Kelas tak penuh, persoalan lecturer ini terjawab selepas terjah rumah sewa pelajar - “Pensyarah lain ada yang tak kisah pun”

Reza (tengah) bersama dengan 10 pelajarnya yang terlambat bangun untuk ke kelas.

"ABDUL Munir ada ke... awak kelas dengan saya kan sekarang? Tidur lagi Munir... Ya Allah, mana yang lain?"

Kata-kata itu jelas kedengaran ketika seorang pensyarah membuat kejutan berkunjung ke rumah sewa pelajar lelakinya yang masih belum muncul dalam kelas pagi Rabu.

Momen kelakar itu dirakam pensyarah berkenaan, Adil Reza Shamsuri sebelum dikongsi anak didiknya, Muhammad Izzul Aiman Jamsari sehingga menjadi tular di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna teknik ‘pulas’ kejut pelajar liat bangun pagi, cikgu penyayang dedah hari ‘malang’... koridor asrama tiba-tiba sunyi

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut prank hadiah RM50, guru pening cari minyak angin, sebak fikirkan murid jual lukisan kumpul duit “Terima kasih Farhana”

Video berdurasi 2 minit 20 saat itu mendapat hampir 250,000 tontonan, 19,700 ulang kicau dan 17,600 tanda suka daripada pelayar Twitter.

Muhammad Izzul atau lebih mesra disapa Izzul berkata dia dan sembilan lagi rakannya terkejut dengan kehadiran pensyarah subjek rekaan grafik itu.

Reaksi pelajarnya sebaik Reza tiba di rumah sewa mereka kira-kira pukul 9.30 pagi Rabu.

"Bila dengar suara Encik Reza tu semua terkejutlah. Saya memang dah siap awal tapi bila tunggu yang lain jadi lambat jugalah.

"Inilah kali pertama kami datang paling lambat. Kelas sepatutnya start pukul 8 pagi tapi kami dah lewat dalam sejam setengah.

"Encik Reza tak marah pun cuma dia tanya kenapa ni tiba-tiba tak datang kelas. Rasa serba salah juga sebab dia sanggup datang cari kami dekat rumah sewa," katanya kepada mStar.

Pelajar semester kelima di Politeknik Muadzam Shah, Pahang itu mendedahkan pensyarahnya itu sanggup mencari mereka di rumah sewa kerana pelik hampir separuh daripada pelajarnya tidak hadir ke kelasnya.

"Dia pelik sebab separuh tak datang kelas. Itu yang dia keluar sekejap dan kejutkan kami dekat rumah sewa.

"Sebenarnya kami rapat dengan Encik Reza dan dia memang tahu rumah sewa kami. Jarak rumah kami dengan politeknik dalam lima minit," katanya.

Reza (tengah) amat disenang anak didiknya.

Izzul mendedahkan mereka bukan sengaja mahu datang lewat ke kelas tetapi terlambat bangun kerana terlajak tidur.

"Sebenarnya kami terlajak tidur sebab malam tu layan bola dulu lepas tu barulah kami siapkan assignment sampai ke subuh.

"Lepas subuh tu ingatkan tak nak tidur, tengok-tengok masing-masing dah terlelap," katanya.

Memang terharu tengok kegigihan dia datang ke rumah kami. Kalau pensyarah lain ada yang tak kisah pun pelajar nak datang kelas ke tak. Tapi Encik Reza memang lain. Dia memang caring.

MUHAMMAD IZZUL AIMAN JAMSARI

PELAJAR

Susulan insiden itu, Izzul berkata dia dan sembilan lagi rakannya meminta maaf kepada pensyarah tersebut di atas kelewatan mereka selepas habis kuliah.

"Bila sampai kelas je semua kawan gelakkan kami semua. Tapi lepas kelas tu kami datang dekat Encik Reza minta maaf.

"Dia pun kata tak pe. Dia pun macam tu juga dulu. Cuma dia nasihatkan kami supaya jangan buat lagi macam tu lepas ni," katanya.

Pada masa sama, pemuda berasal dari Merlimau, Melaka itu turut terharu melihat sikap pensyarahnya itu yang sanggup datang ke rumah sewa mereka semata-mata tidak mahu anak didiknya ketinggalan dalam pelajaran.

Izzul (baju biru) dan rakannya meminta maaf kepada pensyarahnya itu sebaik habis kuliah di atas kelewatan mereka.

"Encik Reza boleh dikatakan macam ayah kami. Dia sporting, jenis tak pilih kasih dan sayang semua anak didik dia. Walaupun dia kelakar tapi bila bab belajar dia memang serius.

"Memang terharu tengok kegigihan dia datang ke rumah kami. Kalau pensyarah lain ada yang tak kisah pun pelajar nak datang kelas ke tak. Tapi Encik Reza memang lain. Dia memang caring," katanya.

Mengenai video itu, Izzul berkata dia sekadar berkongsi momen lucu itu untuk kenangan di kemudian hari.

"Mula-mula tu saya minta izin Encik Reza untuk share video tu kat media sosial saya. Dia pun izinkan dan kata nanti dah graduate bila awak rindu saya awak tengoklah video kenangan kita.

"Dia pun siap beri komen lagi. Saya sendiri pun tak expect video tu akan viral. Tengok ramai juga ex student dia yang komen pasal Encik Reza. Rata-rata semua student senang dengan dia," katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain