri.

Pemuda berusia 27 tahun, Naviin Subra mengakui berasa bosan terlalu lama di rumah, maka dia perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan motivasi dan semangat baharu.

"Saya tinggal di apartment dekat Subang Jaya, Selangor dan dari balkoni di tingkat lapan saya boleh nampak banyak palet kayu dikumpulkan untuk dibuang dekat sebuah pasar raya.

"Dalam hati saya rasa geram palet kayu itu dibuang sebab boleh dibuat macam-macam. Jadi, saya minta izin untuk dapatkannya dan dijadikan sesuatu," katanya kepada mStar.



Rangka basikal yang hampir siap menggunakan bahan terbuang.

Naviin yang berasal dari Banting berkata, selain palet kayu, dia sebelum ini mendapatkan sebuah basikal terpakai dari sebuah tempat pengumpulan besi terbuang di daerah yang sama.

"Dengan basikal buruk tu saya ubahkan menjadi sebuah basikal menggunakan palet kayu. Mungkin ada tanya kenapa tak baiki basikal lama tu saja, sudah nama pun mahu sesuatu yang kreatif maka saya ubahkannya menjadi sesuatu yang masih basikal tetapi lain daripada lain.

Prinsip saya mudah, kalau perkara susah orang kata impossible iaitu mustahil. Tapi perkataan itu saya jarakkan jadi I am possible yang memberi maksud saya boleh melakukannya

NAVIIN

"Mahu jadi anak Malaysia bukan sahaja kreatif, tetapi juga inovatif. Bahan asal seperti rim tayar, pengayuh, rantai dan pemegang (handle) saya ambil untuk jadi basikal kayu," katanya dengan nada teruja.

Hanya menggunakan bahan terbuang, Naviin mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli peralatan atau hardware, yang mana proses penghasilan sepenuhnya adalah titik peluk sendiri.



Naviin suka mencuba sesuatu yang baharu.

Namun apa yang menariknya graduan Admal Aviation College di Sepang, Selangor dalam jurusan kejuruteraan penerbangan itu terpaksa melakukannya secara 'senyap-senyap'.

"Saya buat senyap-senyap sebab tinggal di apartment ada ramai jiran kiri kanan, atas bawah. Musim PKP ni sudah tentu kebanyakan masa mereka berada di rumah.

"Saya tak boleh guna power tool (mesin elektronik) untuk pemasangan atau pemotongan bahan nanti bising dan akan menggangu ketenteraman jiran-jiran.

"Jadi, saya gunakan kaedah manual seperti gergaji yang lebih senyap. Dengan kos hanya RM14, saya dapat hasilkan basikal yang unik. Dulu geram tengok palet kayu dari balkoni, sekarang rasa puas!" katanya yang kini dalam latihan kerja bagi kejuruteraan penerbangaan.



Menggunakan palet kayu, Naviin menghasilkan banyak benda mengikut kreativitinya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkongsi kisahnya sejak kecil telah pun menanam minat untuk mencipta sesuatu sejak di sekolah rendah.

"Macam-macam saya buat dengan kebanyakannya daripada bahan terbuang. Saya buat helikopter permainan, rak kasut, rak TV, lampu rumah. Malah, kereta pun saya ubah suai.

"Kawan-kawan saya panggil saya Boy the Builder macam karakter Bob the Builder yang mempunyai kemahiran untuk melakukan macam-macam perkara.

"Prinsip saya mudah, kalau perkara susah orang kata impossible iaitu mustahil. Tapi perkataan itu saya jarakkan jadi I am possible yang memberi maksud saya boleh lakukannya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain