suria

Berlari selamatkan ikan lumba-lumba, 7 penuntut UMT bergegas ke lokasi sebab tak nak menyesal kemudian hari - “Mula-mula tak percaya”

Aksi tujuh penuntut UMT yang menyelamatkan ikan lumba-lumba menjadi tular di media sosial.

PENGALAMAN sekali seumur hidup.

Demikian kata Mohd Nur Aiman Suhaimi, 23, selepas dia dan enam rakannya berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus, Terengganu pada Khamis.

Bercerita kepada mStar, pelajar Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu mengakui pada hari kejadian itu jugalah pertama kali dia melihat haiwan berkenaan secara berdepan.

ARTIKEL BERKAITAN: Paus pembunuh muncul buat pertama kali di perairan Terengganu

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar anak ikan lumba-lumba mati semasa persembahan, didakwa 'kerja berlebihan'

"Masa tu saya ada di makmal fakulti tengah siapkan projek tahun akhir. Dapat panggilan dari kawan, penduduk kampung beri info.

"Pantai tu hanya 500 meter dari pagar belakang kampus. Mula-mula mereka tak percaya ada ikan lumba-lumba kat belakang UMT tapi saya kerah juga ke lokasi. Tak nak menyesal kemudian hari.

"Itulah kali pertama tengok ikan lumba-lumba. Perasaan bercampur-baur, rasa teruja pun ada. Memang teringin nak jumpa ikan lumba-lumba tapi kalau boleh bukan dalam keadaan macam tu," ujarnya sewaktu dihubungi.

Video melibatkan Aiman dan rakan-rakannya yang tular di media sosial.

Bercerita mengenai kejadian itu, Aiman dan rakan-rakannya cuba sedaya upaya memindahkan haiwan berkenaan ke kawasan yang lebih dalam memandangkan ia mula mendengus dan turut mengalami luka di bahagian kepala.

"Saya minta kawan basahkan muka ikan lumba-lumba tu sebab ia dehydrated. Ketika itu ia macam meronta nak berenang.

"Saya anggar beratnya dalam 40 ke 50 kilogram. Saya tatang ikan lumba-lumba tu dan berlari dalam 50 meter ke kawasan air dalam.

Sepatutnya saya laporkan pada pihak berkuasa dahulu. Tapi saya tengok haiwan tu dah nyawa-nyawa ikan. Kalau tunggu lama sikit, takut tak sempat diselamatkan

MOHD NUR AIMAN SUHAIMI

PENUNTUT UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU


"Semuanya berlaku dalam lima minit sahaja. Kami sememangnya sudah diterap nilai-nilai konservasi dan rasa tanggungjawab terhadap haiwan oleh pensyarah di UMT," ujarnya lagi.

Namun kata Aiman, dia juga mengaku ada membuat kesilapan yang tidak disengajakan dalam situasi getir itu.

Bagaimanapun, dia mempunyai alasan tersendiri atas tindakan yang dilakukannya pada hari kejadian.

Tujuh penuntut UMT yang tular atas usaha murni mereka menyelamatkan ikan lumba-lumba pada Khamis.

"Sepatutnya saya laporkan pada pihak berkuasa dahulu. Tapi saya tengok haiwan tu dah nyawa-nyawa ikan. Kalau tunggu lama sikit, takut tak sempat diselamatkan.

"Jadi nak tak nak kami kena selamatkan pada masa tu juga. Saya rasa sesiapa yang ada di situ pun akan buat tindakan sama.

Aiman merupakan penuntut Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Saya juga meminta semua orang agar memelihara ekosistem. Bukan di laut sahaja malah ia sebenarnya bermula di rumah.

"Apa yang dibuat di rumah, masuk ke longkang, akhirnya akan ke laut juga," ujar anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Kata Aiman, peristiwa pada Khamis disifatkan sebagai pengalaman sekali seumur hidup.

Dalam kejadian berkenaan, Aiman turut disertai enam lagi pelajar itu ialah Akalili Zanudin, 21; Wan Amirul Syafiq Wan Nazari, 22; Syakirah Sukery, 21; Farah Syahirah Ishak, 21; Syafiqah Nabilah Mutalib, 21, dan Nur Aini Othman, 21.

Video melibatkan tujuh pelajar itu dalam misi menyelamatkan ikan lumba-lumba berkenaan turut menjadi tular dan menerima pujian netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain