“Bila dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya” – Mufti sebak bertentang mata dengan murid pimpin ibu bapa buta - Viral | mStar

“Bila dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya” – Mufti sebak bertentang mata dengan murid pimpin ibu bapa buta

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meluangkan masa bersama Nur Khairunnisa' Fadhilah dan ibunya, Nur Suhaida Norwi di sekolah murid tersebut. Foto: Twitter Dr Zulkifli

“BILA Khairunnisa dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya!”

Demikian pesanan yang dititipkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri buat murid Tahun Satu, Nur Khairunnisa’ Fadhilah Mohammad Haizir.

Kisah Nur Khairunnisa’ Fadhilah tular di internet baru-baru ini gara-gara fotonya yang memimpin tangan ibu bapanya yang cacat penglihatan sewaktu sesi orientasi di sekolah dan ia sangat menyentuh hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu menangis lihat murid darjah 1 ceria bawa ibu ayah buta lawat sekolah, tunjuk kelasnya- “Mana pondok mak nak tunggu kamu?”

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

Foto tersebut dirakam oleh salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Jalan Batu, Kuala Lumpur sebelum ia dimuatnaik di laman Facebook miliknya.

Menerusi perkongsian Zulkifli di laman Twitter rasminya, beliau sempat meluangkan masa mengunjungi Nur Khairunnisa’ di sekolah dan turut bertemu dengan kedua ibu bapa murid perempuan tersebut.

Perkongsian yang dimuatnaik oleh Zulkifli mengenai pertemuan bersama Nur Khairunnisa' Fadhilah.

Menulis posting di Twitternya, Zulkifli turut meluahkan rasa sebak tatkala berpeluang bertentang mata dengan kanak-kanak tersebut.

“Tersentuh hati kecil ini bila pertama kali bersua mata dengan anakanda Khairunnisa. Ditakdirkan untuk beribubapakan pasangan OKU cacat penglihatan, itulah hikmah daripada-Nya untuk membentuk jiwa yang besar pada anak kecil ini,” tulisnya.

Mufti itu turut melahirkan kekagumannya terhadap sikap matang murid tersebut yang sudah belajar berdikari sungguhpun pada usia sekecil itu.

Dr Zulkifli merakamkan foto bersama Nur Khairunnisa' bersama ibu dan guru di Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Jalan Batu, Kuala Lumpur.
 ⁣⁣ ⁣⁣

“Usianya langsung tidak menggambarkan kematangannya yang amat mengagumkan kami. Ibu bapanya Encik Haizir dan Puan Nur Suhaida pastinya berbangga memiliki anak sehebat ini. Benarlah kata seorang ibu, ‘Nur Khairunnisa’ adalah mata dan tongkat kami’.

⁣“Kepada pihak sekolah khususnya Guru Besar SK (P) Jalan Batu iaitu Puan Ranjini dan guru-guru Khairunnisa’, kami ucapkan tahniah kerana terpilih untuk memikul amanah mendidik beliau. Kami yakin dengan yang jitu daripada pihak sekolah dan PIBG, beliau akan menjadi sehebat namanya ‘Khairunnisa (Sebaik-baik perempuan)," tulisnya.

Zulkifli turut memuatnaik beberapa keping gambar ketika pertemuan tersebut berlangsung pada Isnin.

Ditakdirkan untuk beribubapakan pasangan OKU cacat penglihatan, itulah hikmah daripada-Nya untuk membentuk jiwa yang besar pada anak kecil ini.

DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Selain Zulkifli, pertemuan tersebut juga disertai oleh wakil daripada Menteri Besar Selangor Incorporated yang turut menyampaikan sumbangan buat murid berkenaan.

“Kami doakan anakanda Khairunnisa menjadi anak yang solehah, berjaya dalam hidup dan membanggakan kedua ibu bapa. Doa yang sama jua untuk anak-anak kita,” tulis mufti itu lagi.

Sementara itu, guru yang membuat posting berkenaan kisah Nur Khairunnisa’ sehingga ia tular sebelum ini, turut dilihat membuat perkongsian mengenai pertemuan tersebut di laman Facebook miliknya.

Gambar Nur Khairunnisa' yang memimpin kedua orang tuanya yang dimuatnaik oleh seorang guru menjadi tular di internet. 

Guru berkenaan, Amirah Nadwa turut melahirkan rasa syukur dengan kesudian Zulkifli meluangkan masa menyantuni murid tersebut.

“Alhamdulillah syukur. Kalau Allah dah tetapkan rezeki buat seseorang atas kehendakNya... tak akan ke mana rezeki itu.

“Jutaan terima kasih buat Mufti Wilayah Persekutuan yang sudi hadir ke sekolah berjumpa dengan adik Nur Khairunnisa' Fadhilah binti Mohammad Haizir bersama sama Ustaz Jaafaruddin Md Ali, Ketua Pegawai CSR, MB Selangor Incorporated atas kesudian untuk memberi sumbangan. Allah sahaja yang mampu balas buat segalanya,” tulisnya.

Menerusi perkongsiannya sebelum ini, guru tersebut melahirkan rasa sebak melihat ketabahan seorang anak muridnya yang gigih memimpin tangan kedua orang tuanya yang cacat penglihatan sewaktu sesi orientasi minggu lalu.

Posting tersebut meraih sehingga 14,000 perkongsian selain turut dibanjiri ribuan komen netizen yang turut sama meluahkan rasa sebak mengenangkan betapa tabahnya murid tersebut yang beribu bapakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).  ⁣⁣ ⁣⁣ 

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain