Rakyat tumpang gembira Tengku Hassanal tamat kursus ketenteraan, 'jelingan' Al-Sultan Abdullah paling mencuit hati

Tengku Hassanal (empat, kiri) ketika berada dalam perbarisan tamat latihan di RMAS, London pada Jumaat. - fotoBERNAMA

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluahkan rasa teruja kerana dapat menyaksikan majlis graduasi ketenteraan anakandanya di Akademi Tentera Diraja Sandhurst (RMAS), London pada Jumaat.

Tunku Azizah turut berkongsi video anakanda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, melakukan perbarisan berdaulat yang menandakan berakhirnya latihan ketenteraannya.

Video berdurasi 45 saat itu dengan kapsyen 'momen paling membanggakan... untuk melihat perbarisan berdaulat anakanda kesayangan Hassanal' turut mendapat 3,200 ulang kicau dan 13,900 tanda suka di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat tumpang gembira Raja Permaisuri Agong umum Tengku Hassanal pulang 10 hari lagi - “Patik rasa ramai tunggu dekat airport ni”

ARTIKEL BERKAITAN:“Nak jadi isteri Tengku Hassanal kena pandai makan durian, gulai tempoyak, kena siap baju dari kepala sampai kaki” - Tunku Azizah

Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas pencapaian membanggakan Tengku Hassanal.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyaksikan perbarisan tamat latihan ketenteraan Tengku Hassanal. - FotoBERNAMA

Malah netizen turut meluahkan rasa gembira di atas kejayaan tersebut.

"Bangganya hati seorang ibu bila anakanda berjaya. Happy dan sebak. Tahniah buat anakanda Tengku Hassanal juga buat Raja Permaisuri Agong dan Yang di-Pertuan Agong sekeluarga," kata Ihasny.

"Sembah tahniah kepada Tuanku berdua. Kepada Tengku Hassanal selamat kembali ke tanah Pahang untuk berbakti kepada rakyat jelata. We proud of you, Your Highness," kata Ahmad.

Namun begitu, reaksi Al-Sultan Abdullah di hujung video yang dikongsi Tunku Azizah berjaya mencuit hati netizen.

"Ampun Tuanku. Last part was the cutest moment," tulis Jedi.

"Ya Allah. Hahaha memang terkejut lah part last tu. Tiba-tiba muncul muka Sultan. Cute," kata Afreen.

Tengku Hassanal bersama ayahandanya selepas perbarisan tamat latihan ketenteraan di RMAS, London. - fotoBERNAMA

Lawatan Sultan Abdullah ke RMAS pada Jumaat merupakan momen bersejarah memandangkan baginda pernah menjalani latihan di akademi tersebut dari 1978 sehingga 1979.

Baginda ditauliahkan sendiri oleh Ratu Elizabeth II pada 1980.

RMAS merupakan salah satu daripada akademi tentera di United Kingdom dan pusat latihan tentera British.

Ya Allah. Hahaha memang terkejut lah part last tu. Tiba-tiba muncul muka Sultan. Cute!

AFREEN.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini berada di United Kingdom (UK) untuk lawatan khas sehingga 16 Disember ini.

Terdahulu mStar melaporkan keterujaan Tunku Azizah mengenai perkhabaran kepulangan Tengku Hassanal ke tanah air.

"Insya-Allah pada 13 Disember, tamatlah kursus kenteraan Hassanal di Royal Military Academy Sandhurst (England)," titah baginda di Twitter.

Ujar baginda lagi, sekembalinya ke tanah air, Tengku Hassanal akan berkhidmat di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 12 yang terletak di Kuantan, Pahang.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain