suria

Hargai pasangan sebelum terlambat! Wanita ini kongsi momen kehilangan suami ketika baru setahun bernikah - “Dua kali dia usap kepala saya, macam tak nak lepaskan”

Suami Nadia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira lebih setahun yang lalu.

PEMERGIAN suami tercinta lebih setahun lalu akibat kemalangan jalan raya masih memberi kesan mendalam dalam hidup Nadia Syahira Sabirin.

Mesikpun diuji ketika usia perkahwinannya masih setahun jagung, wanita berusia 22 tahun itu tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

Malah Nadia sering meluahkan rasa rindu terhadap arwah suaminya, Mohammad Ashraf Rusnin menerusi penulisan di Facebook dan Instagramnya.

Ternyata luahan hati Nadia menasihati pasangan suami isteri supaya menghargai antara satu sama lain berdasarkan pengalaman dilaluinya benar-benar meruntun hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: “You... I nak pergi futsal” - 'Ditinggalkan' genap 2 bulan selepas kahwin, isteri dedah perangai pelik suami tak suruh pulang walau berjauhan

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak kuat nak naik pentas” - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab ‘takut malu’, meninggal selepas 4 hari disahkan kanser

Rata-rata netizen meluahkan rasa tersentuh dengan bicara kata dari hati wanita berasal dari Pontian, Johor itu.

"Kenyataan paling perit untuk diterima. Rindu yang tiada berpenghujung. Sabar dan tabahlah sis hadapi ujian ini," kata Adnan.

Nadia mengenali suaminya sejak di bangku sekolah menengah lagi sebelum mereka disatukan pada usia 20 tahun.

"Baru semalam saya nampak awak punya post. Tersentuh rasa hati ni bila baca. Memang saya terasa sangat dengan kisah awak. Saya baru je kahwin tapi kerap gaduh. Bila baca kisah awak buatkan saya selalu tenung wajah suami saya," kata seorang netizen.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Nadia menyifatkan mereka yang masih ada pasangan amat beruntung kerana Allah beri peluang untuk merasa nikmat berkasih sayang bersama orang tercinta.

"Hargai sebelum terlambat. Ketepikan ego. Buang sikap negatif. Sayangilah pasangan dengan sepenuh hati. Bila Allah panggil pasangan kau 'pulang' hidup kau takkan seindah masa pasangan kau ada.

"Sekali pun kau dapat orang baru pengganti tu takkan sama seperti dirinya yang terdahulu. Seribu yang datang takkan sama dengan satu yang pergi. Jangan waktu tu baru nak menyesal," katanya.

Jelas Nadia perkongsian itu dibuat kerana sedih melihat keadaan sekeliling pada hari ini.

"Saya jenis yang suka menulis sebenarnya. Lepas tu macam saya nak share apa yang saya rasa berdasarkan pengalaman saya sebab sekarang macam-macam isu berlaku.

Nadia sering meluahkan rasa rindu terhadap suaminya di Facebook dan juga Instagramnya.

"Jadi saya ambil pendekatan menulis untuk beri kesedaran kepada orang ramai. Kita pun hidup tak lama. Bila kita tengok orang lain ada pasangan tapi tak hargai pasangan masing-masing saya jadi sedih.

"Saya dapat rasa nikmat tu sekejap je. Jadi saya nak orang lain macam hargai apa yang mereka ada sebelum Allah tarik nikmat tu," katanya.

Menceritakan detik hitam dalam hidupnya, Nadia berkata dia terpaku apabila mendapat tahu insiden menimpa suaminya ketika hendak pulang ke rumah dari tempat kerja pada 24 Oktober 2018.

Biasanya sebelum pergi kerja dia akan usap kepala saya. Tapi masa tu dua kali dia usap... macam tak nak lepaskan. Lambaian dia pun macam dah boleh rasa sebenarnya tapi itulah saya tak faham sehinggalah saya dapat tahu berita mengejutkan itu.

NADIA SYAHIRA SABIRIN.

"Waktu orang datang rumah beritahu kemalangan menimpa suami, saya menggigil satu badan saya. Saya tiba-tiba jadi blur, tak boleh nak hadam apa orang cakap. 

"Bila saya pergi tempat kejadian jenazah dah bertutup. Suami saya meninggal serta merta di lokasi kejadian. Kalau nak dikira jarak rumah dengan tempat kemalangan tu lima minit je tapi nak buat macam mana dah tiba ajal dia," kata Nadia.

Malah Nadia mendedahkan suaminya turut menunjukkan sedikit perubahan beberapa hari sebelum dia meninggal dunia.

"Sehari sebelum dia meninggal petang tu saya keluar dengan dia. Suami sebenarnya jenis ceria dan banyak cakap. Dia juga suka bergurau tapi petang tu dia diam je... tak cakap apa-apa.

Nadia bersyukur walaupun bergelar isteri kepada suaminya dalam tempoh yang singkat.

"Dia hanya pegang tangan saya tanpa cakap apa-apa. Seolah-olah dia tak nak lepas. Malam tu pula dia pergi kerja lambat. Dia cakap tak pelah nantilah dulu lambat sikit hari ni pun tak pe. Dia seolah-olah dah tahu dia dah nak pergi.

"Biasanya sebelum pergi kerja dia akan usap kepala saya. Tapi masa tu dua kali dia usap... macam tak nak lepaskan. Lambaian dia pun macam dah boleh rasa sebenarnya tapi itulah saya tak faham sehinggalah saya dapat tahu berita mengejutkan itu," katanya.

Jelas Nadia lagi, dia amat bersyukur dapat menjadi isteri kepada suaminya itu walaupun hanya sekejap.

"Saya bersyukur menjadi isteri arwah. Kami kenal dah lama. Kami bercinta sejak zaman sekolah menengah sehinggalah disatukan ketika berusia 20 tahun. Jadi keserasian tu dah ada.

"Lagipun arwah jenis faham dan terima saya seadanya. Sejujurnya saya masih belum puas nak bermadu kasih dengan dia tapi hidup dan mati itu rahsia Allah. Saya reda," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain