suria

Isteri tak ikut ‘no hal’... lelaki ini tak kekok bawa bayi demam kuning usia 4 hari ke klinik - “Tak boleh nak bayangkan sakit waktu dia bersalin”

Taqiyyudin dan isteri berkahwin pada 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

"HARGAILAH isteri anda. Mereka bukan hamba abdi, tetapi mereka bukti cinta abadi."

Demikian kata bapa kepada tiga cahaya mata, Muhammad Taqiyyudin Mazlan yang tular di Facebook gara-gara kisah puteri bongsunya yang lahir pada 10 Januari lalu.

Menerusi posting di Facebook, jejaka berusia 23 tahun itu berkongsi cerita mengenai kunjungannya ke sebuah klinik di Ulu Tiram, Johor, empat hari selepas kelahiran bayi itu untuk pemeriksaan demam kuning.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkedu lihat lelaki tolak, tengking isterinya dalam pantang depan orang ramai di klinik, wanita ini hanya mampu mengadu- “Letak anak atas meja, dia main game”

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku doakan tak keluar anak tu nanti” – Kantoi foto cium tangan perempuan, suami doa isteri tengah sarat mengandung mati masa bersalin

Ia ternyata menarik perhatian ramai memandangkan tugas itu biasanya akan diserahkan kepada golongan ibu sahaja.

Bercerita kepada mStar, Taqiyyudin bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza dan enggan menyusahkan isterinya, Nurul Ain Nazirah Sabri, 26, selepas wanita itu berkorban nyawa melahirkan anaknya baru-baru ini.

"Isteri dah buat semua benda. Mengandung, bersalin. Takkanlah kita tak boleh berkorban, ambil alih tugas dan biarkan dia berehat?

Perkongsian Taqiyyudin di Facebook.

"Tak boleh nak bayangkan sakit waktu dia bersalin. Masa ke klinik tu, hari keempat anak saya dilahirkan.

"Takkan nak bawa isteri datang ke klinik? Jadi saya bawa baby dan selesaikan semua urusan. Alhamdulillah demam kuning pun dah OK sekarang," ujarnya.

Bercerita mengenai kelahiran anaknya yang diberi nama Khawlah Al Azwar, Taqiyyudin berkata dia pada waktu itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke China.

"Isteri saya sepatutnya bersalin pada 6 Januari dan dia biasanya akan bersalin lebih awal sebelum due date.

Ada yang kecam, cakap saya berselfie dengan baby kat tengah panas. Ada yang kata, mereka pun buat perkara sama tapi tak menunjuk pun.

MUHAMMAD TAQIYYUDIN MAZLAN

BAPA TIGA ANAK

"Pada 10 Januari, saya sedang naik bas untuk ke KLIA. Ada percutian insentif bersama kumpulan bisnes. Sampai Larkin dapat tahu isteri nak bersalin.

"Jadi saya terpaksa ambil bas lain sebelum naik Grab dan terus ke hospital," ujarnya lagi.

Selain pujian atas sikap bertanggungjawabnya membantu isteri yang baru bersalin, dia turut menerima kecaman selepas posting berkenaan menjadi tular.

Namun kata jejaka yang mendirikan rumah tangga pada usia 18 tahun itu, dia tidak ambil hati dan enggan menghiraukan sebarang komen negatif di Facebook.

Taqiyyudin bersama anak pertama dan keduanya.

"Ada yang kecam, cakap saya berselfie dengan baby kat tengah panas. Ada yang kata, mereka pun buat perkara sama tapi tak menunjuk pun.

"Pada saya, mereka mungkin tak kenal saya. Saya pun sekadar berkongsi secara suka-suka sahaja. Sebagai orang yang berniaga online, saya selalu berkongsi macam-macam di Facebook.

"Saya pun tak ada niat nak viral. Sekadar nak kongsi dengan kawan-kawan sahaja," katanya lagi.

Hasil perkahwinan dengan isterinya pada 2015, Taqiyyudin turut dikurniakan anak berusia tiga tahun, dua tahun dan puteri bongsu yang dilahirkan baru-baru ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain