suria

Dunia dilanda wabak, pakcik kudung sebelah kaki masih berjalan 10km kutip tin - “Sebungkus nasi putih, ayam goreng kongsi berempat... simpan sampai esok”

Pakcik Ismail menjalankan rutin hariannya iaitu mengutip tin kosong sebagai punca pendapatan.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul!

Begitulah pepatah untuk menggambarkan sebuah keluarga yang dihimpit kesusahan, lebih-lebih lagi dalam keadaan penularan wabak Covid-19 sekarang.

Kisah lelaki tersebut yang dikenali sebagai Pakcik Ismail tular di media sosial susulan satu perkongsian yang dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook, Mohd Hasraf Mohd Yazid.

ARTIKEL BERKAITAN: “Babah, kesian pakcik tu, dia tak makan lagi...” - Gelagat anak comel beri makanan, cium tangan warga tua di kaki lima buat ramai tersentak, tahniah ibu bapa Fatih!

ARTIKEL BERKAITAN: Kes pecah rumah sudah tak jadi isu, kelibat perompak tembus pagar jadi perdebatan - “Aku tengok lima kali ulang”

Mengulas lanjut ketika dihubungi mStar, Mohd Hasraf memberitahu dia terserempak Pakcik Ismail di tepi jalan ketika ingin membeli barang keperluan rumah.

"Masa pagi Selasa, saya keluar nak beli barang, tiba-tiba ternampak seorang lelaki berusia lingkungan 50-an sedang berjalan mengutip tin kosong.

"Apa yang lebih mengejutkan saya adalah lelaki itu cacat... kaki kirinya kudung, menyebabkan dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

"Saya pun ajak dia bonceng saya untuk pergi ke kedai yang membeli besi buruk daripadanya, tetapi tutup kerana PKP," ujar Hasraf yang berusia 33 tahun.

Perkongsian Hasraf mengudang rasa simpati netizen.

Tambah Hasraf lagi, Pakcik Ismail yang tinggal dalam khemah di bawah jambatan di kawasan Sri Damansara hanya menggunakan wang hasil jualan tin kosong untuk menyara hidup dirinya sendiri, isteri dan dua anak yang masih bersekolah, masing-masing berusia 12 serta 14 tahun.

"Apa yang Pakcik Ismail beritahu, seguni besi buruk dia boleh dapat dalam RM7, paling banyak sehari dia boleh dapat dalam RM20.

"Bila kedai besi buruk tutup, sukar buat Pakcik Ismail dapat wang. Bila dia kumpul tin banyak-banyak, ada orang curi. Kad pengenalan dan buku bank miliknya pun dicuri.

"Setiap hari dia akan beli sebungkus nasi putih dan ayam goreng di kedai mamak untuk dikongsi bersama ahli keluarganya dan dijamah sehingga keesokan paginya.

Apa yang lebih mengejutkan saya adalah lelaki tersebut mengalami kecacatan kudung kaki kiri dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

MOHD HASRAF MOHD YAZID

PEMANDU PERIBADI

"Walaupun dia memerlukan tongkat untuk berjalan, dalam sehari lebih kurang lima hingga 10 kilometer juga dia berjalan untuk cari rezeki," ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Hasraf bertambah simpati apabila Pakcik Ismail seorang sahaja yang bekerja memandangkan isterinya mempunyai masalah mental.

"Dia ada bagitahu saya, isterinya ada masalah mental, setiap kali bekerja akan ditipu oleh pihak majikan.

"Apa yang membuatkan saya kagum, meskipun dia kekurangan dari segi fizikal, dia masih gigih mencari rezeki tidak seperti sesetengah pihak yang hanya mengharapkan bantuan.

"Dia nak minta bantuan ahli keluarga yang lain tapi mereka pun tak mampu kerana masing-masing juga susah," kata Hasraf yang bekerja sebagai pembantu peribadi.

Hasraf sempat mengunjungi khemah usang yang diduduki oleh Pakcik Ismail yang terletak di kawasan Sri Damansara.

Dalam pada itu, Hasraf terharu dengan keprihatinan netizen yang tidak putus menyalurkan sumbangan kepada Pakcik Ismail selepas perkongsian di Facebook itu tular.

"Alhamdulillah tak henti-henti orang mesej saya untuk beri sumbangan kepada Pakcik Ismail.

"Ustaz Ebit Lew pun datang untuk memberikan bantuan kepadanya pada Khamis dengan membeli kesemua besi buruk yang telah dikutip Pakcik Ismail dengan harga yang lebih mahal.

"Ustaz pun dah bawa dia ke sebuah rumah di Sungai Buloh dan ingin hadiahkan dia sebuah motosikal tiga roda," tambah Hasraf.

Posting Hasraf di laman Facebook sehingga kini telah mendapat 11,000 perkongsian dan 16,000 tanda suka daripada netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain