suria

Berlima kebumi jenazah korban Covid-19 jam 2.30 pagi, waris tuntut penjelasan - “Kami tiada kepakaran... kalau bukan kerana Covid-19, tiada masalah”

Waris Allahyarham Ustaz Hassan terkilan apabila berlaku kekeliruan mengenai SOP pengurusan jenazah bagi mangsa Covid-19. Foto: FB

"KAMI sebagai waris ini tertanya-tanya... dan mahukan kepastian bagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sebenarnya."

Demikian kata waris kepada korban ke-8 Covid-19, Mohd Hafizudin Hassan berkenaan posting yang tular di Facebook sejak Ahad.

Posting yang tular itu mendakwa urusan pengebumian mangsa yang dikenali sebagai Ustaz Hassan, terpaksa diuruskan sepenuhnya oleh waris dan orang kampung tanpa penglibatan pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasir Mas, Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Korban ke-8 Covid-19 kerap belanja jemaah masjid nasi Arab, keluar berdakwah 4 bulan tiap tahun

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada sedikit perselisihan faham...” - Isu waris urus sendiri pengebumian jenazah mangsa Covid-19 sedang disiasat

Ketika dihubungi mStar, Mohd Hafizudin yang juga anak ketiga mangsa mengakui sedikit terkilan berikutan kecelaruan arahan mengenai urusan pengebumian jenazah bapanya.

Menurut Mohd Hafizudin, sebaik sahaja bapanya meninggal dunia pada pukul 4 petang 21 Mac (Sabtu), doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu memintanya datang ke hospital untuk mendengar taklimat.

Antara kandungan taklimat memaklumkan bahawa pihak KKM menguruskan semua urusan pengebumian jenazah mengikut cara wabak Ebola.

Sebahagian posting yang viral di Facebook mengenai urusan pengebumian jenazah Ustaz Hassan.

Selain itu, waris juga tidak boleh berada dekat tanah perkuburan dan tidak dibenarkan melihat jenazah.

"Penerangan daripada pihak hospital mengatakan waris serta orang kampung tak boleh berada di kubur. Malam itu, polis yang berkawal pun minta semuanya pulang.

"Polis di situ juga mengatakan info yang diterima mereka bahawa jenazah akan diuruskan seperti mangsa Ebola. Tapi pegawai KKM Pasir Mas yang bertugas malam itu mengatakan sebaliknya.

"Saya hubungi doktor, dan doktor bercakap dengan pegawai tersebut, malah berlaku sedikit pertengkaran menerusi panggilan telefon itu. Pegawai KKM itu beritahu, tugasnya hanya memantau. Akhirnya, kami waris terpaksa juga uruskan.

"Doktor yang saya hubungi itu kesian juga dekat kami malah dia memberi jaminan akan memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan," ujarnya.

Mohd Hafizudin bersama adiknya dan tiga orang kampung yang menguruskan pengebumian bapanya.

Ustaz Hassan, 69 tahun pada mulanya dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.

Allahyarham telah dipindahkan ke HRPZ pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatannya merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 pada jam 4 petang.

Jenazahnya selamat dikebumikan pada jam 3.30 pagi Ahad di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang.

Apa yang tular di media sosial itu bukanlah untuk mencari gaduh dan sebagainya. Sebaliknya ini untuk keadilan serta lebih kepada meminta pencerahan mengenai SOP sebenar pengurusan jenazah Covid-19.

MOHD HAFIZUDIN HASSAN

ANAK ALLAHYARHAM 

Mengulas lanjut, Mohd Hafizuddin berkata urusan pengebumian malam itu diuruskan oleh lima individu termasuk dirinya, adik lelaki dan dibantu oleh tiga penduduk kampung yang prihatin.

"Kami ini tiada kepakaran. Kalau bukan kerana kes kematian akibat Covid-19, memang tiada langsung masalah untuk uruskan jenazah. Kesian kepada orang kampung sebab kebanyakannya sudah berumur.

"Sewajarnya, pihak KKM yang terlibat ada kesedaran. Ini mungkin kes kematian pertama di Kelantan. Selepas ini sekiranya ada kes kematian Covid-19 lagi di negeri ini, bagaimana pula prosedurnya.

"Apa yang tular di media sosial itu bukanlah untuk mencari gaduh dan sebagainya. Sebaliknya ini untuk keadilan serta lebih kepada meminta pencerahan mengenai SOP sebenar pengurusan jenazah Covid-19.

"Kami faham yang KKM bertungkus lumus berada di barisan hadapan... Tapi dalam kes ini, saya maksudkan KKM yang terlibat, bukan semua. Ketika waris sedang berada dalam kesedihan, perkara macam ini pula berlaku," kata Mohd Hafizudin.

Allahyarham Ustaz Hassan meninggal dunia pada 21 Mac lalu di HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan.

Anak ketiga daripada 15 adik beradik ini berkata, dia perlu melakukan ujian saringan Covid-19 selepas menjalani kuarantin di rumah.

"Sebelum ini, saya kena buat juga saringan sebab merupakan kontak rapat kepada arwah bapa, Alhamdulillah keputusannya negatif. Selepas kebumikan jenazah, saya perlu buat lagi sekali.

"Buat masa ini, saya akan membuat aduan kepada pihak yang berkaitan. Aduan ini bukan untuk mencari salah, namun lebih kepada untuk kebaikan bersama," ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
KKM Pasir Mas, SOP, waris, pengebumian

Artikel Lain