suria

Wow! Lelaki ini akhirnya berjaya ‘cipta’ kereta terbang tahun 2020... malang sekali anaknya menangis gayat, siap kena kecam, ini sebabnya!

Reaksi anak Hairun seolah-olah menangis gayat semasa menaiki kereta terbang itu menampakkan gambar itu seolah-olah real.

MEMASUKI tahun 2020, ramai berkongsi gambar kereta terbang dan motosikal terbang di media sosial yang disunting seolah-olah teknologi canggih itu benar-benar wujud hari ini.

Namun perkongsian seorang pemuda yang memaparkan dia mengambil anaknya di taska menggunakan kereta terbang model Perodua Myvi menjadi tular di Facebook.

Rata-rata kagum dengan teknik suntingan jurugambar profesional berusia 29 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak sedih ke ketawa? Foto jurugambar suami isteri ‘baru nak up’ dikerjakan otai-otai - “Kami gelak-gelak sahaja”

ARTIKEL BERKAITAN:DSLR vs handphone! Marahkan seorang jurugambar, pasangan tunang tak sangka ramai geng lain sakit hati - “Maaf ye photographer sekalian, bagi ayat minta kaki”

"Real sangat edit dia. Hahahaha," kata Muhammad Haffis.

"Gigih betul dia edit... tapi terbaiklah bro. Wawasan 2020," tulis Will.

Gambar disunting Hairun mendapat pujian dan kecaman dalam kalangan netizen.

"How can you do that bro? Lol anak u menangis gayat. Bahahaha," kata Bunga.

Bukan itu sahaja, status yang dimuatnaik Mohd Hairun Ashrie di Facebook turut mencuit hati netizen.

"Hari ni pi ambil anak dekat taska 16 minit ja memandangkan hanya 2 - 3 biji kereta saja kat atas ni. Memang abam puas hatilah tak payah hadap jem.

"Cuma satu ja nak mendarat susah takut mendarat atas kereta orang dengan nak mengelak tiang elektrik lagi," tulisnya.

Posting itu dikongsi sebanyak 26,000 kali di Facebook.

Hairun berkata dia berkongsi gambar kereta terbang itu sekadar untuk bergurau dengan rakan-rakannya.

Idea untuk menghasilkan gambar kereta terbang tercetus selepas melihat rakan-rakannya berkongsi perkara itu di Facebook.

"Saya tengok kawan saya post gambar kereta terbang dekat Facebook mereka. Jadi saya pun terfikir nak buat benda sama.

"Jadi saya ambil gambar waktu nak ambil anak sulung saya dekat taska. Sampai je rumah saya tangkap gambar kereta. Lepas tu saya editlah skit.

"Saya pun post sekadar nak melawak dengan kawan-kawan saya di Facebook. Tengok-tengok dah viral. Memang terkejutlah," katanya.

Tapi sejujurnya saya tak ada niat pun nak troll kerajaan sekarang ni. Saya sekadar mahu melawak dengan kawan-kawan.

MOHD HAIRUN ASHRIE.

Jurugambar.

Jelas pemuda yang menetap di Kangar, Perlis itu, dia hanya mengambil masa beberapa minit saja untuk menyiapkan suntingan tersebut.

"Ramai tanya saya edit guna apa. Saya wedding photographer jadi saya akan edit gambar guna software Adobe Photoshop.

"Gambar kereta terbang tu pun saya edit guna software tu. Saya buat sekejap je dalam masa beberapa minit sebab dah biasa buat editing," katanya.

Gambar yang diambil Hairun sebelum diedit.

Namun Hairun berkata dia kecewa apabila ada juga netizen yang mendakwa dia sebenarnya berniat untuk melakukan troll mengenai kereta terbang.

"Saya terfikir juga pasal kereta terbang sebab saya lahir 1991. Lagipun kita dulu sering dimomokkan dengan kewujudan kereta terbang pada tahun 2020.

"Jadi bila saya post gambar tu ramai juga yang kecam saya. Mereka anggap saya saja nak troll kerajaan.

"Tapi sejujurnya saya tak ada niat pun nak troll kerajaan sekarang ni. Saya sekadar mahu melawak dengan kawan-kawan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain