suria

Lelaki ini dedah bas ekspres dipandu driver mengantuk 4 kali nyaris kemalangan, hampir separuh penumpang turun awal - “Satu bas menjerit, ada yang menangis”

Bas yang dinaiki Azahar yang didakwa empat kali nyaris kemalangan gara-gara pemandunya mengantuk. -FB Azahar Ali

BAS sememangnya menjadi pengangkutan awam yang sering kali menjadi pilihan kerana tambangnya yang berpatutan, selain mempunyai banyak pilihan yang memudahkan penumpang menuju ke destinasi tertentu.

Bagi sesetengah orang pula, mereka memilih untuk menaiki bas kerana mahu mengelakkan keletihan, selain yakin bahawa bas merupakan salah satu pengangkutan awam yang selamat.

Bagaimanapun, lain pula dengan cerita yang dikongsi oleh seorang lelaki ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit ‘hangus’ lebih RM600, bas ekspres buat hal di R&R pagi-pagi buta – “Puas cari pemandu bas tapi tak jumpa”

ARTIKEL BERKAITAN: Benarkan ‘pemuda bermotosikal naik bas’, kecoh pemandu Rapid KL mungkin dibuang kerja sebab tak ikut SOP - “Muka garang... nampak sisi lain dia”

Menerusi satu perkongsian di Facebook, lelaki tersebut menceritakan pengalaman ngeri yang dialaminya ketika menaiki sebuah bas dari ibu kota ke Melaka, baru-baru ini.

Menurut pengguna Facebook bernama Azahar Ali itu, bas yang dinaikinya nyaris empat kali mengalami kecelakaan gara-gara pemandunya yang mengantuk.

“Hampir berlaku kemalangan empat kali 1 Januari 2020 dalam jam 10.15 hingga 10.40 malam. Pertama, hampir terlanggar (Perodua) Viva hitam, kedua hampir langgar (Proton) Iriz hijau, ketiga bas duduk lorong kecemasan dan potong ikut lorong kecemasan dan keempat tukar lorong secara terburu-buru hampir langgar belakang lori. Kereta belakang semua bagi lampu tinggi,” tulis lelaki tersebut.

Bas yang dinaiki Azahar selamat tiba ke destinasi selepas beberapa kali nyaris kemalangan.

Menurut lelaki berkenaan, ketika bas yang dinaikinya hampir melanggar Proton Iriz berwarna hijau itu, dia terus bangun dari tempat duduknya dan menghampiri pemandu bas tersebut untuk memintanya agar menurunkan kelajuan.

“Saya tidak sedap hati (terus) bangun terus ke driver bas, saya terus tegur dan suruh driver bas berhenti dan saya bagi arahan bawa perlahan bawah 80 kilometer/jam. Ketika itu bas dalam kelajuan 100 kilometer/jam.

“Saya tengok dia memang mengantuk, mata dah kuyu. Saat kali ketiga dan keempat (nyaris kemalangan), saya berada sebelah driver bas… kaki saya berpeluh, tangan saya dah tolak bahu dia suruh slow dan brek. Dia masih mamai dan mengantuk.

“Satu bas dah menjerit, ada yang menangis. Ketika kejadian ketiga, ada dua tiga orang terus datang depan dan pujuk driver bas berhenti rehat dulu sebab semua sudah cemas. Saya pun terus teman borak dan bersama sahabat lain serta perhatikan driver bas sampai Tol Ayer Keroh, Melaka dengan selamat,” tulisnya.

Saat kali ketiga dan keempat (nyaris kemalangan), saya berada sebelah driver bas… kaki saya berpeluh, tangan saya dah tolak bahu dia suruh slow dan brek.

AZAHAR ALI

PENUMPANG BAS EKSPRES

Kata lelaki tersebut, ketika bas tiba di Tol Ayer Keroh, hampir separuh penumpang turun dari bas dan tidak meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir iaitu Melaka Sentral.

“Ada juga separuh penumpang turun di sana sebab mereka semua dah takut tidak mahu teruskan ke Melaka Sentral. Mana yang ada dalam bas termasuk saya yang tinggal teruskan perjalanan sampai dengan selamat di Melaka Sentral. Syukur Alhamdulillah. Allah selamatkan kami semua,” katanya.

Dalam pada itu, lelaki tersebut turut menitipkan pesanan kepada orang ramai khususnya yang sering menaiki bas agar pengalaman ‘ngeri’ yang dialaminya dapat dijadikan pengajaran.

Antara komen netizen yang turut mempersoalkan mengapa tiada pemandu kedua untuk perjalanan pada waktu malam. 

“Pastikan anda ada rasa tanggungjawab sebagai penumpang. Jangan masuk kena ‘aircond’ sejuk terus nak tidur.

“Anda perlu pastikan setiap perjalanan itu dengan selamat walaupun bukan anda yang memandu. Terutama perhatikan driver bas anda sama ada dia memandu secara mengantuk atau tidak,”ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting lelaki tersebut mendapat lebih 300 perkongsian selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen. 

Rata-ratanya memuji pendekatan lelaki tersebut yang mengambil inisiatif mendekati pemandu bas tersebut demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. 

Ada juga yang mempersoalkan mengapa syarikat bas berkenaan tidak menyediakan dua orang pemandu untuk perjalanan yang jauh, tambah-tambah lagi pada waktu malam.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain