suria

Awas jangan terpedaya! Guna FB mStar kutip dana - Baby Nishka sudah tiada

Sindiket penipuan itu menggunakan gambar dan berita kanak-kanak sakit untuk meraih simpati orang ramai.

SABAN hari sindiket penipuan semakin berleluasa sehingga ada yang sanggup menggunakan bermacam-macam cara untuk menipu.

Sindiket ini sering menggunakan gambar dan berita kanak-kanak sakit untuk mengutip dana dengan cara mudah daripada orang ramai.

Lebih mengejutkan, sindiket tersebut turut menyamar menggunakan Facebook mStar bagi meraih simpati.

ARTIKEL BERKAITAN:Selama 4 bulan bertarung nyawa akibat kanser, akhirnya baby Nishka pergi buat selamanya

ARTIKEL BERKAITAN: Derita bayi 3 bulan hidap kanser otak, tiada suara, tak boleh melihat, “Luluh hati mummy, satu lagi ketumbuhan di buah pinggang”

Sehubungan itu, mStar menafikan terbabit memohon sumbangan orang ramai dan mengutip derma bagi membantu bayi Kyfa Nishka Al-Kautsar Muhammad Norazam.

Nama ayah kepada arwah baby Nishka yang digunakan dalam posting itu juga salah.

Kutipan sumbangan itu disiarkan Facebook Mstar Online Malaysia yang turut menyertakan nombor akaun penjaga kepada bayi yang menghidap kanser otak itu

Namun mStar ingin menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan itu.

Malah mStar sebelum ini turut melaporkan baby Nishka atau nama sebenarnya, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham sudah dijemput Ilahi buat selama-lamanya selepas empat bulan bertarung nyawa melawan penyakit kanser otak dan buah pinggang.

Bayi tersebut menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada 2 Oktober lalu.

Paparan skrin berita pemergian baby Nishka yang pernah disiarkan mStar pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, Editor mStar, Niezam Abdullah berkata, portal gaya hidup dan hiburan ini tidak pernah mengendalikan atau menggunakan laman FB Mstar Online Malaysia untuk paparan berita semasa.

Menurutnya, portal ini menggunakan laman Facebook atas nama mStar Online yang mempunyai perakuan pihak FB sendiri.

Laman rasmi mStar ialah https://www.mstar.com.my, laman FB https://www.facebook.com/mstardotcomdotmy menerusi nama mStar Online, Twitter @mstaronline dan Instagram mstaronlineofficial.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain