suria

Pemuda dial nombor telefon arwah bapa dan apa yang berlaku selepas itu memang mengejutkan - “Siapa di sana... abah di sini”

KENANGAN... (kiri) Khairul semasa kecil bersama abahnya. (kanan) Khairul dikejutkan dengan suara lelaki yang menjawab panggilan menerusi nombor telefon arwah bapanya. Foto ihsan Khairul Nizamsyah Ardhuansyah

KEINGINAN yang membuak-buak untuk menghubungi nombor telefon arwah bapa memberi kejutan yang tidak disangka-sangka terhadap seorang pemuda.

Lebih sayu apabila panggilan tersebut dijawab oleh seorang lelaki berusia, dengan gaya percakapannya saling tidak tumpah seperti arwah bapanya.

“Assalamualaikum siapa di sana? Abah di sini,” kedengaran suara seorang lelaki yang menjawab panggilan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Abah... Faris rindu sangat-sangat", remaja ini tak sangka kejutan surat tulisan tangan rupanya satu petanda

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian, “Ingat pesan buat sampai habis”

“Waalaikumsalam abah. Maaf salah nombor,” ujar seorang pemuda mengenai perbualannya menerusi perkongsian di laman Twitter.

Perkongsian Khairul mengundang sebak netizen.

Pemuda berkenaan, Khairul Nizamsyah Ardhuansyah memberitahu, perbualan tersebut dikongsikan sebagai reaksi kepada perkongsian yang tular di media sosial mengenai panggilan daripada seorang bapa.

Khairul yang berusia 21 tahun berkata, bapanya yang lebih mesra dengan panggilan abah itu meninggal dunia pada 2013, pada usianya lewat 50-an akibat sakit tua.

“Pengalaman saya ni sebenarnya dua tahun selepas abah meninggal. Saya sekadar cuba-cuba dial nombor abah nak tahu ia masih aktif atau tidak.

“Bila ada bunyi ringing, saya terkejut sebab tak sangka ada orang lain pakai nombor tu. Sejak abah meninggal, kami tak guna nombor telefon dia,” katanya kepada mStar.

Khairul (dua, kanan) bersama arwah abah dan adik-beradiknya.

Apa yang lebih mengejutkan Khairul apabila cara percakapan ‘pakcik’ itu mengimbas semula tentang bapanya yang sering bergurau apabila menjawab panggilan.

“Cara pakcik tu jawab call sama macam abah saya, suka menyakat. Masa tu saya terdiam sekejap, tapi saya jawab sebab dengar suara pakcik tu tak sama dengan abah.

Abah tanya ‘nak tosei ke roti canai’ sebab selepas hantar pekerja ke kilang, abah akan singgah ke kedai mamak untuk beli sarapan. Itu yang abah buat setiap pagi sehingga sebelum sebulan terakhir abah meninggal dunia

KHAIRUL

“Saya terkejut juga sebab pakcik tu tiba-tiba gelarkan diri dia abah. Pakcik tu kata ‘pakcik ingatkan anak pakcik. Pakcik pun pelik kenapa suara lelaki sebab pakcik tak ada anak lelaki’. 

“Saya terdiam dan terus matikan panggilan. Dan selepas itu saya menangis sebab teringat kat arwah abah, rindu sangat kat dia sebab kami memang rapat,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.

Khairul semasa berusia 11 bulan bersama abah.

Menurut Khairul, antara kenangan terindah bersama bapanya adalah mereka adik-beradik dikejutkan untuk bangun setiap pagi sebelum bapanya keluar bekerja.

“Abah bekerja sebagai pemandu bas kilang. Jadi, sebelum dia keluar awal pagi hantar pekerja-pekerja, dia akan kejutkan kami adik-beradik setiap pagi.

“Abah tanya ‘nak tosei ke roti canai’ sebab selepas hantar pekerja ke kilang, abah akan singgah ke kedai mamak untuk beli sarapan. Itu yang abah buat setiap pagi sehingga sebulan terakhir sebelum abah meninggal dunia,” tambahnya.

Khairul berkongsi kenangan terindah bersama bapanya.

Walaupun suka bergurau dan berjenaka, bapanya juga seorang yang garang untuk mendisiplinkan anak-anaknya.

“Abah ada kayu macam rotan untuk kami adik-beradik, siap ditulis dengan pen marker ‘kalau saya nakal, pukul saya lagi’. Banyak kali juga saya kena sebab nakal tak dengar kata abah. 

“Walaupun abah garang, tapi abah tak pernah tinggikan suara dengan kami adik-beradik. Tak pernah tengok abah dengan mak bergaduh,” katanya.

Khairul yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Perniagaan di Mont Royale College di Kuala Lumpur itu berharap mereka yang lain bersyukur selagi masih mempunyai ibu bapa.

“Selagi boleh dengar, boleh jumpa, boleh cium, buatlah. Hargailah mereka. Banyak lagi di luar sana yang rindu call daripada seorang abah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
abah, arwah, call, telefon

Artikel Lain