suria

Derita bayi 3 bulan hidap kanser otak, tiada suara, tak boleh melihat, “Luluh hati mummy, satu lagi ketumbuhan di buah pinggang”

Baby Nishka

MENGHIDAP kanser otak (Medullablastoma) tahap 4 selepas 21 hari dilahirkan, dugaan yang menimpa bayi perempuan ini bertambah pilu apabila disahkan mempunyai ketumbuhan di buah pinggang kiri sepanjang dua sentimeter (sm) ketika berusia tiga bulan.

Menerusi perkongsian Khairiah Kamarudin di Facebook, dia meluahkan rasa sebak memikirkan nasib menimpa anak ketiganya, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham yang sedang bertarung nyawa melawan penyakit tersebut.

"Luluh hati mummy. Hari ni balik dari sekolah terus mummy ke hospital macam biasa. Sampai hospital daddy cakap result biopsy (sampel dekat buah pinggang) dah keluar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan keluarkan bayi berjaya, suami hampir rebah doktor beritahu lidah isteri perlu dipotong ‘semua’ dan segera, “Sayang dah nak mati ke?”

ARTIKEL BERKAITAN: Kering air mata ibu lihat bayi derita kanser otot tahap 4, anggap ajaib jika sembuh... “Kalau sakit dia merengek, ketuk-ketuk muka”

"Allah masih nak uji hamba-Nya. Ada satu lagi ketumbuhan dekat buah pinggang baby Nishka tapi tak sama dengan jenis tumor kat otak baby Nishka," katanya.

Bagaimanapun Khairiah atau lebih mesra disapa Kheriy yakin anak bongsunya itu mampu mengharungi ujian hebat tersebut.

Kheriy dan suaminya reda dengan ujian hebat ini.

"Mummy dan daddy tau Nishka seorang fighter. Nishka kuat untuk menghadapi semua ujian Allah.

"Mummu daddy tahu Nishka tahu segala-galanya. Jangan risau sayangku... selagi termampu kita usaha sampai berjaya ya sayang. Mummy... daddy dan semua orang sayang Nishka," katanya.

Luahan hati Kheriy yang juga seorang guru di Kelantan mengundang sebak netizen dan ramai bersimpati dengan nasib menimpa bayi comel itu.

Kheriy ketika dihubungi mStar berkata dia mula menyedari sesuatu tidak kena dengan keadaan kepala anaknya ketika berusia 20 hari.

Sekarang dia langsung tak boleh nampak. Dia pun tak menangis dan kadang-kadang saya rasa dia tak ada deria. Malah dia juga minum susu melalui tiub.

KHAIRIAH KAMARUDIN.

"Naluri seorang ibu, saya perasaan kepala dia macam besar. Saya cakap dekat nenek dia tapi mak saya cakap 'eh tak kot... dia kan kecik sebab masa lahir berat hanya 2.1 kilogram (kg).

"Lepas tu bila misi (jururawat) datang rumah check baby dia tanya eh kenapa kepala baby besar. Dia pun ukur. Masa lahir kepala baby 34 cm tapi masa 20 hari tu jadi 38 cm, naik 4 cm.

"Jadi misi pun refer ke Klinik Kesihatan. Lepas tu Klinik Kesihatan pula minta kami refer ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) di Kota Bahru untuk rawatan susulan," katanya.

Semasa di HRPZ, Kheriy berkata Nishka menjalani imbasan CT di bahagian otak.

Baby Nishka masih dirawat di HUSM, Kubang Kerian.

"Doktor nampak macam ada sesuatu. Lepas tu baby dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebab kat sana tak ada unit neuro.

"Masa dekat HUSM buat ujian MRI, rupa-rupanya bukan hydrocephalus sepenuhnya. Kepala baby besar sebab kanser tu halang air, jadi kepala makin besar.

"Tapi sebelum detect ada kanser tu memang baby normal. Dia menangis... dia hisap susu seperti biasa, macam baby lain," katanya.

Menurut Kheriy, anaknya itu sudah menjalani tiga pembedahan termasuk sekali pembedahan utama bagi membuang tumor di kepalanya.

"Menerusi pembedahan itu hanya 30 peratus sahaja tumor berjaya dikeluarkan. Doktor buat saluran keluarkan air daripada tiub ke tabung. Waktu tu berlaku pendarahan teruk. 

"Masa tu doktor cakap peluang baby 50-50. Selepas pembedahan tu baby dalam keadaan kritikal selama tiga minggu. Dia incubate dan terpaksa guna oksigen sebulan.

"Pembedahan kedua pula doktor pasang shunt untuk kurangkan tekanan manakala pembedahan ketiga perlu dilakukan bagi memasang alat untuk kemoterapi (kemo pod pada dada) dan ambil sampel untuk biopsi," katanya.

Namun semasa pembedahan ketiga untuk memasang kemo pod, Kheriy berkata ketumbuhan baharu dikesan pada buah pinggang kiri Nishka.

Nishka juga terpaksa menyusu menggunakan tiub khas.

"Masa tu baru nampak ada sesuatu solid dekat buah pinggang belah kiri. Semalam Prof Ariffin dari Unit Onkologi HUSM beritahu benda tu pun kanser tapi jenis berlainan.

"Kanser tu jenis aktif. Jadi kalau tak ada aral melintang, doktor akan datang untuk bincang pembedahan susulan," katanya.

Jelasnya lagi, anak ketiganya itu juga tidak lagi boleh melihat dan bersuara selepas menjalani pembedahan tersebut.

"Sekarang dia langsung tak boleh nampak. Dia pun tak menangis dan kadang-kadang saya rasa dia tak ada deria. Malah dia juga minum susu melalui tiub.

"Doktor beritahu kanser dia betul-betul dekat cerebrum yang juga bahagian besar di bahagian otak. Kadang-kadang pernafasan dia pun tiba-tiba menurun. Pernah satu masa tahap oksigen dia menurun sehingga ke bacaan 50," katanya.

Meskipun anaknya itu baharu sahaja selesai menjalani dua kitaran kemoterapi, Kheiry berkata saiz tumornya semakin membesar.

"Selepas kemoterapi kedua keadaan dia nampak merosot tetapi sekarang nampak ok sikit.

"Namun saiz tumor di kepalanya semakin membesar kepada 2 sentimeter kerana sel kanser itu aktif," katanya.

Ketumbuhan di kepala baby Nishka tidak kecut walaupun selepas menjalani kimoterapi kitaran kedua.

Walaupun dugaan itu terlalu perit untuk ditanggung, Keiry bagaimanapun reda dengan ujian itu.

"Mula-mula tu saya macam susah nak percaya. Tak sangka berlaku pada diri sendiri sebab selalu kita tengok dalam drama TV.

"Dulu sebulan juga saya menangis tapi saya semakin kuat hari demi hari selepas menerima banyak sokongan daripada suami, keluarga dan rakan-rakan.

"Saya hanya mahu yang terbaik untuk baby Nishka. Jadi saya mohon orang ramai mendoakan anak saya diberi keajaiban dan kesembuhan segera," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain