Cemas! Mata anak terbeliak, mulut terkacip, ibu berkali-kali lafaz maaf kepada anak kena Influenza A - “Aku tak mahu kehilangan lagi”

Sakinatussyakirah berkongsi kisah mengenai pengalaman yang tidak akan dilupakan ketika anaknya disahkan dijangkiti Influenza A.

PENULARAN wabak Influenza A pada masa kini berada di tahap membimbangkan apabila terdapat peningkatan kes yang dilaporkan saban hari.

Wabak ini merupakan penyakit yang paling digeruni oleh ibu bapa kerana kanak-kanak merupakan antara kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Tidak dapat dibayangkan betapa kalut dan gundahnya perasaan ibu bapa sekiranya anak mereka dijangkiti oleh penyakit yang boleh membawa maut ini, sebagaimana perkongsian oleh seorang pelayar di Facebook, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami emergency anak sesak nafas, nak suruh pergi mana lagi?” - 4 kali pindah hospital selepas anak telan syiling... ibu kongsi detik cemas receptionist beri alasan tak cukup katil

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal

Dalam posting tersebut, wanita bernama Sakinatussyakirah itu berkongsi pengalaman yang menakutkan apabila nyaris kehilangan anak lelakinya selepas disahkan dijangkiti wabak Influenza A.

Menurut wanita itu, anaknya yang bernama Eiyad berada dalam keadaan sihat sewaktu dihantar ke sekolah bersama seorang lagi anaknya, Emir, pada Rabu minggu lalu.

Sebahagian daripada perkongsian Sakinatussyakirah yang panjang mengenai kisah anaknya yang dijangkiti Influenza A.

“Namun, jam 4.30 petang teacher call kata Eiyad sakit kaki tak boleh berjalan. Kami ambil Eiyad, masa tu (badan) dia dah mula dedar. Malam suhu dia dah naik tinggi. Bawa ke klinik.

“Keesokannya Khamis, suhu Eiyad masih tinggi. PCM atau ubat cucuk bontot langsung tak memberi kesan pada suhu tinggi Eiyad. Jadi kami buat keputusan ke klinik lain pula sebab dah mula rasa tak sedap hati.

“Jam 5.30 petang kami ke Poliklnik Mega Zahran. Sampai saja di klinik suhu terlalu tinggi, jadi doktor minta mandikan Eiyad dulu. Lepas mandikan di klinik pun suhu masih degil. Masih tinggi. Kemudian buat ujian influenza. Dan Eiyad sah Influenza A positif,” tulisnya.

Inilah Tamiflu, ubat untuk melawan Influenza yang dibeli oleh wanita ini untuk menyembuhkan anaknya. 

Menurut wanita ini, klinik tersebut kehabisan ubat penyakit berkenaan, lalu dia dan suami dicadangkan oleh doktor untuk mencari ubat di klinik lain mahupun hospital di kawasan di kawasan sekitar.

“Bermulalah episod menelefon sana dan sini. Habis segala klinik, farmasi dan private hospital sekitar Semenyih, Bangi, Kajang, Putrajaya dan Nilai kami call untuk cari ubat influenza (Tamiflu) dan vaksin influenza. Hanya Tamiflu ini boleh bantu demam influenza reda dengan cepat.

“Syukur, ada satu klinik di Nilai yang masih ada bekalan vaksin influenza. Kami bergegas ke sana  dengan harapan nak vaksin Emir dan Ebrahem yang masih sihat ketika itu. Tetapi malangnya, Emir dan Ebrahem tak boleh ambil sebab dah ada contact dengan Eiyad, jadi doktor tak sarankan.

“Tapi Allah tak jadikan kedatangan kami ke klinik itu sia-sia. Saya tanya di kaunter ubat sekali lagi ‘ada tak Tamiflu’. Rezeki Eiyad nyata tertulis di klinik itu. Ada satu papan terakhir Tamiflu tablet. Allah… syukur,” tulis ibu kepada tiga anak ini.

Saya rangkul dia. Saya tengok Eiyad dah keras. Mata terbeliak ke atas. Mulut terkacip. Kami menjerit sekuatnya ‘Eiyadd, bangunn…bangunn’. Aku baru sahaja kehilangan ayah, aku tak mahu kehilangan lagi.

SAKINATUSSYAKIRAH

IBU

Bercerita lebih lanjut, wanita ini berkata pada malam itu dia dan suaminya bersungguh-sungguh memberi tumpuan untuk merawat Eiyad, memandangkan telah berjaya mendapatkan ubat Tamiflu.

“Tengah kalut nak ambil diffuser, suami menjerit cemas ‘Biee... Eiyaddd!’. Suami pangku Eiyad sambil jerit Allah Allah Allah. Saya blur, tak pasti apa yang berlaku. Saya berlari ke arah suami, ambil Eiyad dari pangkuan suami.

“Saya rangkul dia. Saya tengok Eiyad dah keras. Mata terbeliak ke atas. Mulut terkacip. Kami menjerit sekuatnya ‘Eiyadd, bangunn…bangunn’. Aku baru sahaja kehilangan ayah, aku tak mahu kehilangan lagi.

“Allah, Eiyad sawan rupanya. Kami panik. Tidak pernah handle situasi ni. Dalam panik, saya ambil telefon dan telefon kakak ipar, Dr Nur Khadijah Muhamad Jamil. Dia instruct by phone apa yang kami perlu buat. Kurang 10 minit, Eiyad nampak dah bagi respon.

“Allah, saya rasa seperti dapat anak saya semula. Basah lencun kami bertiga dalam bilik air. Syukur Eiyad dah sedar walaupun sangat lemah,” ujarnya sambil menambah, mereka kemudian terus menelefon ambulans.

Tangkap layar daripada skrin mengenai rekod panggilan yang dibuat untuk mencari ubat dan vaksin Influenza.

Ambulans yang tiba tidak lama kemudian terus membawa Eiyad yang ditemani suaminya ke hospital, sementara dia tinggal di rumah bersama dua lagi anaknya.

“Bila ambulans bergerak tinggallah mama yang sedang trauma. Mujur ditenangkan oleh kakak-kakak jiran. sekurang-kurangnya tidaklah rasa keseorangan sangat pada saat itu. Malam yang panjang harap tidak akan berulang lagi,” tulisnya.

Melalui pengalaman menakutkan yang tak mungkin akan dilupakan, wanita itu dalam masa yang sama menasihati ibu bapa yang lain agar tidak mengambil remeh soal kesihatan anak-anak, apatah lagi ketika wabak berbahaya sedang menular.

Antara komen netizen yang tersentuh hati dengan perkongsian wanita ini. 

“Jika anak anda ada simptom demam atau sebagainya tolong jangan hantar ke taska, taska atau sekolah. Kita semua bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan virus atau wabak kepada anak orang lain. Jika saya tidak mengalami sendiri situasi ini sudah tentu saya tidak sedar betapa kritikalnya isu ini.

“Influenza adalah penyakit berjangkit yang serius jadi kenapa ibu bapa tidak diberikan kemudahan cuti kuarantin? Saya yakin ramai lagi yang mengalami nasib yang sama seperti saya dan saya harap penularan influenza ini tidak menjadi semakin serius.

“Kami mahu membesarkan anak-anak kami dalam keadaan persekitaran yang selamat dan sihat. Mohon Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan melakukan sesuatu yang lebih drastik,” tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 14,000 perkongsian selain dibanjiri ratusan komen netizen. 

Influenza A, taska, sawan, vaksin, wabak

Artikel Berkaitan

Artikel Lain