suria

Si bulus merajuk gara-gara tuan terpicit ‘berlian’ masa mandi, terus tak nak keluar bilik air – “Mia datang dekat pun tak layan”

Video dimuat naik oleh Firdaus yang memaparkan gelagat kucingnya merajuk menjadi tular di Twitter.

KUCING sememangnya merupakan haiwan yang seringkali menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai binatang peliharaan dek kerana gelagatnya yang manja dan mencuit hati.

Pencinta kucing tidak kisah berhabis wang yang dikhususkan untuk penjagaan haiwan tersebut, malah sanggup melabur demi mendapatkan baka luar negara.

Melihat wajah si bulus yang comel dan gelagatnya yang keletah, serta merta mampu menghilangkan tekanan selepas seharian penat bekerja di pejabat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Jumaat! Lelaki saksi anak kucing bertarung nyawa dibaling dari atas pangsapuri - “Mereka diam sahaja, seperti takut” 

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat abang bomba! Hanya seru ‘mai mai’ kucing terbiar lari pecut terkam pagar rumah – “Saya buka peti ais pun depa dah cam”

Baru-baru ini, perkongsian seorang pemuda mengenai gelagat kucingnya yang ‘merajuk’ menjadi tular di media sosial kerana mencuit hati netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang dikenali sebagai Zainal Firdaus itu memberitahu bahawa insiden tersebut berlaku ketika dia sedang memandikan kucingnya yang bernama Jojo baru-baru ini.

Perkongsian Firdaus mengenai gelagat kucingnya menjadi tular di Twitter. 

“Sebenarnya, saya baru pulang ke Malaysia tiga minggu lalu selepas sekian lama di Jepun dan ia merupakan kali pertama saya mandikan Jojo. Ketika di Jepun, saya ada memelihara seekor kucing betina.

“Disebabkan terbiasa memandikan kucing betina, jadi ketika mandikan Jojo saya terlupa pula ia kucing jantan. Bulu Jojo pula lebat dan panjang, jadi apabila terkena air, bulunya seakan-akan bergumpal.

“Jadi saya mahu leraikan gumpalan tersebut tanpa menyedari ia adalah ‘berlian’ Jojo dan tanpa sengaja saya terpicit dan ia meraung. Nasib baik ia tak mencakar kerana Jojo bukan spesies yang kasar. Selepas meraung, terus dia berlari ke bucu bilik air dan termenung menghadap dinding.

“Saya panggil dan pujuk dia, tapi tak jalan. Ia keraskan badan dan termenung saja di situ. Lama juga kira-kira 10 ke 15 minit, sampaikan saya sempat merakam video. Bila buka pintu bilik air, selalunya ia akan keluar sendiri selepas mandi, tapi Jojo tetap kaku di situ,” kata pemuda tersebut bercerita mengenai kucingnya yang merupakan baka High Nose Persian.

Kucing Firdaus yang diberi nama Jojo kembali manja selepas dibelai. 

Menurut Firdaus yang menetap selama lapan tahun setengah di negara Matahari Terbit itu, selepas mengeringkan badan Jojo, dia terpaksa memasukkannya ke dalam sangkar kerana ia tidak mahu bergerak keluar dari bilik air.

“Masa dah masuk dalam sangkar, Jojo tetap berkelakuan dingin. Kucing betina kami yang lagi seekor, Mia datang dekat di dalam sangkar pun dia tak layan. Merajuk sungguh, kawan datang pun tak layan,” cerita graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari sebuah universiti di Jepun itu.

Cerita pemuda berusia 28 tahun ini lagi, hanya setelah beberapa ketika, Jojo akhirnya kembali manja selepas dipujuk dan dibelai.

Saya panggil dan pujuk dia, tapi tak jalan. Ia keraskan badan dan termenung saja di situ. Lama juga kira-kira 10 ke 15 minit, hingga saya sempat merakam video. Bila buka pintu bilik air, selalunya ia akan keluar sendiri selepas mandi, tapi ia tetap kaku di situ

ZAINAL FIRDAUS

“Kelakar pun ada bila tengok perangai kucing merajuk. Saya sekadar kongsi videonya untuk suka-suka sahaja. Tak sangka ia pula ramai yang suka dan retweet.

“Ramai pula yang beri komen lucu dan meluahkan rasa kesian kepada Jojo. Bila ramai yang komen sebegitu, timbul pula rasa bersalah, tapi sejujurnya memang tak sengaja.

“Jadi selepas ini, saya perlu berhati-hati dan beringat terutama ketika memandikan Jojo,” ujarnya ketawa kecil.

Sehingga kini perkongsian Firdaus meraih ulang kicau melebihi 42,000 kali, selain mencatat tontonan sehingga melebihi 579,000 kali, dan dibanjiri dengan ratusan komen netizen.  



Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, merajuk, mandi, High Persian Nose

Artikel Lain